Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kisahkan kepada kami bagaimana Syeikh Nuaeim bin Hammad diuji dalam kisah khalqi al-Quran?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Demikianlah juga Nua’iem bin Hammad RA, salah seorang ulama’ besar Mesir yang terkenal dengan kebenarannya, keluasan ilmunya, keberaniannya memperkatakan kebenarannya dan menentang kebatilan. Dia telah mengisytiharkan dengan lantangnya betapa tidak sihatnya golongan yang mengatakan Al-Qur’an itu makhluq malah beliau berani menyalahkan pegangan dan tindakan kerajaan.

Al-Maqrizi telah berkata di dalam kitab Al-Muqdha: “Nua’iem bin Hammad berasal dari Maru, mempelajari ilmu hadith di Tanah Hijaz dan Iraq kemudian melanjutkannya ke Mesir. Di kala itulah Al-Watsiq memanggilnya datang ke Baghdad dan ditanyainya mengenai Al-Quran. Beliau tidak menyetujui fikrah yang didukung oleh kerajaan. Lantas beliau dipenjarakan hingga riwayat hidupnya tamat di situ lantaran dari penyeksaan demi penyeksaan.” (Lihat al-Muqdha, hlm. 10 dan selepasnya, Tarikh al-Khulafa, hlm, 346, Tarikh al-Ya’qubiy, hlm. 589)

Dikatakan Nuaiem bin Hammad bin Muawiyah bin al-harith al-Marwazi Abu Abdillah seorang perawi hadith yang pernah merantau ke Iraq, Baghdad, Hijaz yang kemudian menetap di mesir sehinggalah beliau dibawa ke Iraq pada zaman pemerintahan Mu’tasim dan diuji dengan fitnah khalqi al-Quran beliau tidak menjawab dan dirantai. Beliau mati dalam penjara pada tahun 224 H. 

Mula dipenjarakan dan meninggal dunia pada tahun 229 H. Beliau mewasiatkan agar dikebumikan dan dikafankan dengan rantai-rantainya seraya berkata, “Sesungguhnya, aku sentiasa menegakkan kebenaran.” Semoga Allah merahmatinya.

Inilah rijal yang sebenar sebagaimana yang disebut dalam al-Quran:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

(Surah al-Ahzab: 23)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply