Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya pernah mendengar yang Rasulullah SAW mempunyai banyak kuda. Boleh ceritakan kepada kami berkenaan kuda-kuda Rasulullah SAW?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَالْعَادِيَاتِ ضَبْحًا ﴿١﴾ فَالْمُورِيَاتِ قَدْحًا ﴿٢﴾ فَالْمُغِيرَاتِ صُبْحًا ﴿٣﴾ فَأَثَرْنَ بِهِ نَقْعًا ﴿٤﴾ فَوَسَطْنَ بِهِ جَمْعًا
Maksudnya: “Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya.Serta mencetuskan api dari telapak kakinya. Dan meluru menyerbu musuh pada waktu subuh. Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu. Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh.”
Surah al-Adiyat (1-5)
Rasulullah SAW mempunyai lebih daripada seekor kuda. Kuda pertama yang dimiliki oleh Baginda SAW ialah kuda yang bernama al-Sakb.
Ibn Sayyid al-Nas menukilkan daripada Syeikh al-Hafiz Abu Muhammad al-Dimyati bahawa terdapat tujuh nama kuda nabi yang disepakati iaitu, al-Sakb, al-Murtajiz, al-Luhaif, al-Lizaz, al-Zarb, al-Ward dan Sabhah. Kebiasaannya kuda yang ditunggangi oleh Baginda SAW ialah al-Sakb. (Lihat ‘Uyun al-Athar, 2/389).
- Al-Sakb (السَّكْبُ)
Dinamakan al-Sakb kerana tubuhnya yang gemuk, kuat dan kukunya yang keras. Ini kuda pertama yang dimiliki Rasulullah SAW, yang dibeli daripada seorang lelaki daripada Bani Fazarah. Nabi SAW menunggang kuda ini dalam peperangan Uhud. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Yahya bin Sahl bin Abu Hathamah, katanya:
أَوَّلُ فَرَسٍ مَلِكَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلّى الله عليه وسلم فَرَسٌ ابْتَاعَهُ بِالْمَدِينَةِ مِنْ رَجُلٍ مِنْ بَنِي فَزَارَةَ بِعَشْرِ أَوَاقٍ وَكَانَ اسْمُهُ عِنْدَ الْأَعْرَابِيِّ الضِّرْسُ فَسَمَّاهُ رَسُولُ اللَّهِ صلّى الله عليه وسلم السَّكْبَ فَكَانَ أَوَّلُ مَا غَزَا عَلَيْهِ أُحُدًا لَيْسَ مَعَ الْمُسْلِمِينَ يَوْمَئِذٍ فَرَسٌ غَيْرَهُ وَفَرَسٌ لِأَبِي بُرْدَةَ بْنِ نِيَارٍ يُقَالُ لَهُ: مُلَاوَحٌ
Maksudnya: “Kuda pertama yang dimiliki oleh Rasulullah SAW ialah kuda yang dibeli daripada seorang lelaki daripada Bani Fazarah dengan harga 10 Uqiyah. Nama asal kuda itu di sisi orang Arab ialah al-Dirs (الضِّرْسُ), maka Rasulullah SAW menamakannya sebagai al-Sakb (السَّكْبُ). Ia adalah kuda pertama yang digunakan oleh Rasulullah SAW pada peperangan Uhud. Tidak ada kuda lain dalam kalangan orang Islam pada ketika itu melainkan kuda tersebut dan juga kuda milik Abu Burdah bin Niyar yang dipanggil sebagai Mulawah (مُلَاوَحٌ).” (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 1/489)
Dalam riwayat lain, daripada Yazid bin Abu Habib, katanya:
كَانَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَسٌ يُدْعَى السَّكْبُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mempunyai kuda yang dipanggil sebagai al-Sakb (السَّكْبُ).” (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 1/489).
- Al-Murtajiz (الْمُرْتَجِزُ)
Diberi nama ini kerana warna putihnya, sifatnya yang baik, dan Nabi SAW membelinya daripada seorang Arab daripada Bani Murrah.
Daripada Ali R.A, katanya:
كَانَ فَرَسُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَالُ لَهُ الْمُرْتَجِزُ، وَبَغْلَتُهُ يُقَالُ لَهَا دُلْدُلٌ، وَحِمَارُهُ يُقَالُ لَهُ عُفَيْرٌ، وَسَيْفُهُ يُقَالُ لَهُ ذُو الْفَقَارِ، وَدِرْعُهُ ذَاتُ الْفُضُوْلِ، وَنَاقَتُهُ الْقَصْوَاءُ
Maksudnya: “Baginda SAW memiliki seekor kuda yang dipanggil sebagai al-Murtajiz, seekor baghal yang dipanggil sebagai Duldul, seekor keldai yang dipanggil sebagai ‘Ufair, sebilah pedang yang dinamakan sebagai Zulfaqar, sepasang baju besi yang diberi nama sebagai al-Fudul, dan seekor unta yang bernama al-Qaswa’.”
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19805). Al-Zahabi dalam al-Muhazzab (8/3992) menyatakan, dalam sanad ini terdapat seorang perawi yang bernama Hibban dan dia merupakan perawi yang dhaif.
Dalam riwayat lain, Muhammad bin Umar berkata bahawa dia bertanya kepada Muhammad bin Yahya bin Sahl bin Abu Hathamah berkenaan al-Murtajiz, maka dia berkata:
هُوَ الْفَرَسُ الَّذِي اشْتَرَاهُ يَعْنِي رَسُولَ اللَّهِ صلّى الله عليه وسلم مِنَ الْأَعْرَابِيِّ الَّذِي شَهِدَ لَهُ فِيهِ خُزَيْمَةُ بْنُ ثَابِتٍ وَكَانَ الْأَعْرَابِيُّ مِنْ بَنِي مُرَّةَ
Maksudnya: “Ia adalah kuda yang Rasulullah SAW beli daripada orang Arab yang disaksikan oleh Khuzaimah bin Thabit, manakala orang Arab itu pula daripada Bani Murrah.”
Ia adalah kuda yang dikenali sebagai Asyhab yang mana Khuzaimah bin Thabit R.A menjadi saksi baginya, maka Nabi saw menjadikan kesaksian beliau sebagai kesaksian dua orang, dan kuda ini dinamakan dengan nama ini kerana ia mempunyai suara kuda yang baik, seolah-olah ia melaungkan keluhan. Dikatakan juga ia adalah al-Tirf dan al-Najib iaitu kuda yang mulia. Orang Arab Badwi yang Nabi SAW beli kuda daripadanya pula adalah daripada Bani Murrah. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/133; Tabaqat Ibn Sa‘ad, 1/490; al-Wafi, 1/90 dan ‘Uyun al-Athar, 2/320-321).
Begitu juga Ibn al-Qayyim turut menyebutkan, al-Murtajiz dikenali sebelum ini dengan nama Asyhab. (Lihat Faidh Qadir, 5/173).
- Al-Luhaif (اللُّحَيْفُ)
Dinamakan sebagai al-Luhaif kerana ekor panjangnya yang sampai menutupi tanah. Terdapat juga yang menyebutnya sebagai al-Lahif. Kuda ini menyerupai gunung dan merupakan hadiah daripada Farwah bin ‘Amr al-Jazami dan ada juga yang berpendapat, ia adalah pemberian daripada Abu al-Bara’. (Lihat al-Taudhih li Syarh Jami‘ al-Saghir, 17/507).
Terdapat riwayat daripada Sahl bin Sa’d al-Sa’idi, katanya:
كَانَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَائِطِنَا فَرَسٌ يُقَالُ لَهُ اللُّحَيْفُ، قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ: وَقَالَ بَعْضُهُمُ: اللُّخَيْفُ، بِالخَاءِ.
Maksudnya: “Nabi SAW memiliki kuda di dalam kebun kami, dan ia (kuda tersebut) dipanggil sebagai al-Luhaif.” Abu ‘Abdillah berkata: “Sebahagian mereka mengatakan: ‘al-Lukhaif’, dengan huruf Kha’.”
Riwayat al-Bukhari (2855)
- Al-Lizaz (اللِّزَازُ)
Kuda al-Lizaz ini merupakan hadiah daripada al-Muqauqis yang merupakan penguasa di Mesir. Al-Lizaz bermaksud melekat, iaitu seolah-olah ia melekat pada apa yang diperlukan kerana kelajuannya. Dikatakan juga: Berkumpulnya penciptaannya. Dikatakan juga: Kerana kuatnya air matanya. Manakala al-Waqidi berpendapat, ia dinamakan sebagai al-Lizaz kerana ia telah diikat dengan kepercayaan. (Lihat ‘Uyun al-Athar, 2/389).
Terdapat riwayat daripada Abbas bin Sahl al-Sa’idi, katanya:
إِنَّهُ كَانَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَهُمْ فَرَسٌ يُقَالُ لَهَا الظَّرْبُ، وَآخَرُ يُقَالُ لَهُ اللِّزَازُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW memiliki seekor kuda yang dipanggil sebagai al-Zarb (الظَّرْبُ), dan seekor kuda lain yang dipanggil sebagai al-Lizaz (اللِّزَازُ).”
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19801). Hadith ini dinilai sebagai dhaif dalam al-Silsilah al-Dhaifah (4226).
- Al-Zarb (الظَّرْبُ)
Kuda al-Zarb pula dihadiahkan oleh Farwah bin ‘Umari al-Juzami. Ia dinamakan demikian disebabkan oleh besar dan gemuknya. Selain itu, dikatakan juga kerana kekuatannya dan kukunya yang keras. (Lihat ‘Uyun al-Athar, 2/389).
- Sabhah (سَبْحَةُ)
Nabi SAW memberi nama ini kerana warnanya yang perang dan kuda ini dibeli Nabi daripada seorang Arab daripada Bani Juhainah dengan sepuluh ekor unta. Kuda ini pernah dibawa menyertai pertandingan, lalu ia keluar sebagai pemenang yang membuat Nabi SAW gembira. Dinamakan sebagai Sabhah berdasarkan kepada perkataan mereka: “Kuda yang berenang,” jika ia dapat menghulurkan (melangkah) kedua kaki depannya dengan baik dalam larian. Maka, kuda yang berenang itu bermaksud pada lariannya. (Lihat Imta‘ al-Asma‘, 7/198).
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, bahawa beliau ditanya:
أَكُنْتُمْ تُرَاهِنُونَ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -؟ قَالَ: نَعَمْ لَقَدْ رَاهَنَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – عَلَى فَرَسٍ يُقَالُ لَهَا: سَبْحَةُ جَاءَتْ سَابِقَةً، فَبَهَشَ لِذَلِكَ، وَأَعْجَبَهُ
Maksudnya: “Adakah kamu (para Sahabat) bertaruh di zaman Rasulullah SAW? Adakah Rasulullah SAW bertaruh? Beliau menjawab: “Ya, Baginda bertaruh (menjanjikan ganjaran) dengan berlumba kuda Baginda yang dipanggil sebagai Sabhah lalu Baginda berjaya mendahului peserta lain. Maka Baginda sangat gembira dan kagum akannya.”
Riwayat Ahmad (12627) al-Darimi (2430), al-Tabarani di dalam al-Mu‘jam al-Ausat (8850) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19774). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (12627) menilai sanadnya sebagai hasan.
- Al-Ward (الْوَرْدُ)
Kuda al-Ward adalah hadiah daripada Tamim al-Dari kepada Rasulullah SAW. Kemudian, kuda ini diberikan kepada Umar bin al-Khattab R.A. Umar R.A membawa kuda ini dalam perang di jalan Allah, kemudian beliau mendapati ia dijual dengan harga yang murah. Al-Ward ialah antara warna coklat dan perang. Diriwayatkan juga bahawa al-Ward sebelum ini merupakan kuda bagi Hamzah bin ‘Abd al-Muttalib R.A. (Lihat Imta’ al-Asma’, 7/198-199)
- Mandub (مَنْدُوبٌ)
Mandub merupakan haiwan tunggangan Nabi SAW yang dipinjam daripada Abu Talhah bin Zaid bin Sahl R.A. Daripada Anas bin Malik R.A, katanya:
كَانَ فَزَعٌ بِالْمَدِينَةِ، فَاسْتَعَارَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَسًا لَنَا يُقَالُ لَهُ مَنْدُوبٌ، فَقَالَ: مَا رَأَيْنَا مِنْ فَزَعٍ وَإِنْ وَجَدْنَاهُ لَبَحْرًا
Maksudnya: “Berlaku suatu peristiwa yang menakutkan di Madinah, lalu Nabi SAW meminjam seekor kuda kepunyaan kami yang diberi nama Mandub. (Kemudian setelah Baginda pulang kepada kami) Baginda bersabda: ‘Kami tidak melihat apa-apa perkara yang menakutkan dan sesungguhnya kami mendapati kuda ini umpama laut (sangat pantas dan selesa menunggangnya).’”
Riwayat al-Bukhari (2857)
(Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 423-429)
Kami akhiri dengan pesanan Allah SWT agar kita bersiap sedia untuk bertembung dengan musuh. Firman Allah SWT:
وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”
Surah al-Anfal (60)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”
Surah al-Baqarah (250)
Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H