Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah kita berdoa bukan dengan menadah tangan, tetapi dengan bersujud walaupun bukan semasa mendirikan solat? 

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاسْجُدْ وَاقْتَرِب ۩

Maksudnya: “Sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!”

(Surah al-‘Alaq: 19)

Diriwayatkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ 

Maksudnya: “Keadaan yang paling dekat seseorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia bersujud. Maka perbanyakkanlah berdoa (pada waktu sujud).”

Riwayat Muslim (482), Abu Dawud (875) dan al-Nasa’ie (1137)

Syeikh Abdul Muhsin al-‘Abbad menyebutkan, sujud (yakni dalam solat) merupakan keadaan yang paling dekat seseorang hamba kepada rahmat dan keutamaan Tuhannya. Dan digalakkan untuk berdoa dalam sujud kerana dia berada dalam keadaan menunjukkan ketaatan dan merendah diri kepada Allah SWT. Maka hamba tersebut berada dalam keadaan menghinakan diri kepada Allah, mengharap dan meminta kepada-Nya.

Dan dalam keadaan sujud ini, yang melambangkan ketaatan dan rendah diri kepada Allah SWT, sebahagian besar anggota badannya berada di atas tanah, berbeza dengan keadaan lain di mana seseorang berdiri, ruku‘, atau duduk. Namun, dalam keadaan sujud, sebahagian besar tubuhnya bersentuhan dengan tanah, dan anggota yang paling mulia yakni wajahnya yang bersentuhan dengan tanah. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 113/3)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, permasalahan utama yang menjadi perbincangan para ulama’ adalah bersujud selain daripada sujud dalam solat. Dalam erti kata lain, sengaja untuk melakukan sujud sahaja, bukan kerana sedang bersolat dan bukan juga kerana melakukan sujud sahwi, sujud tilawah atau sujud syukur.

Pertamanya, kami tidak menjumpai mana-mana dalil syara‘ yang melarang atau membenarkan seseorang untuk berdoa sambil bersujud di luar solat. Adapun yang warid dalam fiqh berdoa adalah menadahkan tangan ketika memohon sesuatu daripada Allah SWT. 

Diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ رَبَّكُمْ تَبَارَكَ وَتَعَالَى حَيِيٌّ كَرِيمٌ ، يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إِلَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhan kamu itu Maha Pemalu dan Maha Mulia. Dia malu kepada hamba-Nya sekiranya hamba-Nya itu mengangkat kedua tangan kepada-Nya lalu Dia membiarkan ia pulang dengan tangan kosong.”

Riwayat Abu Dawud (1488)

Manakala ketika berdoa menolak bala pula, kita disunnatkan untuk berdoa dengan membalikkan telapak tangan. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ اسْتَسْقَى فَأَشَارَ بِظَهْرِ كَفَّيْهِ إِلَى السَّمَاءِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi S.A.W melakukan istisqa’ (meminta doa hujan turun), lalu baginda menghalakan bahagian zahir (atas) kedua pergelangan tangan baginda ke arah langit.”

Riwayat Muslim (895)

Isu bersujud untuk berdoa ini telah dibincangkan oleh para ilmuan silam, kebanyakan mereka melarang perbuatan tersebut kerana tidak ada dalil yang membenarkannya. Ini berdasarkan sebuah kaedah yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي الْعِبَادَاتِ الْحَظَرُ أَوِ التَّوَقُّفُ

Maksudnya: “Asal pada ibadah adalah haram atau tawaqquf.”

Maksud tawaqquf adalah terhenti kepada dalil. Jika terdapat dalil hukumnya dibolehkan. Sebaliknya jika tiada dalil, hukumnya adalah haram. 

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan, ulama’ melarang perbuatan sujud tanpa sebarang sebab (yakni sebab yang disebutkan sendiri oleh syara‘. Bahkan tidak ada seorang pun dari kalangan Salaf melakukannya, dan tidak ada juga aimmah yang mengharuskannya.

Ibn Hajar al-Haitami menegaskan, haram hukumnya mendekatkan diri kepada Allah dengan cara bersujud tanpa sebarang sebab, meskipun baru sahaja selesai solat. (Lihat al-Minhaj al-Qawim, hlm. 136)

Abu Syamah al-Maqdisi menukilkan kalam Imam Abu Hamid al-Ghazali, katanya: “Syeikh Abu Muhammad al-Juwaini sangat mengingkari mereka yang melakukan perbuatan tersebut, dan inilah pandangan yang betul”

Beliau juga menukilkan pandangan kalam Muhammad al-Mutawalli, katanya: “Telah menjadi adat sebahagian orang yang sujud selepas selesai solat dan berdoa dalam sujud tersebut. Sujud itu tidak diketahui asalnya, tidak juga diriwayatkan daripada Rasulullah SAW, tidak juga daripada sahabatnya. Yang lebih utama adalah berdoa ketika sujud dalam solat berdasarkan banyaknya riwayat tentangnya.”

Kemudian Abu Syamah al-Maqdisi menyimpulkan, tidak bermakna jika sujud dalam solat dikira taqarrub (ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT), maka solat di luar solat juga dikira taqarrub, begitu juga ruku‘. (Lihat al-Ba‘ith ‘ala Inkar al-Bida‘ wa al-Hawadith, hlm. 60)

Akan tetapi, sebahagian orang berhujjah dengan sebuah hadith daripada Rabi‘ah bin Ka‘b R.A, katanya:

كُنْتُ أَبِيتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَأَتَيْتُهُ بِوَضُوئِهِ وَحَاجَتِهِ فَقَالَ لِي: ‏سَلْ‏، فَقُلْتُ: أَسْأَلُكَ مُرَافَقَتَكَ فِي الْجَنَّةِ‏،‏ قَالَ: ‏أَوَغَيْرَ ذَلِكَ‏،‏ قُلْتُ: هُوَ ذَاكَ،‏ قَالَ: ‏فَأَعِنِّي عَلَى نَفْسِكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ

Maksudnya: “Aku pernah bermalam bersama Rasulullah SAW, lalu aku datang kepadanya dalam keadaan berwudhu’ dan membawa hajatnya, lalu Baginda SAW berkata kepadaku: ‘Mintalah’ Lalu aku berkata: ‘Aku meminta agar dapat mendampingi kamu di syurga’ Baginda berkata: ‘Adakah selain dari itu?’ Aku katakan: ‘Itu sahaja’ Baginda bersabda: ‘Bantulah aku untuk mewujudkan keinginanmu dengan banyak melakukan sujud’.”

Riwayat Muslim (489)

Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith ini menunjukkan galakan dan motivasi untuk memperbanyakkan sujud. Sujud yang dimaksudkan dengan memperbanyakkan sujud ialah dengan memperbanyakkan solat. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/206)

Hadith ini juga dijawab semula dengan kata-kata al-‘Iraqi yang dinukilkan oleh al-Manawi, katanya: “Bukanlah yang dimaksudkan dengan sujud di dalam hadith ini, sujud selain solat seperti sujud tilawah dan sujud syukur, kerana kedua-duanya disyariatkan atas sebab tertentu. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan sujud di sini adalah sujud dalam solat.” (Lihat Faidh al-Qadir, 5/437)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan yang kami bawakan di atas, perbuatan berdoa sambil bersujud di luar solat tidak mempunyai sandaran yang sahih bagi menguatkan keharusan berbuat demikian. Kecuali seseorang itu dalam solat dan ketika sujud dia boleh berdoa berdasarkan nas yang sahih. 

Kami katakan, sebaiknya berdoalah sepertimana yang dianjurkan sendiri oleh Rasulullah SAW dengan menadah tangan, atau berdoa dalam sujud-sujud solat, atau berdoa pada mana-mana waktu yang dimustajabkan berdoa. 

Semoga dengan pencerahan ini, kita akan lebih bersemangat untuk memperbanyakkan ibadah solat disamping memperbanyakkan berdoa di dalam setiap sujud seperti yang dianjurkan.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا صَلَاتَنَا وَصِيَامَنَا وَقِيَامَنَا وَرُكُوعَنَا وَسُجُودَنَا وَتَخَشُّعَنَا وَتَضَرُّعَنَا وَتَعَبُّدَنَا , وَتَمِّمْ تَقْصِيرَنَا يَا اللَّهُ يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, terimalah solat kami, puasa kami, qiyamullail kami, ruku‘ kami, sujud kami, tunduk serta kerendahan diri kami, dan penghambaan diri kami kepada-Mu ya Allah, sempurnakanlah kekurangan-kekurangan kami ya Allah wahai yang Maha memiliki segala kemuliaan.”

Wallahu a‘lam

 

Bertarikh: 23 Ogos 2023 bersamaan 6 Safar 1445 H

Leave a Reply