#2686: Pernah Tawaf Sambil Pegang Kaabah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada satu soalan yang sedang tular sekarang. Apakah pendapat ustaz berkenaan seseorang yang pernah tawaf sambil memegang kaabah ketika tawaf umrah dan tidak tahu bahawasanya perbuatannya itu telah menyebabkan tawafnya terbatal. Lalu dikatakan bahawa status tawaf lelaki itu yang dianggap tidak sah menjadikan ibadah umrahnya masih belum sempurna dan masih berada dalam ihram. Diceritakan bahawa perkara itu berlaku 8 tahun lepas, dan dia sudah menikahkan 3 orang anak perempuannya. Dikatakan akad pernikahan itu tidak sah, menjadikan anak yang lahir hasil perkahwinan itu (iaitu cucu-cucunya) juga tidak sah taraf kerana dia masih dalam ihram dan salah satu larangan ihram tidak boleh menikahkan orang lain. Benarkah begitu? Mohon penjelasan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab soalan di atas, kami bahaskannya kepada dua bahagian. Pertamanya, perbincangan berkenaan kesahan tawaf bagi tangan yang menyentuh dinding Kaabah. Pada asasnya, di antara syarat sah tawaf ialah hendaklah ketika tawafnya, seluruh badannya berada di luar daripada Kaabah. Maka, sesiapa yang melakukan tawaf di luar kawasan Kaabah tetapi kadang-kadang termasuk atas Syazarwan[1] atau berada di luar Syazarwan tetapi tangannya menyentuh dinding Kaabah atau seumpamanya, maka tawafnya tidak sah mengikut pendapat yang paling sahih.

Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al- ‘Umrah bahawa hendaklah ketika tawafnya, seluruh badannya di luar daripada Kaabah. Jika dia melakukan tawaf atas Syazarwan atau dalam Hijir Ismail, maka tidak sah tawafnya, kerana dia tawaf dalam kawasan Kaabah dan bukannya di luar Kaabah. Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan untuk mengelilingi (tawaf) Kaabah, dan Syazarwan dan Hijir Ismail termasuk dalam Kaabah.

Adapun Syazarwan (الشَّاذَروَانُ) iaitu kadar yang ditinggalkan daripada binaan asas yang berada di keluar daripada binaan dinding. Tingginya daripada tanah lebih kurang 2/3 hasta. Abu al-Walid al-Azraqi dalam kitabnya Tarikh Makkah menyebutkan: “Tinggi Syazarwan di langit (ke atas) ialah 16 jari dan lebarnya pula ialah sehasta.” Katanya lagi: “Sehasta bersamaan dengan 24 jari.” Ashab kami dan selain mereka daripada kalangan ulama berpendapat, Syazarwan ini merupakan satu juzuk (bahagian) daripada Kaabah, yang dikurangkan oleh Quraisy daripada dinding asal ketika mereka membina Kaabah, dan ia jelas kelihatan di sekeliling Kaabah, tetapi tidak jelas kelihatan di sisi (berhampiran) Hajarul Aswad. Namun, pada masa kini telah dibina semula di sisinya Syazarwan. Jika seseorang melakukan tawaf di luar kawasan Syazarwan, tetapi kadang-kadang meletakkan salah satu kakinya di atas Syazarwan dan  sebelah yang lain atas lantai, maka tidak sah tawafnya.

Begitu juga jika seseorang melakukan tawaf di luar kawasan Syazarwan dan menyentuh dengan tangannya dinding yang berada sejajar dengan Syazarwan atau selainnya yang terdiri daripada bahagian-bahagian Kaabah, maka tawafnya juga tidak sah mengikut mazhab yang sahih yang telah diputuskan oleh jumhur kerana sebahagian badannya telah termasuk dalam kawasan Kaabah. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 166-167).

Namun, di sana terdapat pendapat kedua dalam mazhab Syafi‘i yang menyatakan bahawa tawafnya tetap sah. Ini juga adalah sebagaimana disebutkan dan difahami melalui kenyataan Imam al-Nawawi. Beliau menyatakan, jika seseorang melakukan tawaf sedangkan tangannya menyentuh dinding yang berada sejajar dengan Syazarwan atau selainnya daripada bahagian-bahagian Kaabah, maka mengenai kesahan tawafnya terdapat dua pendapat (dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i). Pendapat yang sahih dengan kesepakatan ashab adalah tidak sah tawafnya kerana sebahagian badannya berada dalam Kaabah. Ini seperti jika dia kadang-kadang meletakkan salah satu kakinya di atas Syazarwan, lalu melompat dengan satu kaki yang lain. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/81).

Justeru, difahami daripada kenyataan itu bahawa  pendapat kedua dalam mazhab Syafi‘i (pendapat yang marjuh), tawafnya tetap dikira sah. Mengikut pendapat ini, menyentuh dinding Kaabah tidak memberi kesan kepada kesahan tawaf kerana sebahagian besar badan orang yang tawaf masih berada di luar Kaabah. (Lihat I‘Anah al-Talibin oleh al-Dimyati,  2/336).

Keduanya, perbincangan berkenaan kesahan akad nikah oleh wali yang dalam ihram. Ringkasnya, jumhur ulama dalam kalangan mazhab Maliki, Syafi‘i dan Hanbali berpendapat bahawa pernikahan ketika dalam keadaan berihram adalah tidak sah, tidak kira orang itu ialah suami, atau isteri, atau wali yang melakukan akad pernikahan bagi orang yang diwalikannya ataupun wakil yang melakukan akad pernikahan kepada orang yang diwakilkannya. Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

لاَ يَنْكِحُ الْمُحْرِمُ وَلاَ يُنْكَحُ وَلاَ يَخْطُبُ

Maksudnya:Orang yang dalam keadaan ihram tidak boleh bernikah, mahupun dinikahkan atau meminang.”

Riwayat Muslim (1409)

Manakala Ibn Abbas R.Anhuma dan ulama dalam kalangan mazhab Hanafi berpendapat, perkahwinan orang yang dalam keadaan berihram haji atau umrah adalah sah, sehinggakan jika kedua-duanya (suami isteri) dalam ihram. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 41/349-350). Begitu juga al-Zaila‘i dalam kalangan ulama mazhab Hanafi turut menyatakan, dibolehkan baginya untuk mengahwini wanita dalam ihram, begitu juga jika lelaki yang menikahinya dalam ihram atau wali yang menikahkan wanita itu dalam ihram. Ini pendapat Ibn Mas‘ud, Ibn Abbas, Anas bin Malik dan jumhur tabi‘in. (Lihat Tabyin al-Haqa’iq, 2/110).

Pendapat ini adalah berdasarkan kepada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَزَوَّجَ مَيْمُونَةَ وَهُوَ مُحْرِمٌ.

Maksudnya:Nabi SAW menikahi Maimunah ketika Baginda masih dalam keadaan ihram.”

Riwayat al-Bukhari (1837) dan Muslim (1410)

Begitu juga mereka berhujah bahawa hadith yang menjadi dalil pendapat yang berlawanan dengan mereka (iaitu pendapat jumhur ulama) sebagaimana riwayat Muslim di atas, difahami sebagai merujuk kepada larangan bersetubuh. (Lihat al-Hidayah fi Syarh Bidayah al-Mubtadi oleh al-Marghinani, 1/189).

Perbahasan lanjut berkenaan perkara ini, kami telah bahaskan secara panjang lebar dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1083 Berkahwin dalam Ihram.[2]

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat tawaf yang pernah dilakukan oleh seseorang itu suatu masa dahulu dengan menyentuh Kaabah dalam keadaan tidak tahu adalah tetap dikira sah, dengan bertaqlid kepada kepada pendapat kedua dalam mazhab Syafi‘i (pendapat marjuh) serta ulama yang berpendapat sedemikian. Begitu juga akad nikah yang dilakukannya juga dikira sah. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:

مَنْ ابْتُلِيَ بِمُخْتَلَفٍ فِيهِ كَانَ لَهُ أَنْ يُقَلِّدَ مَنْ أَجَازَ

Maksudnya:Sesiapa yang diuji dengan suatu kesusahan yang diperselisihi di dalamnya, maka dia boleh bertaqlid dengan ulama yang mengharuskannya.”

Lebih-lebih lagi, ini bertepatan dengan konsep agama Islam itu sendiri yang meraikan kemudahan dan menghilangkan kesusahan. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya:(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Tambahan lagi, hal ini juga bertepatan dengan Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-33 (25-28 November 2016), bertempat di TH Hotel & Convention Centre, Terengganu, yang menyatakan:

  1. Amalan-amalan haji dan umrah masa lampau yang baru diragui kesahihannya, tidak memberi apa-apa kesan dari segi hukum jika dia yakin sah ketika melaksanakannya dahulu.
  2. Amalan-amalan haji dan umrah lampau yang diyakini tidak sah mengikut mazhab Syafi‘i maka boleh bertaqlid kepada mazhab lain untuk mengesahkannya jika ada.[3]

Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan ibadah haji dan umrah, bolehlah melayari https://bayanlilhaj.com/ yang menghimpunkan soalan-soalan mengenai haji dan umrah atau mendapatkan karya kami, “al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al- ‘Umrah,” terbitan Pustaka Cahaya Kasturi, yang merupakan terjemahan pertama dalam bahasa Melayu bagi karya asal Imam al-Nawawi.[4]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

[1] Binaan yang berbentuk melengkung di bahagian bawah dinding Kaabah sampai ke lantai. Binaan ini dibuat di tiga penjuru Kaabah, tidak termasuk penjuru al-Hijr kerana ia merupakan binaan asal daripada Kaabah. Tingginya daripada lantai lebih kurang 13 cm, lebarnya pula 45 cm. sebahagian pendapat menyebut, al-Zubair membinanya untuk melindungi dinding Kaabah daripada diresapi air dan juga mengikat kelambu Kaabah. Perkataan Syazarwan berasal daripada bahasa Parsi. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 166).

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/1083-berkahwin-dalam-ihram/. Diakses pada 17 Ogos 2023.

[3] Lihat https://www.tabunghaji.gov.my/ms/haji/bimbingan/resolusi-muzakarah-haji-0. Diakses pada 17 Ogos 2023.

[4] Lihat https://bayanlilhaj.com/product/taudhih-panduan-haji-dan-umrah/

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *