Soalan:

Salam Dato’ Seri saya ingin bertanya, bolehkah kita menyumbangkan keperluan seperti wang, makanan dan sebagainya kepada non-muslim sekiranya berlaku kematian keluarga mereka? terutamanya ketika kita sendiri tidak dapat menziarahi jenazah. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّالْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tiada melarang kamu untuk berlaku baik dan berbuat adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak mengusirmu dari negerimu.”

(Surah Al-Mumtahanah: 8)

Ibn Kathir telah menafsirkan ayat di atas dengan berkata, bahawa Allah SWT tidak menghalang umat Islam berbuat baik terhadap orang bukan Islam selagi mana mereka tidak menentang dalam hal berkaitan agama, tidak menindas kaum wanita dan orang-orang yang lemah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/90)

Asas hubungan antara Muslim dan non-Muslim ialah toleransi, ihsan dan perdamaian. Perbezaan agama tidak menghalang kita daripada berbuat baik sesama kaum kerabat atas dasar kekeluargaan atau kepada sesiapa sahaja atas dasar kemanusiaan.

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan tidak ada masalah untuk menyumbangkan wang atau apa-apa keperluan kepada non muslim sebagai ihsan kepada mereka lagi lagi kepada jiran tetangga. Yang demikian  bertujuan meringankan beban dan bagi membolehkan keluarga si mati meneruskan kehidupan mereka kerana dalam situasi yang telah disebutkan mungkin mereka berada dalam kesusahan akibat hilangnya punca pencarian dan sebagainya. Yang demikian kerana menolong orang yang berada dalam kesusahan merupakan perkara yang dianjurkan oleh syara’. Ini sebagaimana firman Allah SWT :

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا

MaksudnyaMereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.

(Surah al-Insan: 8)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Mereka memberi makanan kepada orang yang berhajat seperti orang miskin, anak-anak yatim dan tawanan perang dalam masa yang sama mereka juga menyukai harta dan makanan tersebut. Akan tetapi, mereka lebih mencintai Allah daripada diri mereka sendiri. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.90)

Ayat di atas menunjukkan kepada kita bahawa Islam amat menganjurkan kita membantu orang yang berada dalam kesusahan seperti orang-orang miskin,anak-anak yatim bahkan juga kepada orang bukan Islam seperti tawanan perang dan sebagainya.

Begitu juga dengan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Lihat al-Maidah: 2)

Namun, sumbangan tersebut hendaklah bukan daripada sedekah yang wajib iatu zakat kerana zakat lebih diutamakan kepada orang Islam. Yang demikian sebagimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Syafi’e kata beliau: Tidak mengapa untuk bersedekah kepada orang musyrik dari sedekah yang sunat dan tidak dibolehkan menyumbang dari sedekah yang wajib. (Lihat al-Umm, 2/65)

Justeru kami katakan berbuat ihsan kepada non muslim yang tidak memerangi Islam adalah perkara yang diperintahkan oleh syara’ seperti memberi bantuan kepada mereka yang berada dalam kesusahan. Allah SWT memerintahkan kita supaya berlaku adil dan berbuat ihsan kepada sesiapapun.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ

MaksudnyaSesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman.”

(Surah al-Nahl: 90)

Diriwayatkan daripada Syaddad Bin Aus bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu.”

Riwayat Muslim (1955)

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redاai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

(Surah al-Naml :19)

Wallahua’lam

Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

Leave a Reply