Soalan

Adakah nikah syighar dibenarkan dengan islam?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan. [1]

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah Al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Ia juga dapat dilihat pada sabda Nabi Muhammad S.A.W:

يا مَعْشَرَ الشَّبابِ، مَنِ اسْتَطاعَ مِنكُمُ الباءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فإنَّه أغَضُّ لِلْبَصَرِ وأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، ومَن لَمْ يَسْتَطِعْ فَعليه بالصَّوْمِ فإنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ.

Maksudnya: “…Wahai para pemuda, barangsiapa diantara kalian yang mampu untuk berkeluarga, maka berkahwinlah, kerana sesungguhnya ia dapat menahan pandangan (dari melihat sesuatu yang terlarang) dan memelihara kemaluan dan barang siapa yang belum mampu, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu menjadi penawar baginya.

Riwayat al-Bukhari (5066) Muslim (1400)

Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’. Terdapat juga beberapa jenis pernikahan yang dilarang dalam Islam seperti nikah mut’ah (yang diamalkan pengikut ajaran Syiah), nikah muaqqat (nikah kontrak) dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 41/325)

Berkenaan persoalan di atas, Ibn Daqiq al-Eid menyatakan bahawa Nikah syighar (شغار) adalah suatu bentuk perkahwinan yang mana seorang lelaki itu mengahwinkan anak perempuannya atau sesiapa yang berada di bawah wilayahnya seperti anak perempuan atau saudara perempuannya kepada lelaki lain dengan syarat lelaki itu turut mengahwinkan anak perempuan atau saudara perempuannya kepada lelaki tersebut. Di antara maksud lain bagi syighar adalah perbuatan anjing yang mengangkat sebelah kakinya untuk kencing. Maka sebahagian ulama berpendapat, beginilah buruknya perbuatan nikah syighar sama seperti buruknya keadaan anjing tersebut.(Lihat Ihkam Al-Ahkam Syarah Umdah Al-Ahkam, 2/559)

Perbuatan nikah syighar ini dilarang di sisi syarak dan ini berdasarkan beberapa riwayat yang sahih. Di antaranya adalah sebuah riwayat daripada Saidina Abdullah Ibn Umar R.anhuma yang berkata:

 أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنِ الشِّغَارِ، وَالشِّغَارُ أَنْ يُزَوِّجَ الرَّجُلُ ابْنَتَهُ عَلَى أَنْ يُزَوِّجَهُ الآخَرُ ابْنَتَهُ، لَيْسَ بَيْنَهُمَا صَدَاقٌ‏

MaksudnyaSesungguhnya Rasulullah S.A.W melarang perbuatan al-Syighar. Dan al-Syighar adalah seseorang lelaki itu mengahwinkan anak perempuannya kepada seorang lelaki lain dengan syarat lelaki tersebut mengahwinkan anak perempuannya juga kepadanya tanpa sebarang mahar di antara keduanya.

Riwayat Al-Bukhari (5112)

Nas di atas jelas menunjukkan berkenaan bentuk berlakunya nikah syighar dan juga larangan Rasulullah S.A.W berkenaan hal tersebut. Larangan di dalam hadith tersebut jelas menunjukkan bahawa perbuatan ini adalah haram hukumnya. Ini berdasarkan sebuah kaedah fekah yang masyhur:

النَّهْيُ يَقْتَضِي التَّحْرِيم

MaksudnyaLarangan itu membawa hukum haram.

Imam Ibn Daqiq Al-Eid menyatakan dalam syarahnya: Hadith ini jelas berkenaan larangan ke atas nikah syighar. Dan para ulama sepakat akan halangan dan larangan ke atas perbuatan ini. Namun para fuqaha berbeza pendapat sekiranya ia telah berlaku adakah akad tersebut fasid (rosak) ataupun tidak. Sebahagian mereka berpendapat bahawa akad tersebut adalah sahih, dan yang wajib adalah memberikan mahar misil. Manakala Imam Al-Syafie berpendapat bahawa akad tersebut adalah batil. (Lihat Ihkam Al-Ahkam, 2/559)

Imam Al-Nawawi menyatakan di dalam syarahnya: Nikah Syighar adalah bentuk pernikahan jahiliah. Para ulama telah bersepakat bahawa ia suatu perbuatan yang dilarang. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/544)

Begitu juga terdapat sebuah riwayat yang turut datang daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ شِغَارَ فِي الإِسْلاَمِ

Maksudnya: Tidak ada syighar di dalam Islam.

Riwayat Muslim (1415)

Ibn Hajar al-Asqalani di dalam syarahnya menyebutkan: Ibn Abd al-Barr menyatakan bahawa para ulama bersepakat mengenai ketidakharusan Nikah Syighar, tetapi mereka berbeza pandangan mengenai sahnya akad nikah tersebut. Jumhur Ulama’ berpandangan bahawa nikah tersebut batal. Di dalam riwayat daripada Malik bahawa difasakhkan nikah mereka sebelum mereka bersetubuh, bukan selepasnya. Riwayat ini disokong oleh Ibn al-Munzir daripada al-Auzaie. Manakala Mazhab Hanafi menyatakan bahawa sahnya nikah tersebut, dan diwajibkan mahar mithil. Pandangan ini disokong oleh al-Zuhri, Makhul, al-Thauri, al-Laith dan riwayat daripada Ahmad, Ishaq dan Abu Thaur. (Lihat Fath al-Bari, 9/163)

Daripada hadith di atas, jelaslah kepada kita bahawa tidak ada sebarang bentuk syighar pun di dalam syariat Islam. Ini kerana, penafian syighar di dalam hadith di atas datang dalam bentuk al-Nakirah fi siyaq al-Nafy yang membawa erti keumuman. Demikian juga kalimah La Al-Naafiyah di dalam hadith di atas membawa erti nafyu al-sihhah iaitu menafikan kesahihan amalan nikah syighar tersebut. Ini bermaksud bahawa nikah al-syighar adalah pernikahan yang batil.

Bentuk pernikahan seperti ini pada asalnya pernah dilakukan oleh segelintir para salaf terdahulu. Ini dinyatakan di dalam sebuah riwayat daripada Abd Al-Rahman bin Hurmuz Al-A’raj beliau berkata:

 أَنَّ الْعَبَّاسَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الْعَبَّاسِ، أَنْكَحَ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ الْحَكَمِ ابْنَتَهُ وَأَنْكَحَهُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ ابْنَتَهُ وَكَانَا جَعَلاَ صَدَاقًا فَكَتَبَ مُعَاوِيَةُ إِلَى مَرْوَانَ يَأْمُرُهُ بِالتَّفْرِيقِ بَيْنَهُمَا وَقَالَ فِي كِتَابِهِ هَذَا الشِّغَارُ الَّذِي نَهَى عَنْهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: Sesungguhnya Al-Abbas bin Abdullah Ibn Abbas telah mengahwinkan anak perempuannya kepada Abdul Rahman bin Al-Hakam. Manakala Abdul Rahman mengahwinkan anak perempuannya kepada Al-Abbas dan mereka berdua menyediakan mahar. Maka Mu’awiyah menulis surat kepada Marwan mengarahkannya supaya memisahkan di antara keduanya. Kata Mu’awiyah di dalam suratnya: Ini adalah Al-Syighar yang dilarang oleh Nabi SAW.

Riwayat Abu Dawud (2075)

Nas di atas jelas menunjukkan bahawa nikah syighar itu tetap berlaku dan dilarang sama ada dinyatakan bersamanya mahar ataupun tidak. Kerana itulah fekah Mu’awiyah pada ketika itu mengarahkan supaya dipisahkan di antara kedua pasangan yang melakukan perbuatan ini.

Berikut merupakan beberapa sebab dan faktor mengapa nikah syighar ini dilarang di sisi syarak. Di antaranya adalah:

  • Perkahwinan tersebut memberikan kelebihan dan memberatkan maslahah wali ke atas maslahah orang perempuan. Yang demikian ini merupakan suatu yang mungkar dan menzalimi kaum wanita.
  • Perbuatan ini juga menghalang orang perempuan mendapatkan mahar mithil yang berhak ke atas mereka.
  • Perkahwinan tersebut membawa kepada paksaan ke atas wanita untuk bernikah dengan seseorang yang dia tidak sukai.

Berdasarkan persoalan diatas, setelah kami meneliti isu ini dengan sebaiknya, kami cenderung kepada pandangan yang menyatakan bahawa nikah sebegini adalah suatu perbuatan yang haram.Hal Ini kerana dengan mengambil kira terdapat unsur paksaan dan kezaliman kepada seorang wanita, di samping mengenepikan haknya untuk mendapatkan mahar yang selayaknya. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=nikah

Leave a Reply