Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh saya tahu doa perbaiki akhlak dan doa elak putus asa yang boleh diamalkan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(Surah al-Baqarah: 155)

Ibn Kathir berkata Allah SWT memberitahu hamba-Nya bahawa Dia akan menimpakan ujian kepada hamba-Nya untuk membezakan yang benar (imannya) daripada yang palsu dan membezakan hambanya yang gelisah dan yang sabar. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/344)

Berkenaan isu putus asa, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1444: Orang Yang Berputus Asa[1]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan antara doa-doa yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:

  • Doa Kelapangan Hati dan Jiwa:

اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي، وَنُورَ صَدْرِي، وَجَلَاءَ حُزْنِي، وَذَهَابَ هَمِّي

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubunku di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas ku dalam keputusan-Mu. Aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hatiku, cahaya di dadaku, penghilang kesedihanku, penghapus kesusahanku.”

Riwayat Ahmad (3712), Ibn Hibban (972), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (29808)

  • Doa agar Diperbaiki Diri:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ أُصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ ، وَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan, perbaikilah urusanku semuanya dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata.”

Riwayat al-Nasa’ie (10405) dan al-Bazzar (6368)

  • Doa Minta Kemudahan:

اللَّهُمَّ لا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Da’awat al- Kabir (265) dan Ibn Hibban (974)

  • Doa Berlindung dari Dukacita:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ، وَقَهْرِ الرِّجَالِ.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada- Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), dan al-Tirmizi (3484)

  • Doa Elok dalam Kesudahan Urusan:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتِنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan di akhirat.”

Riwayat Ahmad (17628)

 Sebenarnya banyak lagi cara untuk mengelakkan daripada sifat putus asa, antaranya:

  • Melazimi solat berjemaah di masjid
  • Melazimi zikrullah dan membanyakkannya
  • Memilih rakan taulan yang soleh yang mendekatkan diri kepada Allah SWT
  • Sentiasa menghadiri majlis ilmu
  • Menolong orang-orang yang susah kerana orang yang menolong orang lain pasti Allah SWT menolongnya
  • Memahami rukun iman yang keenam iaitu qadha dan qadar
  • Membanyakkan munajat dan doa kerana ia salah satu daripada cara mengubah takdir yang tidak baik
  • Sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT dan memahami akan hikmahnya

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

 

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

[1] https://maktabahalbakri.com/1444-orang-yang-berputus-asa/

Leave a Reply