#2648: Mengetahui Kematian

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah benar seseorang yang hampir meninggal dunia mengetahui dia akan meninggal dunia?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”

(Surah al-A’raf: 34)

Setiap makhluk yang hidup di muka bumi ini pasti akan merasai mati, iaitu saat terputusnya perhubungan antara roh dan jasad serta detik permulaan ke alam akhirat. Allah SWT telah menentukan ajal seseorang sejak azali lagi dan apabila sampai masanya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walau sesaat pun. Malaikat Izrail ditugaskan untuk mencabut nyawa dan apabila nyawa sampai di kerongkong, segala pintu taubat telah ditutup dan segala penyesalan tidak berguna lagi.

Dalam menjawab persoalan di atas kami katakan bahawa setiap manusia tidak mengetahui masa dan tarikh kematiannya memandangkan ia adalah rahsia Allah SWT. Akan tetapi terdapat 2 golongan manusia yang mengetahui bila mereka akan meninggal dunia berdasarkan hukum alam dan zahir iaitu:

  • Pertama, mereka yang menghidap penyakit parah yang tiada harapan untuk sembuh dan hayatnya dijangka mengikut doktor pakar. Namun, ini hanyalah jangkaan berdasarkan kajian dan ilmu perubatan.
  • Kedua, mereka yang dihukum gantung mandatori. Masa hukuman gantung telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pesalah.

Walaupun begitu, berlakunya ajal yang boleh berubah bila-bila masa. Pernah terjadi pada zaman gabenor Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi yang memerintahkan supaya dibunuh 3 orang lelaki. 

Kemudian, diberi peluang untuk permohonan akhirnya. Yang pertama berkata, “izinkan saya menziarahi ibu saya untuk saya peluknya dan memohon ampun.” lantas, diperkenankan dan selepas itu dijatuhkan hukuman bunuh. Yang kedua berkata, “Izinkan saya untuk solat beberapa rakaat.” Lantas, diperkenankan setelah selesai dia dibunuh. Kemudian, yang terakhir berkata, “izinkan saya ingin merasa kepala kambing bakar yang dimasak begian, begian, begian…” 

Sedang menunggu tempoh tersebut datang pula arahan hukuman dibatalkan. Algojo atau pelaksana hukuman bertanya kepada yang terakhir, “kenapa kamu memohon permintaan yang pelik, tidak sebagai mana 2 rakan kamu?” Jawabnya, “Aku berbuat demikian semata-mata untuk melengahkan masa agar aku dapat berdoa dan munajat kepada Tuhan kerana qadha’ tidak ditolak kecuali dengan doa, sebagaimana hadith Nabi SAW.”

Ertinya: Walaupun masa adalah sedikit, tapi tetap dia mengharapkan qadha yang terbaik dikurniakan kepadanya. Itulah harapan dan tawakal kepada Allah SWT secara mutlak. Maka, Allah SWT lah yang melepaskannya dan membebaskannya. Benarlah firman Allah SWT:

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Maksudnya: “Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Surah al-Talaq (3)

Akan tetapi, Allah SWT kurniakan kepada sebahagian daripada kita perasaan dengan ucapan dan cakapan yang bahawa ajal sudah hampir tiba. Sebagai contoh, hadith Nabi SAW semasa hajjatul wada’.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا 

Maksudnya: Hai manusia, ambillah manasik haji kamu, sesungguhnya aku tidak tahu aku tidak berhaji lagi selepas tahun ini.

Riwayat al-Nasa’ie (3062), al-Tahawi dalam Ahkam al-Quran (1359). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’ (7882)

Ini terjadi kepada ramai orang, terutamanya orang-orang baik dan soleh. Ia sebagai alamat yang membawa kebaikan kepada seseorang denagn melakukan amalan soleh dengan sebanyak-banyaknya dan akan menajdi husnul khatimah. Benarlah sabda Rasulullah SAW:

Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا عَسَلَهُ؛ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا عَسَلُهُ؟ قَالَ: يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ، ثُمَّ يَقْبِضُهُ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Apabila Allah SWT menghendaki kebaikan bagi hamba-Nya, maka Allah memberinya ‘asal. Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apa maksud ‘asal dari-Nya?” Baginda bersabda, “Allah berikan taufiq untuk beramal soleh, kemudian Allah cabut nyawanya dalam keadaan itu (husnul khatimah).”

Riwayat al-Tirmizi (2132), Ahmad (12214), Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah (393) dan Abu Ya’la (3756). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih mengikut syarat al-Syaikhain.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Bertarikh: 16 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *