Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada terdengar ada orang menyatakan Rasulullah SAW pernah menyebut kalau seseorang memotong pohon yang berada di tengah jalan maka dia layak masuk syurga, benarkah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Asasnya adalah satu iaitu membuang segala perkara yang menyakiti yang berada di jalan dan ia termasuk serendah-rendah iman. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Iman itu mempunyai 70 lebih atau 60 lebih cabang. Yang paling afdhalnya ialah ucapan “لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ” dan yang paling rendahnya adalah membuang apa yang menyakitkan dari jalan. Dan malu itu sebahagian daripada iman.”

Riwayat Muslim (162)

Diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَقَدْ رَأَيْتُ رَجُلًا يَتَقَلَّبُ فِي الْجَنَّةِ، فِي شَجَرَةٍ قَطَعَهَا مِنْ ظَهْرِ الطَّرِيقِ، كَانَتْ تُؤْذِي النَّاسَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki bermundar-mandir di dalam Syurga, (dia masuk ke dalam Syurga) atas perbuatan baiknya iaitu memotong sepohon pokok yang berada di tengah-tengah jalan, yang sejak lama menganggu orang ramai yang lalu-lalang di situ.”

Riwayat Muslim (1914)

Berdasarkan nas di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa seseorang yang dapat memudahkan laluan orang lain sehingga tidak berlaku seperti kemalangan dan menyusahkan orang lain dek kerana pohon kayu menghalang atau merintangi jalan, maka ia akan menyusahkan orang ramai. 

Mungkin ada di kalangan mereka yang memerlukan bantuan atau bersegera menuju ke hospital. Maka, dengan sebab halangan tersebut kadang-kadang boleh menghilangkan nyawa seseorang sebagai salah satu asbabnya. Justeru, apabila seseorang itu memotong pohon kayu yang merintangi jalan atau terjuntai ke arah jalan yang boleh membahayakan kepada penunggang atau pemandu kenderaan maka sudah tentu pahalanya cukup besar. Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita semua kebaikan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H

Leave a Reply