Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mutakhir ini, kita dapati ramai yang mencari kesalahan orang lain. Lebih-lebih lagi ketika hampirnya pilihanraya. Justeru, apa nasihat tuan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Surah al-Hujurat (11)

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ 

Maksudnya: “Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.”

Riwayat Ibn Majah (4251) dan al-Tirmizi (2499)

Justeru, siapa yang mencari kesalahan orang lain pada lautan kebenaran nescaya dia akan tenggelam oleh sifat hasadnya sendiri. Ini kerana orang yang berhasad akan mencari perkara yang mudarat semata-mata yang terdapat pada orang lain lebih daripada mencari manfaat untuk dirinya sendiri. Akhirnya, dia telah menghabisi usianya ketika itu tidak dapat manfaat dengan kebenaran dan tidak dapat kemudaratan orang lain dengan kesilapannya. Inilah pendapat Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi.

Justeru, marilah sama-sama kita menjadi mata lebah. Di mana sekali pun dia terbang dia akan mencari bunga dan airnya untuk memproses menajdi madu yang manis dan lazat diminum. Bukan mempunyai mata lalat, yang hanya mencari najis dan kotoran, itulah yang dia nampak. Akhirnya, boleh membawa wabak dan penyakit. 

Alangkah ruginya apabila kita menggunakan daya usaha kita, buah fikiran kita, dan masa yang kita guna untuk mencari kesalahan orang lain. Alangkah baiknya kita sentiasa menutup aib rakan taulan kita dan jika perlu hendaklah menasihati dengan hikmah dan lemah lembut. 

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita hati yang sentiasa cintakan kepada saudara-saudara kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H

Leave a Reply