Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah iman mempunyai hakikat?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan terlebih dahulu takrif dan definisi iman.

Iman pada bahasa ialah al-tasdiq (membenarkan). Menurut Ibn Manzur, pengertian ini (al-tasdiq) telah disepakati oleh majoriti ilmuan Islam, seperti al-Asfahani, al-Qadhi Iyadh dan al-Tabari juga bersependapat bahawa makna iman dari sudut bahasa ialah membenarkan. Hal ini juga seperti yang disebutkan oleh Ibn Kathir bahawa iman pada bahasa ialah membenarkan atau semata-mata membenarkan. (Lihat Lisan al-’Arab, 3/141; Mufradat Alfaz al-Quran, hlm. 91)

Imam Ahmad berkata: “Iman adalah perkataan dan amalan, boleh bertambah dan berkurang. (Lihat al-Sunnah, 1/207) Imam al-Bukhari dalam awal kitab sahihnya menyebut bahawa: “Iman itu perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan boleh berkurang.” Kemudian beliau berkata lagi: “Cinta kerana Allah dan benci kerana Allah adalah sebahagian daripada iman.” (Lihat Sahih al-Bukhari, dalam kitab al-Iman).

Ibn ‘Abd al-Bar dalam kitabnya al-Tamhid berkata: “Iman menurut ulama’ Ahlus Sunnah di mana mereka adalah Ahlul Athar daripada ulama fiqh dan hadith, – mereka telah bersepakat, iman itu perkataan dan perbuatan dan tidak ada amalan kecuali dengan niat. Iman menurut Ahlus Sunnah bertambah dengan ketaatan dan berkurang kerana maksiat. Segala ketaatan termasuk bahagian daripada iman.” (Lihat al-Tamhid, 9/238)

Ibn Kathir berkata: Iman menurut pengertian Syar’i tidak wujud kecuali dengan adanya keyakinan (i’tiqad), perkataan dan perbuatan. Demikian definisi yang disampaikan oleh kebanyakan ulama. Bahkan Imam al-Syafi’i dan Imam Ahmad bin Hanbal serta Abu ‘Ubaid, serta ulama yang lain juga bersepakat bahawa iman adalah perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan berkurang.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim pada tafsiran surah al-Baqarah, ayat 2).

Syeikh Abd al-Rahman Habannakah menyatakan bahawa iman adalah membenarkan dengan hati atas setiap apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. (Lihat al-Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha, hlm. 80) 

Justeru, iman menurut Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah adalah ikrar dalam hati, diucapkan dengan lisan dan diamalkan dengan anggota badan.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith riwayat daripada Anas R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – لَقِيَ رَجُلًا يُقَالُ لَهُ: حَارِثَةُ، فِي بَعْضِ سِكَكِ الْمَدِينَةِ، فَقَالَ: “كَيْفَ أَصْبَحْتَ يَا حَارِثَةُ؟ ” قَالَ: أَصْبَحْتُ مُؤْمِنًا حَقًّا. قَالَ: ” إِنَّ لِكُلِّ إِيمَانٍ حَقِيقَةً، فَمَا حَقِيقَةُ إِيمَانِكَ؟ ” قَالَ: عَزَفَتْ نَفْسِي عَنِ الدُّنْيَا، فَأَظْمَأْتُ نَهَارِي، وَأَسْهَرْتُ لَيْلِي، وَكَأَنِّي بِعَرْشِ رَبِّي بَارِزًا، وَكَأَنِّي بِأَهْلِ الْجَنَّةِ فِي الْجَنَّةِ يَتَنَعَّمُونَ فِيهَا، وَكَأَنِّي بِأَهْلِ النَّارِ فِي النَّارِ يُعَذَّبُونَ. فَقَالَ النَّبِيُّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -: ” أَصَبْتَ فَالْزَمْ، مُؤْمِنٌ نَوَّرَ اللَّهُ قَلْبَهُ» “.

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW bertemu dengan seorang lelaki yang dipanggil Harithah di beberapa jalan di Madinah dan bertanya: “Bagaimana keadaan kamu pagi ini wahai Harithah?” Beliau menjawab: “Pagi ini aku dalam keadaan mu’min yang hakiki” Nabi bertanya: “Apa maksud ucapanmu, kerana setiap ucapan ada hakikatnya” dia menjawab: “Aku mencampakkan diriku dari dunia, aku beribadah sepanjang malam dan aku berpuasa sepanjang hari, maka aku seolah dapat melihat Arsy Tuhanku dengan jelas, dan aku seolah melihat ahli syurga dalam syurga bagaimana mereka saling menikmatinya, dan seolah aku melihat ahli neraka dalam neraka bagaimana mereka saling diazab” Nabi bersabda: “Kamu telah melihatnya, maka tetaplah seperti itu, seorang hamba yang telah Allah beri cahaya Iman dalam hatinya”

Riwayat al-Bazzar (6948). Al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal (4/469) dan Ibn hajar al-Asqalani dalam al-Isabah (1/290) berkata bahawa dalam sanad ini terdapatnya Yusuf bin Atiyyah dan beliau disepakati ke atas kedha’ifannya dan dinilai sebagai dhaif jiddan.

Kemudian, marilah sama-sama kita tajdidkan iman kita sebagaimana perintah Rasulullah SAW dalam riwayat Abu Hurairah R.A, Baginda SAW bersabda:

جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا؟ قَالَ: أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ

Maksudnya: “Perbaharuilah iman kamu. Dikatakan: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana kami memperbaharui iman kami?’ Jawab Baginda SAW: ‘Katakanlah dengan banyak kalimah (لا إلهَ إلّا اللهُ)’.”

Riwayat Ahmad (8695) dan al-Bazzar (9569). Hadith ini dinilai dhaif oleh al-Albani (896) di dalam al-Silsilah al-Dha‘ifah

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa dan munajat kepada-Nya:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

Surah Ali Imran (8)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 16 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

Leave a Reply