Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Antara amalan umrah sunat dengan amalan sedekah memberi makan kepada fakir miskin, manakah yang lebih utama?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pada asasnya, tidak dapat dinafikan bahawa umrah memiliki kelebihan yang besar. Antaranya dalilnya, daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا
Maksudnya: “Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya.”
Riwayat Bukhari (1773) dan Muslim (1449)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan di sini kenyataan Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili yang menyebut: “Menyelamatkan orang fakir dan miskin atau membelanjakan harta di jalan Allah SWT untuk jihad dan lainnya, atau membantu para mujahidin di negara-negara yang sedang dijajah adalah lebih utama dan afdhal. Kerana jihad lebih utama daripada amalan-amalan lainnya, dan kerana menyelamatkan kehidupan orang yang sedang kelaparan lebih wajib. (Lihat Fatawa Mu’asirah oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 38)
Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَيْسَ الْمُؤْمِنُ الَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ
Maksudnya: “Bukanlah orang mukmin itu seorang yang kenyang sedangkan jirannya berada dalam keadaan lapar.”
Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (112)
Selain itu, Allah SWT berfirman:
وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”
(Surah al-Hasyr: 9)
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut: Sesungguhnya perintah melakukan ibadat sunat yang berkait dengan kebajikan itu luas dan banyak. Allah SWT tidak menyempitkannya untuk hamba-hamba-Nya. Orang-orang beriman yang melihat (dengan mata hati), itulah orang-orang yang memilih di antara pintu-pintu kebajikan mengikut keadaan yang sewajarnya dan lebih menepati masa dan keadaan dirinya. Oleh itu, apabila menunaikan haji secara sunat mendatangkan penganiayaan atau mudarat melibatkan sesetengah manusia, maka Allah SWT memberi ruang lain kepada orang Islam agar dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT tanpa menganiayai sesiapa.
Di sana terdapat sedekah yang memerlukan dan yang miskin, terutamanya kaum kerabat dan yang mempunyai tali persaudaraan dengan kita. Di dalam hadith, daripada Salman bin ‘Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الصَّدَقَةَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ
Maksudnya: “Bersedekah kepada orang miskin merupakan suatu sedekah dan bersedekah kepada orang yang mempunyai pertalian dengan kita itu dua sedekah; Iaitu sedekah dan menghubungkan silaturrahim.”
Riwayat al-Tirmizi (685), al-Nasa’ie (2582), Ibn Majah (1844( dan Ahmad (16279), Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini sahih li ghairihi.
Kadang-kadang, pemberian nafkah kepada mereka itu menjadi wajib apabila mereka dari kalangan orang-orang yang senang, sedangkan saudara mereka dari kalangan orang-orang yang susah.
Demikian juga orang-orang fakir yang merupakan jiran kita sendiri kerana mereka mempunyai hak sebagai jiran selepas hak sebagai seorang Islam dan bantuan yang dituntut itu boleh mencapai tahap wajib kepada mereka dan adalah berdosa bagi mereka yang mencuaikan perkara ini. Lantaran itu, hadith lain menyebutkan:
لَيْسَ الْمُؤْمِنُ الَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ
Maksudnya: “Bukanlah orang mukmin itu seorang yang kenyang sedangkan jirannya berada dalam keadaan lapar.”
Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (112)
Di sana, terdapat juga sedekah untuk pertubuhan agama, pusat-pusat Islam, sekolah-sekolah mengajar al-Quran, yayasan-yayasan kemasyarakatan dan pendidikan yang berasaskan kepada dasar Islam. Akan tetapi, institut-institut ini kecundang dan dipijak-pijak kerana tidak ada orang yang menyalurkan dana dan menghulurkan bantuan sedangkan yayasan-yayasan missionari Kristian memperolehi pembiayaan beratus-ratus juta dolar untuk membiayainya, dan menggunakan dana tersebut untuk menjayakan perancangan mengacau-bilaukan agama Islam, memecah-belahkan kesatuan orang-orang Islam dan cuba memurtadkan orang Islam walaupun mereka tidak berjaya mengkristiankan orang Islam. Apa yang penting kepada mereka adalah dapat menggoyahkan iman dan akhirnya tidak beragama langsung.
Kegagalan projek-projek Islami bukanlah kerana harta orang Islam sedikit. Pada hari ini, ada di antara negara Islam yang dianggap negara yang paling kaya di dunia. Bukan kerana ahli kebajikan dan orang yang membelanjakan harta itu sedikit. Dalam kalangan orang-orang Islam itu, sentiasa ada orang-orang yang baik dan melakukan kebajikan, tetapi kebanyakan daripada perbelanjaan itu diletakkan bukan pada tempatnya.
Sekiranya beratus-ratus atau beribu-ribu orang yang mengerjakan haji dan umrah setiap tahun secara sunat mengagihkan harta yang dibelanjakanya untuk menunaikan haji dan umrah tersebut kepada tujuan pelaksanaan projek-projek Islami atau membantu ke arah jalan tersebut, dan menyusun sebuah organisasi yang baik, pasti akan mengembalikan kebaikan dan kemajuan pada masa sekarang dan akan datang kepada seluruh umat Islam, dan membolehkan petugas-petugas yang ikhlas berdakwah mendapatkan dana dan bantuan untuk menghadapi arus missionari Kristian, Komunisme, Sekularisme dan aliran-aliran yang menjadi tali barut Barat dan Timur yang berbeza-beza tetapi sepakat dalam menentang hala tuju Islam yang sebenar. Mereka menyekat jalan Islam dan memecah belahkan umat Islam dengan pelbagai cara. (Lihat Fatawa Mu’asirah oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi, 1/308)[1]
Penutup
Dalam isu ini, amat perlu untuk kita memahami fiqh aulawiyyat dan hal ini telah dibincang oleh para ulama ketika negara sebahagian umat Islam dilanda perang. Hal ini menyebabkan ada ulama memfatwakan daripada melaksanakan umrah seperti orang-orang kaya di negara teluk yang menjadi kelaziman mereka dengan berbelanja mewah hendaklah menukar daripada pergi menunaikan umrah dengan duit tersebut diinfakkan kepada saudara-saudara yang berada dalam penindasan dan kancah peperangan. Maka, asas yang dikemukakan ini ada logik dan benarnya.
Kami akhiri dengan doa dan munajat:
اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”
Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H
[1] Lihat juga laman web Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi: https://www.al-qaradawi.net/node/3700