Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya tentang amalan berzikir dengan membaca bismillah 786 kali. Adakah amalan ini bidaah atau pun ada hadith yang menyebut tentangnya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Zikir dari sudut bahasa bermaksud mengingati. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, zikir merujuk kepada perbuatan mengingati Allah dengan menyebut kalimah seperti astaghfirullah (aku memohon ampun kepada Allah), Allahu akbar (Allah Maha Besar), sama ada dengan lidah atau dalam hati.

Zikir merupakan suatu ibadah yang menjadi tuntutan kepada umat Islam dalam kehidupan seharian mereka. Antaranya seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! berzikirlah kamu kepada Allah dengan zikir yang banyak.”

(Surah al-Ahzab: 41)

Dan juga firman Allah SWT:

وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: “Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar solat) pada waktu pagi dan petang.”

(Surah al-Insan: 25)

Bahkan galakan berzikir ini juga seperti yang warid dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy‘ari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ

Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.” 

Riwayat al-Bukhari (6407)

Berkenaan amalan zikir dengan membaca Bismillah (بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيمِ) sebanyak 786 kali, berdasarkan sedikit maklumat yang kami perolehi, sebahagian pihak mengkhususkan bacaannya sebanyak 7 hari berturut-turut dengan menyandarkan beberapa fadhilat atau kelebihan tertentu kepada zikir ini seperti ditunaikan bagi mereka yang mempunyai hajat besar. Sebahagian mereka juga  meletakkkan kaifiyyat yang khusus untuk mengamalkan zikir ini dengan cara:

  • Membaca Bismillah sebanyak 786 tanpa tersilap kiraannya, jika tersilap perlu diulang daripada awal.
  • Selesai bacaan Bismillah, niatkan dalam hati apa yang dihajatkan.
  • Habis niat, genggamkan tangan dan baca: (إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ) yang bermaksud: “Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Kiraan sebanyak 786 kali ini pula dikatakan berdasarkan ilmu hisab al-jummal (حِسَابُ الْجُمَّلِ), iaitu turutan setiap huruf dalam bahasa Arab yang mengikuti nilai tertentu.

Rajah: Nilai bagi setiap huruf hija’iyyah

Apabila dijumlahkan kesemua nilai bagi setiap huruf dalam ejaan Bismillah (بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيمِ), ia mencapai 786.

Kami katakan, setiap zikir dan amalan ibadah yang lain wajib bersandarkan kepada dalil dan hujjah yang thabit daripada al-Quran atau hadith. Hal ini kerana umat Islam dilarang melakukan sebarang rekaan amalan-amalan yang disandarkan kepada agama. Perkara ini jelas disebutkan oleh Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan daripada Ummul Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ianya tertolak.”

Riwayat Muslim (1718)

Di dalam riwayat yang lain, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beramal dengan amalan yang bukan berasal dari agama kami, maka amalan itu tertolak.”

Riwayat Muslim (1718)

Ini juga bertepatan dengan sebuah kaedah yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي الْعِبَادَاتِ الْحَظَرُ أَوِ التَّوَقُّفُ

Maksudnya: “Asal pada ibadah adalah haram atau tawaqquf.”

Maksud tawaqquf adalah terhenti kepada dalil. Jika terdapat dalil hukumnya dibolehkan. Sebaliknya jika tiada dalil, hukumnya adalah haram. 

Berkenaan zikir ini secara khusus, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 26 Julai 2007 telah membincangkan mengenainya, mereka memutuskan seperti yang berikut:

  1. Kepercayaan terhadap angka 786 bermaksud Bismillahirrahmanirrahim juga meyakini angka tersebut membawa tuah dan nasib yang sentiasa baik adalah satu kepercayaan yang salah dan bertentangan dengan Akidah Ahli As-Sunnah Wal-jamaah dan syariat serta akhlak Islam.
  2. Perbuatan ini juga termasuk dalam golongan mereka yang mentafsirkan Al-Quran mengikut hawa nafsu dan tidak berdasarkan kepada ilmu dan displin-displinnya serta tidak mendapat hidayah Allah S.W.T.
  3. Semua pihak yang terlibat hendaklah menghentikan kepercayaan dan penggunaan terhadap perkara ini dengan serta merta.
  4. Semua umat Islam dilarang membuat, mencetak, menjual, membeli, mengguna, menyimpan, mempamer, menjadikan perhiasan, menjadikan logo dan menjadikan azimat apa-apa sahaja benda atau barangan yang mengandungi angka 786 tersebut.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, kami katakan bahawa zikir dengan bilangan seperti ini tidak mempunyai sebarang sandaran yang sahih daripada al-Quran dan hadith. Tambahan pula menetapkan kaifiyyat khusus yang secara jelas melanggar hadith ‘Aisyah R.Anha yag kami bawakan. Maka zikir ini merupakan perbuatan bida‘ah yang wajib ditinggalkan kerana ianya bertentangan dengan prinsip Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah dalam berpegang dengan amalan Islam.

Kami juga berpendapat berzikir dengan sebutan sebanyak-banyaknya seperti kalimah basmalah adalah dibolehkan jika tanpa sebarang had dan jumlah yang tertentu kecuali terdapatnya dalil seperti zikir:

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” 

Riwayat Abu Daud (5088), al-Tirmizi (3388), Ibn Majah (3869), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10178) dan Ahmad (446)

Ia hendaklah dibaca sebanyk 3 kali pada waktu pagi dan juga 3 kali pada waktu petang sepertimana hadith di atas. 

Seharusnya, kita mengamalkan zikir-zikir yang sahih dan warid daripada Rasulullah SAW. Telah ramai ilmuan Islam yang membukukan zikir yang ma‘thur, yang mempunyai sandaran dalil.

Kami juga mencadangkan sebuah zikir yang amat baik untuk diamalkan, yang juga ma’thur daripada al-Quran dan hadith. Ini sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَلِمَتَانِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ، ثَقِيلَتَانِ فِى الْمِيزَانِ, حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ: سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ

Maksudnya: “Ada dua kalimat zikir yang ringan diucapkan di lidah, tetapi berat, besar pahalanya pada timbangan amal kebaikan, dan sangat dicintai oleh Ar-Rahman (Allah Ta’ala yang Maha Luas Rahmat-Nya), iaitu: سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ (Maha  Muci Allah dengan memuji-Nya, dan Maha Suci Allah Yang Maha Agung).”

Riwayat al-Bukhari (6682) dan Muslim (2694)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a‘lam

 

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply