Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah al-Mutawakkil tidak mengikut al-Watsiq ketika menangani isu ahli sunnah wal jamaah yang terkait dengan fitnah khalqi al-Quran?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami nyatakan secara ringkas biografi al-Mutawakkil:
Nama penuh bagi Khalifah Al-Mutawakkil (847-861 M) adalah Al-Mutawakkil Alallah, Ja’far, Abu Al-Fadhl bin Mu’tashim bin Ar-Rasyid. Ibunya seorang mantan budak bernama Syuja’. Al-Mutawakkil lahir pada 205 H. Riwayat lain menyatakan pada 207 H. Ia dilantik sebagai khalifah pada 24 Dzulhijjah 232 H setelah wafatnya Al-Watsiq.
Ja’far al-Mutawakkil adalah putera al-Mu’tasim Billah (833-842) dan seorang wanita Persia. Ia menggantikan saudaranya al-Watsiq (842-847) dan dikenal sebagai orang yang bertanggungjawab menyelenggarakan “mihnah“, percubaan seperti inkuisisi untuk menegakkan satu versi murni Islam. Selama masa pemerintahannya, pengaruh Mu’tazilah berkurang dan masalah kemakhlukan al-Qur’an berakhir.
Kami nukilkan pandangan Syeikh Abdul Aziz al-Badri:
Apabila Al-Mutawakkil memegang tampuk pemerintahan selepas Al Watsiq pada tahun 232 Hijrah, selama dua tahun dia telah melihat betapa buruknya akibat tindakan kerajaan mendokong fikrah itu (Al-Quran itu makhluk) terhadap umat dan kerajaan sendiri. Lantaran itu dia mengarahkan supaya kerajaan tidak lagi mendokong fikrah itu. Dia mengancam dengan hukuman berat kepada sesiapa sahaja yang membicarakan masalah ini. Semua orang yang ditindas, diseksa dan dipenjarakan telah dibebaskan dengan segera. Sesiapa yang telah mendapat bencana di dalam mehnah itu dimuliakan. Dengan itu berakhirlah mehnah itu dan tidak berulang lagi.
Imam Ahmad dan para sahabat dan penyokong-penyokong mereka mencapai kemenangan. Sementara itu pihak muktazilah yang membuat bid’ah itu mengalami kekalahan terus menerus hinggalah ke hari ini. Akhirnya kebenaran yang diperjuangkan oleh Imam Ahmad dan penyokong-penyokongnya dapat menundukkan pihak yang berkuasa.
Al-Imam Al-Subki berkata: (Fitnah dan mehnah ini melanda umat Islam semenjak tahun 218 H hingga tahun 234 H kerana Al-khalifah Al-Mutawakkil menghapuskannya dan melarang manusia memperkatakan ‘Al-Qur’an makhluk, sekaligus perintah itu diumumkan di seluruh negara)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا
Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)
Wallahu a’lam
Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H