Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ustaz berikan tips atau nasihat untuk memperoleh fokus dalam pekerjaan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ﴿٧﴾ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ
Maksudnya: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! ”
(Surah al-Zalzalah: 7-8)
Ada kerja tetapi tidak fokus, akhirnya semua kerja tidak siap. Jika buat projek semuanya akan terbengkalai. Sebenarnya mereka yang tidak fokus dalam satu-satu kerja akan menyebabkan berlaku banyak kelemahan dan kecuaian. Begitu juga kerjanya tidak akan sempurna bahkan jauh daripada mencapai sasaran matlamat. Hasilnya merudum. Bacalah sejarah Imam Syafi’i, katanya: “Kalau aku panah sepuluh kali, tidak ada satu pun yang tidak tepat.” Ini menunjukkan betapa Imam Syafie seorang yang benar-benar fokus, aim dan target.
Antara punca tiada fokus ialah, apabila jiwa bercelaru dan banyaknya masalah peribadi dan keluarga. Sebagai contoh bebanan hutang yang perlu dilangsaikan akan menjadi satu tugasan lain yang bertimbun untuk difikirkan bagi menyelesaikannya. Ia akan menambah beban pada diri sendiri di mana kemungkinan besar tekanan boleh terjadi.
Cara untuk fokus dalam kerja adalah kita katakan tidak kepada sebarang bentuk gangguan seperti telefon bimbit, media sosial, youtube dan juga ajakan serta pujukan yang mengganggu dan menghalang pekerjaan.
Begitu juga, perlu tegas melaksanakan tugasan yang dijadualkan dan jangan banyak menyibuk tugasan yang tiada dalam jadual serta kerja tambahan yang tiada kena mengena dengan tugasan hakiki.
Suka dinyatakan bahawa memberi perhatian dan fokus pada kerja bukan sahaja membantu menyelesaikan pekerjaan tepat pada masanya tetapi yang lebih penting seseorang itu boleh mencapai produktiviti hasil kerja yang tinggi. (Lihat Masa Peliharalah, hlm. 124-126)
Pembinaan fokus bermula dengan matlamat dan kefahaman yang jelas yang disulami dengan ilmu. Apabila wujudnya sebuah idea yang baik, maka hendaklah disertai dengan fokus serta azam agar ia tidak hanya berada di awang-awangan yang tiada sebarang tindakan untuk melaksanakan dan mencapai matlamatnya. Benarlah kata pujangga:
إِذَا كُنتَ ذَا رَأَي فَكُنْ ذَا عَزِيمَةٍ فَإِنَّ فَساد الرأي أَنْ تَترددا
“Jika kamu mempunyai pemikiran yang baik, maka sertakanlah dengan azam
Ini kerana rosaknya pemikiran apabila kamu tidak tetap pendirian.”
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
Bertarikh: 16 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H