Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum masjid mengambil tukang cuci (cleaner) dan pekerja am untuk bekerja di dalam masjid? Akan tetapi mereka ini tidak mempunyai permit atau passportnya sudah tamat tempoh (PATI) di mana mereka dibayar gaji dan tempat tinggal mereka disediakan oleh pihak masjid.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:


إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran (8/90) menyatakan terdapat golongan salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat sesorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya.” Ini seperti mana hadith Nabi SAW daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Maksud: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1060), Ibn Majah (802) dan Ahmad (3/68)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Setengah riwayat menyebut orang yang begitu setia mendatangi masjid atau memelihara untuk sentiasa ke masjid.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/389)

Maksud memakmurkan masjid adalah dengan menetapinya untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dalam rangka meraih keredhaan-Nya. Antaranya seperti melakukan solat, berzikir kepada Allah SWT dan mempelajari ilmu agama. Juga termasuk maknanya adalah dengan membangunkan masjid, menjaga dan memeliharanya. (Lihat Aisar al-Tafasir li Kalam al-‘Aliy al-Kabir, 2/66)

Ibn al-Jauzi menyebut, yang dimaksudkan dengan memakmurkan masjid (dalam ayat di atas), ada dua pendapat:

  • Selalu datang ke masjid dan duduk di dalamnya (untuk beribadah kepada Allah SWT)
  • Membangunkan masjid dan memperbaikinya. (Lihat Zad al-Masir fi ‘Ilm al-Tafsir, 3/408)

Syeikh al-Tantawi dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan di dalam kitabnya “Orang yang mengimarahkan masjid merupakan mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada Baginda SAW dengan hati yang penuh dengan keikhlasan.” (Lihat Tafsir al-Wasit, 6/228)

Buya Hamka berkata: “Di sini terdapat kalimat (انما) yang dalam bahasa arab disebut (اداة حصر) yang membawa maksud ‘alat pembatas’. Kita maksudkan di sini (hanya), maka terbataslah orang-orang yang boleh meramaikan dan memakmurkan masjid-masjid Allah, iaitu hanya orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, yang solat dan berzakat, dan tidak ada tempat takutnya melainkan Allah. Di luar orang-orang yang mempunyai syarat selengkapnya, tidaklah boleh meramaikan dan memakmurkan masjid.” (Lihat Tafsir al-Azhar, 10/164)

Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi, memakmurkan masjid bermaksud mendirikan solat di dalamnya, berdoa, berzikir dan menegakkan syiar-syiarnya. Takrif ini menggambarkan bahawa masjid bukan sekadar tempat untuk melaksanakan ibadat, tetapi juga untuk menyampaikan dakwah Islam.

Aktiviti pengajian ilmu agama perlu diadakan di masjid-masjid supaya ia sampai kepada masyarakat dengan baik. Masjid itu adalah madrasah dakwah dan ia juga pejabat negara Islam. Masjid adalah tempat mengadakan mau’izah dan pengajian harian, mingguan dan ceramah berkala.

Masjid berperanan dalam memberi ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita penting untuk ummah, bertemu dengan diplomat asing, mengatur tentera di medan perang, menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian. (Lihat al-Dawabit al-Syar’iyyah li Bina’ al-Masajid, hlm. 6-7)

Memakmurkan masjid juga adalah ialah dengan selalu menghidupkan jemaahnya, memelihara dan membersihkannya dan memperbaiki jika berlaku kerosakan. Mencukupkan mana yang kurang dan menziarahinya untuk ibadat. Dalam ayat ini ditegaskan hanya orang yang hidupnya telah dibentuk oleh satu bentuk pemikiran yang memang telah terikat hatinya dengan masjid.

Orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan tergetar hatinya untuk meramaikan masjid begitu juga yang tidak solat, tidak suka untuk mendekati masjid. Mereka yang bakhil daripada berzakat amat takut ke masjid kerana bimbang bertemu orang yang miskin dan yang berhak menerima zakat. Ini kerana masjid untuk semua lapisan masyarakat yang mungkin kita temuinya.

Sayyid Qutub menyatakan di dalam tafsir Fi Zilalil Qur’an: “Ayat ini hanya menyebut “takut kepada Allah” selepas menyebut dua syarat keimanan dalaman dan amalan luaran. Dan ini bukanklah beerti “takut kepada Allah” suatu pernyataan lebihan, kerana yang dipastikan di sini ialah keikhlasan kepada Allah dan menjauhkan diri dari segala bayangan syirik sama ada di dalam perasaan atau perilaku. Ketakutan seseorang kepada yang lain dari Allah itu merupakan sejenis syirik khafi yang sengaja diperingatkan al-Quran di sini supaya I’tiqad dan amalan seseorang itu hanya untuk Allah semata-mata. Di waktu ini sahaja para mukminin berhak mengimarahkan masjid-masjid Allah dan mengharapkan hidayat dari Allah.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 7/230)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan peri pentingnya masjid sebagai tempat ibadat perlu dibersihkan sama ada dalam dan luar serta lamannya. Isu orang asing yang tidak mmepunyai permit atau passport adalah kesalahan dari segi perundangan untuk diri mereka, sedangkan mereka akan dianggap benar dari segi undang-undang apabila memperolehinya.

Kami katakan sebaik-baiknya pastikan yang mempunyai permit. Peri pentingnya kebersihan masjid kami syorkan masyarakat dan jemaah masjid sentiasa mengadakan gotong-royonh pembersihan masjid sama ada dalam dan luar masjid termasuk tandas masjid. Jika ini dapat dilakukan ia dapat meningkatkan ukhuwwah dan hubungan kemasyarakatan di samping memperolehi kebaikan yang banyak dan pahaal di sisi Allah SWT. 

Rasulullah SAW dan para sahabat sentiasa menjaga kebersihan masjid. Firman Allah SWT:

وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ مَثَابَةً لِّلنَّاسِ وَأَمْنًا وَاتَّخِذُوا مِن مَّقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى ۖ وَعَهِدْنَا إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَن طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud”.

(Surah al-Baqarah: 125)

Maksud taharah di sini ialah bersih daripada berhala, najis-najis dan apa yang tidak layak dengannya atau yang selamat daripada kekotoran tersebut. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 1/163)

Menurut al-Imam al-Hasan al-Basri, kedua-dua Nabi tersebut diperintahkan oleh Allah agar membersihkan Baitullah dari sebarang kekejian iaitu kesyirikan juga suci dari najis dan memastikannya tidak dicemari oleh perkara-perkara tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/419)

Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di menyebut: Allah SWT menyandarkan rumah kepada-Nya kerana beberapa faedah. Antaranya, bahawa hal itu menunjukkan kepada tingginya perhatian Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail untuk membersihkannya, kerana ia adalah rumah Allah. Maka mereka berdua bersungguh-sungguh berusaha melakukannya dan mereka berdua benar-benar menumpukan segala upaya mereka dalam hal itu. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 65)

Marilah sama-sama kita mengimarahkan masjid, membersih dan menghidupkannya agar ia menarik minat seramai mungkin masyarakat ke arah yang lebih baik dan cintakan masjid. Sesungguhnya, masjid adalah markaz dan tempat penyatuan ummah dengan hubungan kepada Allah SWT dan sesama manusia. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply