Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apa cara atau uslub yang berkesan dalam menyampaikan dakwah? Mohon juga nasihat Dato kepada saya yang baru nak menceburi bidang dakwah. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
(Surah al-Nahl: 125)
Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Serulah ke jalan Allah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan iaitu dengan al-quran dan nasihat pengajaran yang baik dari al-quran. Dikatakan juga nasihat pengajaran yang baik itu adalah menyeru kepada Allah dengan memberi galakan dan ancaman. Pandangan lain juga menytakan: Perkataan yang lembut dan tidak kasar dalam menyampaikan dakwah. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/52)
Begitu juga dengan firman Allah SWT:
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون
Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar merekalah orang-orang yang beruntung.”
(Surah Al-Imran: 104)
Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar bahawa Rasulullah bersabda:
بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
Maksudnya: “Sampaikanlah dari walaupun sepotong ayat.”
Riwayat Bukhari (3461)
Sampaikanlah kepada manusia apa yang Rasulullah SAW katakan dan apa yang dilakukan. Sampaikanlah daripadaku walaupun hanya satu ayat’ (dalam Al-Quran). ‘walaupun’ di sini menunjukkan sedikit, supaya manusia tidak berkata: ‘Saya hanya akan menyampaikan jika saya memiliki pengetahuan yang luas. Manusia seharusnya menyampaikan, walaupun hanya satu ayat, asalkan dia tahu tentangnya.(Lihat al-Tariq ila al-Da’wah,hlm 6)
Dalil-dalil di atas menunjukkan kepada kita bahawa berdakwah dengan menyeru kepada jala Allah merupakan kewajipan kepada setiap muslim lebih-lebih lagi dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran. Yang demikian bergantung kepada kemampuan dan ilmu masing-masing .
Diriwayatkan daripada Abu Sai’d al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: “Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemahnya iman.”
Riwayat Muslim (49)
Merujuk kepada persoalan di atas kami nyatakan antara uslub atau cara yang boleh diaplikasikan dalam menyampaikan dakwah dengan berkesan adalah seperti berikut:
- Dakwah dengan hikmah iaitu dengan ilmu dan kefahaman yang jelas dalam setiap sesuatu kerana dakwah tanpa ilmu tidak akan diterima oleh masyarakat.
Firman Allah SWT:
قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”
(Surah Yusuf:108)
- Hendaklah menyampaikan dakwah dengan kasih sayang dan menggunakan ucapan yang lembut serta hindari daripada menggunakan ucapan-ucapan yang kasar.
Firman Allah SWT:
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ
Maksudnya: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”
(Surah al-Imran: 159)
- Menunjukkan contoh yang baik melalui perbuatan atau penampilannya kerana ia boleh memberi kesan terhadap orang yang didakwah. Yang demikian juga sebagaima yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW baik dari segi penampilan atau akhlak Baginda. Disebabkan dengan itu juga dakwah Rasulullah SAW diterima oleh kaum musyrikin.
Firman Allah SWT:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّه كَثِيرًا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
(Surah al-Ahzab: 21)
- Mengetahui hal keadaan orang yang hendak didakwah baik dari segi psikologi, akhlak, adat, kepercayaan agama, dan kecenderungan mereka agar para pendakwah dapat menyampaikan dakwah dengan cara yang paling efektif dan berkesan serta mencapai matlamat.
- Permudahkan dan jangan menyusahkan kerana Masyarakat akan cenderung mendekati seseorang yang memudahkan bagi mereka pemahaman hukum – dengan syarat bahawa hukum tersebut adalah yang sahih menurut perspektif fiqh dan memiliki bukti yang sahih. Ini juga sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يسِّرُوا ولا تُعَسِّرُوا.
Maksudnya: “Permudahkanlah dan jangan menyulitkan.”
Justeru nasihat saya kepada saudara supaya teruskan berdakwah di jalan Allah SWT dengan mengajak manusia ke jalan yang benar dan mencegah segala kemungkaran yang ada di muka bumi ini kerana berdakwah ini merupakan kewajipan kita sebagai muslim sebagai menyambung usaha para anbiya dalam mengislahkan masyarakat ke jalan yang benar yang diredhai oleh Allah SWT.
Selain itu dalam menjalankan tugas yang murni sebagai pendakwah ini hendaklah sentiasa mengikhlaskan niat dan sabar atas setiap ujian yang dihadapi ketika berdakwah. Allah berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maksudya: “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”
(Surah al-Baqarah: 153)
Antara dakwah yang baik juga dengan cara kita turun ke lapangan bersama dengan orang-orang yang lama berkecimpung dalam dakwah. Ini kerana pengalaman itu mematangkan diri mereka kerana mereka telah bertemu dengan pelbagai ragam jenis manusia.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala syariatnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”
Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H