Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Baru-baru ini berlaku di Masjid al-Haram yang mana Syeikh Maher al-Muaiqly tidak dapat menyempurnakan surah al-Fatihah dan juga solat jumaat kerana keletihan dan beliau mengundurkan diri dan digantikan oleh Syeikh Abd al-Rahman al-Sudais. Syeikh al-Sudais kemudiaannya meneruskan bacaan al-Fatihah tersebut tanpa mengulanginya daripada awal. Justeru, saya ingin bertanya tentang hukum imam yang ganti menyambung surah al-Fatihah ini, kerana saya ada bertanya hal ini kepada seorang ustaz yang mengatakan imam tetap kena ulang fatihah secara sir. Mohon pencerahan. 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Baru-baru ini pihak Jabatan Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah mengeluarkan kenyataan berkenaan peristiwa yang berlaku pada hari ini, 24 Muharram 1445 Hijrah semasa solat Jumaat di Masjidil Haram. Ketika itu, Imam dan khatib Masjidil Haram, iaitu Syeikh Dr. Maher bin Hamad Al-Muaiqly, mengalami keletihan dan kepenatan pada bahagian akhir khutbah dan pada awal solat. Beliau tidak mampu melengkapkan solat, maka beliau terpaksa mengundurkan diri dan digantikan oleh Pengerusi Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang juga Imam dan khatib Masjidil Haram, iaitu Syeikh Dr. Abdul Rahman bin Abdul Aziz al-Sudais, yang melengkapkan solat berjemaah tersebut. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan dalam syara’ bahawa dibolehkan untuk imam mengundurkan diri dan digantikan dengan orang lain untuk menyempurnakan solat tersebut.

Pada asasnya, jika imam menghadapi keuzuran yang menghalanginya daripada menyelesaikan solatnya atau daripada terus berada dalam posisi imam, maka dia dibenarkan untuk menyuruh salah seorang daripada makmum di belakangnya untuk melengkapkan solat secara berjemaah. Ini adalah merupakan pandangan kebanyakan ulama.

Dalam menjawab persoalan di atas, saya sendiri telah melihat di dalam YouTube apa yang berlaku di mana Syeikh Maher al-Muaiqly tidak dapat menghabiskan bacaannya pada ayat  اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ lantas disambung oleh Syeikh Dr. Abdul Rahman bin Abdul Aziz al-Sudais. Justeru, kami katakan bahawa ulama fiqh telah berbahas dengan panjang lebar jika imam berada dalam keuzuran seperti itu. Kami nukilkan beberapa pendapat ulama.

Imam al-Nawawi berkata: “Ibnu al-Munzir meriwayatkannya daripada Umar bin al-Khattab, Ali, Alqamah, Ata’, al-Hasan al-Basri, al-Nakha’i, al-Thauri, Malik, ahli ra’yi, dan Ahmad. Namun, tidak ada riwayat yang menunjukkan larangan untuk menggantikan imam kepada seseorang.” (Lihat  al-Majmu’, 4/142)

Mereka berdalil dengan perbuatan Umar ibn al-Khattab R.A ketika terluka semasa sembahyang. Beliau mengambil tangan Abd al-Rahman bin ‘Auf, menempatkannya di hadapan dan Abd al-Rahman bin ‘Auf melengkapkan solat jemaahnya bagi orang ramai. (Lihat Sahih al-Bukhari, hadith no. 3700).

Perbuatan ini dilakukan oleh sejumlah sahabat dan juga orang lain, dan tidak ada mengingkarinya, Oleh itu, ia adalah ijma’ para ulama. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 3/252).

Ketidakupayaan imam untuk menyelesaikan tugasnya sebagai imam adalah salah satu yang dibenarkan oleh syara’ dan mesti diganti oleh orang lain bagi menyelesaikan solat secara berjemaah.

Abu al-Walid al-Baji berkata: “Apa yang mewajibkan imam menjadi makmum, iaitu jika dia tidak mampu melakukan salah satu dari rukun solat, maka dia mengundurkan diri dan menyuruh seorang daripada makmum ke hadapan untuk menyempurnakan solat berjemaah yang ditinggakannya.” (Lihat  al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 1/290)

Dalam situasi di mana jika imam tidak dapat menyempurnakan surah Al-Fatihah, maka dia diganti oleh salah satu daripada makmum yang sedang melaksanakan solat berjemaah bersamanya pada saat itu.

Ibnu Qudamah berkata: “Jika imam tidak dapat menyelesaikan surah Al-Fatihah, maka dia diperbolehkan meminta seseorang menggantikannya daripada kalangan mereka yang solat berjemaah bersamanya kerana terdapat keuzuran dalam hal ini. Maka diperbolehkan untuk dia digantikan dengan sebab tersebut, sama keadaannya jika berlaku hadas padanya. Begitu juga sekira terdapat halangan dalam rukun lain ketika solat, maka hendaklah digantikan dengan orang lain untuk menyempurnakan solat tersebut.” (Lihat al-Mughni, 1/944)

Justeru, berdasarkan pada persoalan di atas, kami katakan bahawa pengganti Imam tersebut, iaitu Syeikh Abd al-Rahmad al-Sudais menggantikan tempat Syeikh Mahir dalam keadaan Syeikh Mahir sudah pun melengkapkan beberapa ayat surah al-Fatihah. Oleh sebab itu, Syeikh Abd al-Rahman al-Sudais terus melengkapkan ayat surah al-Fatihah tersebut tanpa mengulanginya daripada awal bagi menyempurnakan apa yang ditinggalkan oleh imam sebelumnya. Selain itu, dalam hal ini terdapat dua kemungkinan, boleh jadi juga beliau sudahpun membaca surah al-Fatihah tersebut secara sirr dan boleh jadi juga beliau terus menyambung bacaan al-Fatihah tersebut. Perkara ini merupakan keluasan dalam fiqh dan solat tersebut bagi imam dan para jemaah adalah sah.

Hal ini juga dikuatkan lagi dengan hadith riwayat daripada Jabir bin Abdullah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ إِمَامٌ فَقِرَاءَةُ الإْمَامِ لَهُ قِرَاءَةٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai imam maka bacaan imam adalah bacaan baginya.”
Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (117) dan Ahmad dalam Musnad-nya (14643)

Imam Ibn Qundus daripada kalangan ulama Hanabilah menyebut: “Pendapat yang zahir ialah bacaan Imam cukup mengambil tempat bagi bacaan makmum, jika solat Imam itu sah.” (Lihat al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 33/52)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan adalah dibolehkan bagi imam yang tidak dapat menyempurnakan solat jemaah kerana keuzuran untuk digantikan dengan salah seorang makmum dalam solat berjemaah tersebut sebagaimana ijma’ para ulama’. Bahkan sekiranya imam tidak dapat menyempurnakan surah al-Fatihah tersebut, maka hendaklah ia digantikan dan disambung oleh salah seorang makmum dibelakangnya bagi menyempurnakan solat berjemaah tersebut dan solat tersebut adalah sah berdasarkan hukum syara’. 

Di sini fahamlah kami betapa pentingnya imam serta makmum terutamanya pengganti imam mereka yang faqih dalam agama dan khususnya dalam fiqh al-Solah. Dengan itu, ia dapat diselesaikan sebaik mungkin mengikut kehendak syarak.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a`lam

Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

Leave a Reply