Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah seseorang yang mempunyai niat yang baik akan memperolehi rezeki serta diberkatinya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami takrifkan terlebih dahulu maksud dan makna rezeki. Perkataan rezeki mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, rezeki ialah segala sesuatu yang dikurniakan oleh Allah untuk keperluan rohani dan jasmani, misalnya makanan, ilmu dan sebagainya. Termasuk rezeki juga dapat mengikut kebenaran dan menjauhkan kebatilan. 

Antara doanya seperti berikut:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Justeru, kami katakan memang benar seseorang diberi rezeki dengan niatnya, terkadang-kadang lebih banyak dari usaha dan kerjanya. Hal ini bertepatan hadith Nabi SAW berkenaan dengan dua orang yang berjual beli.

اَلْبَيِّعَانِ بِالْخِيَارِ مَا لَمْ يَتَفَرَّقَا، فَإِنْ صَدَقَا وَبَيَّنَا بُورِكَ لَهُمَا فِي بَيْعِهِمَا، وَإِنْ كَذَبَا وَكَتَمَا مُحِقَ بَرَكَةُ بَيْعِهِمَا

Maksudnya: “Penjual dan pembeli masing-masing memiliki hak memilih (khiyar) selama keduanya belum berpisah. Jika kedua-duanya berlaku jujur dan saling berterus terang, maka keduanya akan memperoleh keberkatan dalam jual beli tersebut. Sebaliknya, jika kedua-duanya berlaku dusta dan saling bersselindung, nescaya akan hilanglah keberkatan pada jual beli mereka berdua.”

Riwayat al-Bukhari (2079) dan Muslim (1532)

Berdasarkan kepada nas di atas, maka niat yang ikhlas akan diberi keberkatan dan diberi rezeki kepada seseorang.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H

Leave a Reply