Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik qudwah dan uswah untuk semua manusia. Boleh Dato’ Seri ceritakan kejayaan dakwah Rasulullah SAW?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.”

(Surah al-Nahl: 125)

Suka saya nyatakan di sini betapa hebatnya Rasulullah SAW dalam serba serbi tindakannya namun masa yang digunakan adalah amat sedikit. Menakjubkan lagi, kejayaannya sangat luar biasa. Hasil dan natijahnya tak mungkin digugat di sepanjang zaman.

Hanya 23 tahun sahaja masa yang diambil untuk Baginda dapat mengasaskan sebuah negara yang menuju kecemerlangan dengan luar biasa. Dapat menumbangkan dua kuasa besar dunia ketika itu, empayar Rom dan empayar Parsi yang sudah bertapak ribuan tahun lamanya dan mempunyai ratusan ribu atau jutaan bala tentera. Tetapi Rasulullah SAW hanya mempunyai sahabat yang setia jauh lebih sedikit daripada mereka. Namun dengan keimanan, akhlak yang unggul, sifat-sifat mahmudah akhirnya mereka berjaya membuka dunia dengan keadilan dan cahaya keimanan yang menerangi segenap ufuk.

Dalam kehidupan Rasulullah SAW sekalipun tidak tersurat dan tertulis, tetapi Baginda SAW dapat mengatur masanya dan menyusunnya dengan pantas. Begitu juga nilai masa yang wujud padanya digunakan dengan sebaik mungkin agar ia benar-benar bermanfaat dan berkualiti. Bayangkan dalam masa 10 tahun sahaja pembentukan negara Madinah, Baginda telah menghantar banyak surat kepada pembesar Rom, Parsi, Mesir, Habsyah dan lain-lain. Banyak kali berlaku peperangan tetapi kebanyakannya berpihak kepada Islam. Banyak negara dapat dibuka dengan cahaya Islam yang kemudiannya diteruskan oleh Saidina Abu Bakar R.A dan Saidina Umar R.A.

Walaupun Rasulullah SAW dilahirkan dalam masyarakat yang digelar Jahiliyyah, tetapi selepas turunnya wahyu al-Quran yang membawa petunjuk hidayah dan menerangkan daripada petunjuk tersebut, kita dapati Baginda SAW dapat membentuk pola pemikiran sahabat dalam pelbagai aspek sama ada sudut pandang, misi, visi, matlamat, hala tuju dan juga bagaimana menyelesaikan kemelut dan permasalahan yang dihadapi dengan tuntas, bernas serta tepat. Inilah kelebihan yang tidak wujud pada orang lain.

Kesan daripada itu bila mana sahabat yang menjadi anak didik Rasulullah SAW dan mendapat tarbiyah secara langsung daripada Rasulullah SAW, makanya kita dapati Baginda jauh ke depan dan para sahabat juga dapat mengikut jejak langkahnya. Ini lebih terserlah lagi apabila mereka diutuskan bertemu dengan pemimpin negara atau panglima mereka.

Bahasa yang mereka ungkapkan seperti Ja’far bin Abi Talib kepada Raja Najasyi, Rub’ie ibn ‘Amir kepada panglima Rostem dan lain-lain jelas menunjukkan bahasa mereka adalah dari didikan Rasulullah SAW. Penuh dengan ilmu, sarat dengan hikmah, tinggi falsafahnya dan dalam maknanya. Ia juga menjadi lambang betapa mereka mendapat ilmu yang luar biasa dengan kefahaman yang amat mendalam. Inilah generasi sahabat dan disambung oleh generasi tabi’in selepasnya kerana pegangan dan kefahaman mereka adalah al-Quran dan al-Sunnah.

Kami telah nyatakan di dalam buku Garis Masa Hayat Al-Rasul SAW, berkenaan kejayaan Rasulullah SAW walaupun hanya 10 tahun berada di kota Madinah tetapi dapat melakarkan banyak kejayaan yang besar. Tidak sebagaimana mana-mana tokoh di dunia ini, termasuklah dalam bidang dakwah. Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

(Surah Ali ‘Imran: 8)

 

Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

Leave a Reply