#2638: Membaca al-Quran di Kubur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum membaca al-Quran di kubur?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Umumnya, membaca al-Quran termasuk dalam ibadah dan merupakan sebaik-baik zikir. Bahkan Allah SWT mengangkat kedudukan suatu kaum dengan al-Quran. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ.

Maksudnya:Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.

Riwayat Muslim (817); Ibn Majah (218); Ibn Hibban (772)

Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581).

Selain itu, terdapat riwayat daripada al-Nawwas bin Sam‘an R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: 

يؤتي بالْقُرْآنُ يوم القيامة وَأَهْلُهُ الَّذِينَ كانوا يَعْمَلُونَ بِهِ، تَقْدُمُهُ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَآلُ عِمْرَانَ. – وَضَرَبَ لَهُمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةَ أَمْثَالٍ مَا نَسِيتُهُنَّ بَعْدُ. – قَالَ: كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أو ظُلَّتَانِ سَوْدَاوَانِ بَيْنَهُمَا شَرْقٌ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّان عَنْ صَاحِبِهِمَا.

Maksudnya: “Didatangkan al-Quran pada hari kiamat bersama ahlinya (pembacanya) yang mengamalkannya (di dunia), didahului oleh Surah al-Baqarah dan Ali Imran. — (Al-Nawwas berkata): Rasulullah SAW membuat perumpamaan untuk keduanya (Surah al-Baqarah dan Ali Imran) dengan tiga perumpamaan yang tidak akan aku lupakan selamanya — Baginda bersabda: Kedua-duanya (akan datang) seperti dua awan tebal atau dua payungan hitam yang mana antara kedua-duanya ada sinaran (atau pancaran) cahaya atau kedua-duanya seperti dua pemisah pada kawanan burung yang membentangkan sayapnya dan berhujah untuk pemiliknya.”

Riwayat Muslim (805)

Dapat difahami daripada lafaz “الَّذِينَ كانوا يَعْمَلُونَ بِهِ” dalam hadith di atas bahawa sesiapa yang membaca al-Quran tetapi tidak beramal dengannya, maka mereka tidak termasuk dalam kalangan ahli al-Quran. Bukan itu sahaja, al-Quran juga tidak akan memberi syafaat kepada mereka, bahkan al-Quran itu pula menjadi hujah ke atas mereka — dan bukannya hujah buat mereka. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 4/1461).

Terdapat hadith yang menyatakan bahawa pada setiap ayat dan kalimat al-Quran ada pahala dan ganjaran buat sesiapa yang membacanya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

 مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ، فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، لَا أَقُولُ: {الم} حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ، وَلَامٌ حَرْفٌ، وَمِيمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran), maka baginya satu kebaikan (pahala). Dan satu kebaikan itu dilipat gandakan menjadi sepuluh kebaikan semisalnya. Tidaklah aku mengatakan: Alif, lam, mim itu satu huruf, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.”

Riwayat al-Tirmizi (2910)

Menurut Majdi bin ‘Abd al-Wahhab al-Ahmad, pada lafaz “لا أقولُ: آلم حرفٌ” terdapat suatu penegasan dan penjelasan bahawa setiap huruf daripada al-Quran ada pahala bagi membacanya. Bahkan janganlah menyangka bahawa “الم” (Alif, lam, mim) itu adalah satu huruf, tetapi alif itu adalah satu huruf dan sepuluh kebaikan diberikan bagi membacanya, begitu juga lam itu satu huruf dan sepuluh kebaikan diberikan bagi membacanya, dan begitu juga mim itu satu huruf dan sepuluh kebaikan diberikan bagi membacanya. Justeru, pada hadith di atas terdapatnya anjuran untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran yang merupakan zikir yang agung, yang diberikan ganjaran pahala berlipat ganda (bagi sesiapa yang membacanya). (Lihat Syarh Hisn al-Muslim, hlm. 52).

Tambahan lagi, al-Quran juga memberi manfaat kepada orang yang membaca dan mendengarnya. Oleh kerana itu, Allah SWT memerintahkan orang yang beriman untuk mendengar al-Quran dengan baik apabila ia dibacakan. Firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

(Surah al-A‘raf: 204)

Bukan itu sahaja, malah Rasulullah SAW sendiri meminta para sahabat R.Anhum supaya memperdengarkan bacaan al-Quran kepada Baginda SAW. Terdapat hadith menyatakan bahawa Rasulullah SAW meminta Abdullah bin Mas‘ud R.A membacakan al-Quran:

اقْرَأْ عَلَيَّ. قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، آقْرَأُ عَلَيْكَ وَعَلَيْكَ أُنْزِلَ؟ قَالَ: نَعَمْ. فَقَرَأْتُ سُورَةَ النِّسَاءِ حَتَّى أَتَيْتُ إِلَى هَذِهِ الآيَةِ: {فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَـٰؤُلَاءِ شَهِيدًا}، قَالَ: حَسْبُكَ الآنَ. فَالْتَفَتُّ إِلَيْهِ فَإِذَا عَيْنَاهُ تَذْرِفَانِ.

Maksudnya:Bacalah (al-Quran) kepadaku.” Aku berkata: “Wahai Rasulullah, adakah aku membacakan kepadamu, sedangkan ke atasmu ia diturunkan?” Baginda bersabda: ‘Ya.’ Lalu aku membaca surah al-Nisa’ sehingga aku sampai (bacaan) pada ayat ini: {فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَـٰؤُلَاءِ شَهِيدًا} (Maksudnya: “Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?”) [Surah al-Nisa’: 41]. Baginda bersabda: ‘Cukuplah sehingga ayat ini.’ Lalu aku menoleh ke arah Baginda, ternyata kedua-dua matanya menitiskan air mata.

Riwayat al-Bukhari (5050)

Maka, orang yang mendengar al-Quran juga mendapat pahala jika disertai dengan adab-adabnya dan menghayati bacaan al-Quran tersebut. Walau bagaimanapun, pahala orang yang mendengar al-Quran tidak sama dengan orang yang membacanya. Ini kerana orang yang membaca al-Quran akan mendapat pahala yang lebih besar dan fadhilat daripada bacaannya tersebut 

sebagaimana hadith yang telah disebutkan di atas.

Membaca al-Quran di Kubur

Para ulama’ berbeza pendapat berkenaan hukum membaca al-Quran di Kubur kepada dua pendapat:

Pertama: Pendapat yang Membenarkan

Tidak makruh untuk membaca al-Quran di kubur dan ini merupakan pendapat yang terpilih dalam mazhab Hanafi, salah satu pendapat dalam mazhab al-Syafi’i, mazhab Hanbali.

Imam al-Syaukani dalam Fath al-Qadir berkata: “Ulama’ berbeza pendapat berkenaan duduknya pembaca-baca al-Quran untuk membacanya di kubur, dan pendapat yang terpilih ialah ia tidaklah makruh (Lihat Fath al-Qadir, 2/142)

Al-Mardawi berkata: “Tidak dimakruhkan membaca al-Quran dikubur mengikut riwayat yang paling sahih antara dua riwayat dan ini merupakan mazhab kami.” (Lihat al-Insaf, 2/557)

Ibn Muflih berkata: “Kata: Tidak dimakruhkan membaca al-Quran di atas kubur di kawasan perkuburan sebagaimana dinaskan, merupakan merupakan pendapat dalam mazhab, dikatakan ia adalah harus dan dikatakan juga ia adalah digalakkan.” Lihat al-Furu’, 2/305) 

Dalil yang membenarkan pendapat ini adalah sebagaimana riwayat Abu Bakar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

مَنْ زَارَ قَبْرَ وَالِدَيْهِ أَوْ أَحَدِهِمَا يَوْمَ الجُمُعَةِ فَقَرَأَ عِنْدَهُ {يس} غُفِرَ لَهُ

Maksudnya: siapa yang menziarahi kubur orang tuanya setiap hari Jumaat dan membaca disisi mereka surah Yasin, akan diampunkan dosanya.

Riwayat Ibn ‘Adiy dalam al-Kamil fi al-Dhu’afa’ (5/151) , Abu Nu’aim dalam Akhbar Asbahan (2/323) dan Abd al-Ghani al-Maqdisi dalam al-Sunan. Hadith ini dinilai maudhu’ oleh Ibn al-Jauzi dalam al-Maudhu’at (3/239)

Begitu juga dengan riwayat daripada Anas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

 مَنْ دَخَل الْمَقَابِرَ فَقَرَأَ فِيهَا يس خَفَّفَ عَنْهُمْ يَوْمَئِذٍ، وَكَانَ لَهُ بِعَدَدِهِمْ حَسَنَاتٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang memasuki kawasan perkuburan lalu membaca di dalamnya surah Yasin maka diringankan azab kepada ahli kubur di hari tersebut dan bagi mereka (orang yang membaca al-Quran) adalah memperoleh pahala kebaikan” 

Riwayat al-Tha’labi dalam al-Kasyf al-Bayan (8/119). Hadith ini dinilai maudhu’ berdasarkan kitab al-Silisilah al-Dha’ifah (1246). 

Hadith juga ini disebut oleh al-Zubaidi dalam Ithaf al-Mutqin (10/373) dan disandarkan kepada Abd al-Aziz penulis al-Khalal.

Selain itu, terdapat juga riwayat daripada Ibnu Umar bahawa:

 أَنَّهُ أَوْصَى إذَا دُفِنَ أَنْ يُقْرَأَ عِنْدَهُ بِفَاتِحَةِ الْبَقَرَةِ وَخَاتِمَتِهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya beliau berwasiat bahawa apabila beliau dikebumikan, maka dibacakan disisinya dengan awal permulaan surah Al-Baqarah dan akhir surah Al-Baqarah”. 

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (491), Ibn Ma’in dalam Tarikhnya (5238) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (6860)

Kedua: Pendapat Yang Tidak membenarkan

Antara pendapat yang memakruhkan membaca al-Quran di kubur ialah satu pendapat dalam mazhab Hanafi dan Maliki, riwayat daripada Imam Ahmad, dan pendapat ini dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah.

Hal ini kerana membaca al-Quran di kubur bukanlah daripada perbuatan Nabi SAW, para sahabat baginda R.Anhum, bukan juga daripada para salaf, dan tidak pernah disampaikan daripada sesiapapun dengan riwayat yang sahih dalam kalangan mereka berkenaan hal ini, dan ia adalah bid’ah yang tidak diketahui asalnya. (Lihat al-Insaf, 2/558; Hasyiah al-Dusuqi, 1/4233; al-Fatawa al-Kubra, 3/34)

Syeikh Muhammad bin Ahmad ‘Ulaisy al-Maliki berkata, “Dimakruhkan membaca al-Quran kepada orang yang mati, iaitu selepas kematiaanya, dan juga di atas kuburnya, kerana ia bukanlah amalan salaf al-soleh, dan ia juga menafikan tujuan mentadabbur al-Quran pada hal orang yang mati itu. (Lihat al-Minah al-Jalil, 1/509).

Disebutkan dalam al-Fatawa al-Kubra bahawa bacaan al-Quran ketika  pengembumian adalah perkara ma’thur secara umumnya, tetapi selepas daripada itu, tidak ada athar atau riwayat berkenaannya. (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 3/25)

Syeikh Abdullah Al-Hamid memilih untuk tidak membenarkan pembacaan al-Quran di atas kubur. Beliau menyatakan dalam penjelasannya mengenai perkara yang dinyatakan dalam kitab al-Raudh al-Murabba‘: “Tidaklah diharamkan pembacaan al-Quran di atas kubur.” Ini adalah pendapat Mazhab Hanbali. Mereka membaca surah Yasin di kubur dan mereka berpendapat bahwa dengan membaca surah ini, mereka akan mendapatkan pahala dan kebaikan sesuai dengan jumlah huruf di dalamnya. Mereka juga menyebut bahawa Ibn Umar menasihatkan untuk membaca Fatihah dan akhir surah Al-Baqarah di samping kuburnya. Namun, kita harus mengetahui bahawa ini adalah amalan bid’ah  yang tidak ada asal padanya meskipun orang-orang menyebutkan hal ini, tetapi tidak ada bukti yang sahih daripada Nabi Muhammad SAW tentang hal ini, dan tidak seharusnya kita melakukan pembacaan di atas kubur atau di kawasan kuburan sama sekali. Semua tindakan ini adalah bid’ah, dan riwayat-riwayat yang menyebutkan hal ini tidak memiliki dasar yang sahih. Dan kita mengetahui bahwa jika Nabi Muhammad SAW menyebutkan hal seperti ini, maka hal itu pastilah ia akan sampai dalam kalangan masyarakat kerana ramai sahabat yang wafat di zaman Nabi SAW. Namun, tidak ada riwayat yang sahih yang menyatakan bahawa baginda membaca surah Yasin atau menyuruh para sahabat membacanya, dan tidak ada bukti juga daripada para Khalifah Khulafa’ al-Rasyidin atau yang lainnya. Semua ini hanyalah riwayat atau athar yang tidak memiliki dasar yang sahih. Amalan yang benar adalah dengan kita boleh berdoa untuk mereka, seperti yang diajarkan oleh Nabi SAW: “Berdirilah di sisi kubur saudaramu, mintalah ampun untuknya, dan mohonkan keteguhan baginya, kerana dia kini sedang ditanya.” Ini adalah Sunnah. Tetapi membaca surah Tabarak (al-Mulk), Yasin, atau al-Baqarah di atas kubur adalah bid’ah yang tidak ada asal padanya.” (Lihat Ikhtiyarat Syeikh Abdullah bin Hamid wa Ara’ahu al-Fiqhiyah, 2/86-87)

Selain itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke- 43/2019 pada 17-18 September 2019 bersamaan 17-18 Muharram 1441H, mengeluarkan fatwa berkenaan Bacaan Al-Quran Di Tanah Perkuburan: “Tiada riwayat yang sahih daripada Nabi SAW melakukan atau menggalakkan upacara membaca al-Quran di kubur selepas pengebumian. Sebaliknya yang ada hanyalah amalan Ibn ‘Umar RA yang membaca al-Quran semasa proses pengebumian. Namun demikian riwayat ini dipertikaikan kesahihannya oleh sebahagian ulama hadis. Dalam kalangan para ulama seperti al-Imam al-Syafi’ie, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan selain mereka membolehkan membaca ayat-ayat al-Quran semasa pengebumian. Sementara para ulama yang lain seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, satu riwayat daripada al-Imam Ahmad tidak mengharuskan bacaan al-Quran di perkuburan, bahkan dalam satu riwayat al-Imam Ahmad menganggapnya sebagai bid’ah. Adapun membaca doa untuk si mati di kubur adalah sunnah Nabi SAW. Seseorang boleh membaca doa yang dipetik dari al-Quran ataupun hadis ataupun dari dirinya sendiri bagi mendoakan keampunan dan kebaikan untuk si mati. Hal ini boleh dilakukan sama ada bersendirian atau mengaminkan doa orang lain. Maka dengan ini tiada sebarang dalil yang menyokong upacara membaca atau mengkhatamkan al-Quran selepas tamat proses pengebumian di kubur. Adapun semasa pengebumian jenazah, telah berlaku khilaf pendapat dalam kalangan ulama. Namun bagi orang yang hendak membaca al-Quran semasa pengebumian tidak boleh mengadakan kaifiat dan cara yang khusus kerana itu termasuk di dalam mengada-adakan perkara yang tidak mempunyai nas. Sebaliknya dia boleh membaca apa-apa ayat al-Quran yang hendak dibacanya secara bersendirian.

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, kami katakan bahawa membaca al-Quran dan mentadabburinya adalah amalan yang sangat dituntut walau di mana kita berada. Namun begitu, dalam berkenaan membaca al-Quran di Kubur, para ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini, dan kami cenderung kepada pendapat yang harus. Tanpa kami nafikan bahawa hal ini termasuk dalam prinsip asas mengenai ibadah adalah tauqifi iaitu berhenti pada apa yang telah diriwayatkan dalam syariat (dan tidak mencipta sesuatu yang baru) sebagaimana kaedah menyebut:

الأَصْلُ فِي الْعِبَادَة التَّوَقُّف

Maksudnya: “Asal bagi ibadah adalah terhenti.”

Ini memberi maksud bahawa asal ibadah adalah tawaquf kepada dalil dan hujjah. Selagi mana tiada dalil dan hujjah. 

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

(Surah al-Hasyr :10)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *