Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya buat bisnes baiki laptop. Baru2 ini didatangi oleh pelanggan Dari Mainland China. Laptop tertumpah air katanya. Lepas technician saya dah check, kemudian dia kata actually tertumpah sup babi. Terkedu technician saya dibuatnya. Laptop pun dah siap lerai untuk service. Soalan saya, Bagaimana status untuk laptop & technician yang handle laptop tersebut? Adakah perlu disertu?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77).

 

Berkenaan isu berkaitan Babi ini, kami telah jelaskan dalam artikel sebelum ini:

#1861: Sentuh Makanan Kucing yang Mengandungi Babi[1]

#1018 Sentuh Tin yang Mengandungi Bahan Berasaskan Babi[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan kenajisan laptop yang terkena sup daging babi itu hanya akan berpindah kepada tangan yang menyentuhnya apabila salah satunya lembap atau basah. Jika laptop itu kering dan tangan yang menyentuhnya juga kering, maka najis itu tidak akan berpindah kepada tangan yang menyentuhnya. Ini adalah sepertimana dinyatakan dalam Fiqh al-‘Ibadat ‘ala Mazhab al-Syafi‘i bahawa jika sesuatu yang najis atau mutanajjis bersentuhan dengan sesuatu yang suci, maka hendaklah dilihat. Sekiranya kedua-duanya — yakni yang bernajis dan yang suci — dalam keadaan kering, maka sesuatu yang najis (atau yang mutanajjis) itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada sesuatu yang suci itu. Hal ini adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebutkan, sesuatu yang kering adalah suci tanpa sebarang khilaf. Namun, jika salah satunya atau kedua-duanya dalam keadaan basah (atau lembap), maka sesuatu yang suci itu akan dikira najis, disebabkan oleh persentuhannya dengan sesuatu yang najis itu. (Lihat Fiqh al-‘Ibadat ‘ala Mazhab al-Syafi‘i, 1/179).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

[1] https://maktabahalbakri.com/1861-sentuh-makanan-kucing-yang-mengandungi-babi/

[2] https://maktabahalbakri.com/1018-sentuh-tin-yang-mengandungi-bahan-berasaskan-babi/

Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H

Leave a Reply