Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah Rasulullah SAW berjaya mentadbir kota Madinah selepas peristiwa hijrah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Rasulullah SAW telah membina kerangka perlembagaan Madinah yang dipanggil mithaq Madinah. la dibina dengan penuh keadilan, kesaksamaan, kepedulian dan kecaknaan kepada seluruh rakyat dengan memberi hak masing-masing tanpa menzalimi walau sedikit pun. Inilah yang dinyatakan dan disusun atur oleh Baginda SAW.

Justeru, melihat kepada mithaq yang disusun itu, ia telah membentuk satu negara Islam Madinah yang daripadanya seluruh lapisan masyarakat merasa kebahagiaan, keharmonian, ketenangan dan hak masing-masing terbela. Menakjubkan lagi, sebuah qanun (undang-undang) yang bersifat syumul, lengkap dan sempurna itu telah dapat digariskan dalam masa yang amat singkat.

Begitu juga, Rasulullah SAW telah mengikatkan persaudaraan yang dikenali sebagai muakhah di mana hasilnya, hubungan sesama Islam begitu ampuh dan kukuh.

Benarlah firman Allah SWT:

 إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

Maksudnya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.”

(Surah al-Hujurat: 10)

Seterusnya, Rasulullah SAW juga telah membina masjid sebagai markas atau tempat aktiviti ibadat seperti solat, zikir, baca al-Quran, ta’lim dan pembelajaran ilmu serta tempat syura. Maka, tidak peliklah masyarakat Islam begitu kukuh dan ampuh dalam melaksanakan ketaatan keapda Allah SWT.

Hasil daripada tarbiyah Rasulullah SAW dan kota Madinah telah menjadi tapak tamadun Islam ynag pertama di samping pembinaan akhlak yang unggul dan serba-serbi dibina melalui petunjuk Ilahi dan hadyun nabawi. Makanya, jadilah Madinah tamadun insani yang tertinggi yang dipandu dengan dini dan hidayah. Itulah uniknya kota suci Madinah al-Munawwarah ketika ditadbir oleh Rasulullah SAW.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

(Surah al-Kahf: 10)

Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

Leave a Reply