Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kita sering melihat di tempat kerja budaya suka bercakap atau berbual yang menghabiskan banyak masa. Boleh beri pendapat Dato’ Seri tentang perkara ini dan nasihat untuk menjadi lebih baik di tempat kerja?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

Riwayat al-Bukhari (6018)

Seseorang itu hendaklah berfikir dahulu apabila bercakap tentang hukum sesuatu. Jika dia mengetahui dan mendapat gambar yang jelas, barulah dia bercakap. Sebaliknya jika tanpa mengetahui hakikat sesuatu, lebih baik dia diam, kerana keselamatan itu adalah pada yang diam. (Lihat Hilyah Talib al-Ilmi, hlm. 16)

Ini juga masalah kerana ia bukan sahaja sibuk tetapi menjadikan orang lain terpaksa melayan sikapnya. Bahkan boleh pula buat “meeting yang tidak syarie” yang tidak ada kena mengena dengan bidang tugasannya.

Pepatah menyebut: “Orang yang hebat hanya memiliki sedikit masa namun banyak hasil dan kerjanya. Sedangkan orang yang malang memiliki banyak masa, namun hanya sedikit sahaja yang dapat dilakukannya.”

Sebab itu dikatakan banyak cakap kerja tak selesai sebenarnya tidak ada gunanya pun. Perkara ini kadang kala mengganggu tumpuan dan fokus pekerja yang berhampiran dengannya. Cuba contohi budaya kerja masyarakat Jepun.

Antara budaya kerja orang Jepun ialah:

  • Orang Jepun akan memberikan yang terbaik.

Menjadi satu kelaziman bagi ramai pekerja untuk berkata bahawa mereka boleh menyelesaikan sesuatu pekerjaan walaupun ianya melebihi kemampuan. Namun bagi orang Jepun, ia adalah sebaliknya. Mereka akan menerima sesuatu kerja yang diberikan dengan rasa sederhana namun hasil yang diberikan sangat mengagumkan.

  • Bilik mesyuarat bukannya sekadar untuk berbincang

Di mana-mana syarikat serata dunia biasanya mengganggap bilik mesyuarat atau konferens sebagai tempat untuk membincangkan kerja-kerja sedia ada dan mencapai kata sepakat mengenai projek tertentu. Namun bagi orang Jepun, ia lebih daripada itu. Bilik mesyuarat mereka merupakan tempat untuk melaporkan kemajuan yang dicapai, dan ia menjadi satu platform meningkatkan daya efisyen mereka.

  • Lambat buat keputusan tidak mencerminkan ketidakcekapan seseorang

Memang betul jika seseorang itu lambat untuk bertindak dan memberikan keputusan, individu itu dikatakan tidak cekap dan tidak boleh diharap. Berbeza dengan orang Jepun, cepatnya membuat keputusan tidak memberikan jaminan bahawa ia adalah keputusan yang tepat. Mereka biasanya akan mengambil masa lebih lama untuk membuat keputusan kerana ia melibatkan perbezaan dalam proses membuat keputusan. Risiko dan peluang akan diteliti terlebih dahulu dan bagaimana keputusan tersebut akan memberikan impak kepada syarikat secara menyeluruh. Dokumentasi serta mesyuarat-mesyuarat akan diadakan bagi menyemak keputusan yang akan dibuat sekaligus meminimakan kesilapan dan meningkatkan konsistensi

  • Berusaha menyelesaikan masalah daripada memberi alasan

Cara bekerja yang amat dikagumi yang ada pada orang Jepun adalah mereka tidak memberikan alasan jika sesuatu kesalahan dilakukan. Sebaliknya mereka mencari penyelesaian. Bagi mereka tiada seorang pun yang tidak pernah melakukan kesilapan. Apa yang membezakan ialah mereka menerima kesalahan tersebut dan mencari cara untuk betulkan dan elakkan pada masa akan datang. Mereka dilatih dengan cara ini sehinggakan tiada keperluan bagi mereka untuk menyalahkan sesiapa.

  • Tidak berpuas hati dengan kejayaan

Jika sesuatu kejayaan dicapai, sudah tentu anda akan dipuji. Namun ini tidak berlaku di Jepun. Mereka seolah-olah tidak berminat dengan hasil yang dicapai tetapi lebih memberi perhatian kepada proses bagaimana ia dicapai dan cara untuk menjadikan ia lebih baik pada masa akan datang.

Proses ini dikenali sebagai Kaizen yang dalam kebanyakan bidang akan dilaksanakan dengan merancang, melakukan dan melihat hasilnya. Daripada hasil itu mereka akan menganalis apa yang mereka boleh perbaiki dan pertingkatkan. Mereka lebih kepada menggunakan hasil sebagai peluang untuk belajar dan reflek, tidak seperti kebanyakan orang yang mengganggap hasil itu adalah kejayaan semata-mata. Orang Jepun lebih berminat menilai dengan statistik berbanding percayakan pendapat dan pertimbangan peribadi. Mereka akan menghitung segala perkara. Menghitung segalanya termasuk sesuatu yang tidak boleh dilihat. Dengan ini segala perancangan yang akan dibuat akan lebih jelas dan sistematik.

  • Mengenali rakan sekerja

Jika pada siang hari mereka bergelut dengan masalah perniagaan namun ianya berubah serta-merta menjelang malam. Mereka tidak akan membincangkan lagi hal kerja sebaliknya menggunakan masa di luar waktu kerja untuk bersosial dan mengenali rakan sekerja atau rakan kongsi secara menyeluruh. Ini amat penting dalam perniagaan kerana ia dapat membina kepercayaan dan meluaskan komunikasi sesama mereka.

Mengambil pendapat semua pihak dalam membuat keputusan la seperti satu proses yang membuang masa pada awalnya, namun cara ini sangat berkesan. Mereka akan meminta pendapat semua yang terlibat dalam melakukan sesuatu keputusan kerana apabila memberikan kerjasama, ia disusuli dengan komitmen. Dan apabila sesuatu keputusan atau idea telah dibuat, semua orang akan berasa ianya merupakan idea mereka bersama. Cara ini membuatkan mereka lebih dihargai serta tidak meninggalkan sesiapa terkebelakang.

  • Bekerja kerana nilai

Daripada bekerja untuk menjadi seorang yang berjaya, orang Jepun lebih mementingkan bekerja untuk menjadi seorang yang bernilai. Usaha keras akan dilontarkan untuk memberikan nilai yang terbaik kepada pelanggan.

  • Tidak pecat tetapi latih

Mereka tidak akan memecat sewenangnya melainkan hanya pekerja mahu berhenti. Pekerja yang dilihat tidak cekap akan dilatih oleh syarikat dengan apa cara sekalipun bagi membantu mereka bertambah baik. Ia sangat berbeza dengan kita yang sering melihat ketidakcekapan seseorang itu sebagai liabiliti dan memecat serta mencari pengganti baru yang tidak pasti sama ada lebih baik atau buruk. Dan pekerja yang dipecat itu tidak akan menjadi bertambah baik dan secara tak langsung menyumbang kepada ketidakcekapan negara jika dilihat daripada skala besar.

  • Keseragaman pemikiran.

Bagi orang Jepun, semua orang mempunyai latar belakang yang sama untuk memahami sesuatu situasi. Kelebihan daripada perkara ini adalah mereka tidak perlukan perkataan untuk memahami sesuatu dan ini merupakan satu kemahiran komunikasi penting di Jepun.

  • Hormat dan rujuk kepada yang lebih tua

Mereka menghargai individu yang lebih tua kerana kebijaksanaan dan pengalaman yang telah dicurahkan kepada syarikat. Umur dianggap seperti pangkat. Seseorang itu dikatakan semakin penting apabila semakin tua. Jika dilihat dalam budaya kita di Malaysia, ramai anak muda yang tidak menghormati mereka yang lebih tua hanya kerana kejayaan yang dikecapi. Apabila menunduk tanda hormat, golongan muda akan menunduk dengan sebenar tunduk menunjukkan rasa hormat kepada senior. Bagaimana untuk mengambil ini sebagai contoh? Hormat dan rujuk kepada mereka yang lebih berpengalaman, dan jika anda tidak bersetuju dengan pihak atasan, cuba untuk luahkan secara persendirian. Jangan cuba untuk mempersoalkan kuasa mereka secara terbuka.[1]

Profesor Diraja Ungku Aziz pernah berkata: Kita tidak akan melahirkan manusia unggul dengan bercakap- cakap sahaja.” Hala tuju hidup Pak Ungku Aziz adalah berteraskan kepada apa yang pernah dinukilkan oleh Pendital Za’aba, “kalau ada keyakinan diri semua boleh tercapai.”

Antara bait kata ringkas Ungku Aziz tapi penuh makna dari beliau yang boleh kita ambil sebagai pengajaran dan tauladan:

  • “Rajin bekerja, Rajin bercakap” – bagus
  • “Rajin bekerja, malas bercakap” – kena buli
  • “Malas bekerja, Rajin bercakap” – wayang cina
  • “Malas bekerja, malas bercakap” – tak guna
  • “Malas bekerja, suka mengadu” – lalat hijau
  • “Malas bekerja, suka ponteng” – lebih baik berhenti
  • “Malas bekerja, suka termenung – lebih baik mati

Akhir kalam, marilah sama-sama kita meningkatkan mutu dan nilai pekerjaan kita di samping mempunyai integriti yang tinggi sifat amanah dan juga dedikasi apabila dapat dilakukan dalam kehidupan kita, maka sudah pasti produktiviti pekerjaan yang kita lakukan akan bertambah tinggi nilainya. Inilah yang sepatutnya. Ada pada kita semua.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

[1] VNManpower (http://vnmanpower.com/en/25-most-interesting things about-japanese-business-culture-that-you-mayn %E2%80%99t-know-part- 1bl191.html). Diterjemahkan ke Bahasa Melayu di web https://iluminasi.com/ bm/mengapa-rakyat-negara-jepun-begitu-hebat-1.html

Leave a Reply