Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ada orang kata, orang yang paling bodoh apabila dia menjual akhiratnya, betulkah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, banyak tokoh mendefinisikan orang yang bodoh. Antara yang terkenal ialah Khalifah Umar bin Abdul Aziz, katanya: “Sebodoh-bodoh manusia adalah orang yang menjual akhiratnya dengan dunia orang lain” Ungkapan ini menunjukkan betapa faqihnya dan dalamnya pengamatan Umar bin Abdul Aziz berkenaan dengan sifat kebodohan manusia. Ktika ditanya orang, itulah jawapan Umar bin Abdul Aziz. Ini kerana beliau membetulkan jawapan ulama’ yang lain yang berkata: “Orang yang opaling bodoh ialah orang yang menjual akhirat dengan dunianya.”

Jawapan ini kurang tepat, yang tepat: “Dijual akhiratnya dengan dunia orang lain.” Ertinya, orang seperti ini malang di dunia dan bankrupt yakni amat rugi di akhirat. (Lihat Umar bin Abdul Aziz, hlm. 117)

Kami terpana dengan jawapan ini dan mengingatkan kami kepada firman Allah SWT:

يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولَا ‎﴿٦٦﴾‏ وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا ‎﴿٦٧﴾‏ رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا

Maksudnya: “Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. “Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!””

(Surah al-Ahzab: 66-68)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

(Surah al-Kahf: 10)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply