Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Nabi SAW mengetahui kisah Musailimah al-Kazzab dan pernah menemuinya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nama Musailimah

Musailimah mendakwa dirinya sebagai nabi pada tahun 10 Hijrah. Dia telah mencipta syair-syair (dengan tujuan meniru al-Quran), menghalalkan arak dan zina dalam kalangan kaumnya. Pada masa yang sama, dia tetap mengiktiraf bahawa Rasulullah SAW adalah seorang nabi. Lantaran itu, kaumnya terperdaya lalu mengikutinya serta memberikan sokongan kepadanya. Akhirnya tindakan Musailimah itu menjadi satu urusan yang besar sehingga dia digelar sebagai ‘Rahman al-Yamamah’ kerana ketinggian kedudukannya dalam kalangan pengikutnya.

Terdapat beberapa riwayat yang berbeza mengenai Musailimah al-Kazzab. Setelah diteliti, ternyata semua riwayat tersebut memaparkan sikap Musailimah yang angkuh, sombong dan gila kuasa. Dia sebenarnya tidak datang bersama-sama rombongan utusan lain untuk bertemu Rasulullah SAW. Rasulullah SAW ingin melembutkan hatinya, lalu dilayaninya dengan kata-kata dan tingkah laku yang baik pada mulanya. Namun, setelah Rasulullah SAW melihat tidak ada faedahnya pada Musailimah, maka Baginda SAW meramalkan mengenai kejahatan yang ada pada Musailimah. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 383; al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/256-257)

Terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata: “Musailimah al-Kazzab datang pada zaman Rasulullah SAW dan dia berkata: ‘Jika Muhammad mewariskan kepadaku kenabian selepasnya pasti aku mengikutinya.’ Dia datang ke Madinah bersama sejumlah orang daripada kaumnya. Rasulullah SAW datang kepadanya bersamanya Thabit bin Qais bin Syammas dan di tangan Rasulullah terdapat sepotong pelepah kurma sehingga Baginda berdiri di hadapan Musailimah bersama para sahabatnya. Baginda bersabda: ‘Sekiranya engkau meminta kepadaku sepotong kayu ini, nescaya aku tidak akan memberikannya kepadamu. Engkau tidak akan dapat melampaui urusan Allah. Jika engkau membelakangi, nescaya Allah akan membinasakanmu. Sesungguhnya aku melihat engkau adalah apa yang aku lihat dalam mimpiku dan ini Thabit akan menjawab (penentangan) kamu bagi pihakku.’ Kemudian Baginda meninggalkannya.” (Riwayat al-Bukhari, 4373).

Dalam riwayat lain, diceritakan bahawa Musailimah al-Kazzab datang ke Madinah lalu dia singgah di rumah Bint al-Harith bin Kuraiz yang merupakan Umm Abdullah bin ‘Amir. Rasulullah SAW datang kepadanya bersama Thabit bin Qais bin Syammas yang dikenali sebagai jurucakap Rasulullah SAW dan ketika itu di tangan Rasulullah SAW terdapat ranting kayu. Baginda SAW berhenti di hadapan Musailimah dan bercakap dengannya. Musailimah berkata kepada Baginda: “Jika engkau mahu, kami akan membiarkanmu menguruskan urusan (kenabian) ini, kemudian engkau menjadikannya untuk kami selepas kamu.” Nabi SAW bersabda: “Sekiranya engkau meminta ranting kayu ini nescaya aku tidak akan memberikannya kepadamu dan sesungguhnya aku melihat engkau ialah orang yang diperlihatkan kepadaku dalam mimpiku. Ini Thabit bin Qais yang akan menjawab (penentangan) kamu bagi pihakku.” Lalu Nabi SAW beredar.

Setelah itu, Ibn Abbas menyebutkan bahawa beliau bertanya berkenaan sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya engkau yang diperlihatkan kepadaku dalam mimpiku.” Maka Abu Hurairah mengkhabarkan kepadanya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ketika aku sedang tidur, aku melihat dua gelang emas di tanganku. Keduanya membuat aku berasa risau. Maka diwahyukan kepadaku dalam mimpi itu, ‘hendaklah engkau meniup keduanya.’ Aku pun meniup keduanya, maka keduanya terbang (lenyap). Aku menafsirkan keduanya ialah pendusta yang akan keluar sesudahku.” Salah seorangnya ialah al-‘Ansi dan seorang lagi ialah Musailimah. (Riwayat al-Bukhari, 4374).

Begitu juga dalam riwayat yang lain, Abu Hurairah RA pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ketika aku sedang tidur, didatangkan kepadaku perbendaharaan bumi, lalu diletakkan di telapak tanganku dua gelang emas, maka hal itu terasa sangat berat bagiku. Kemudian diwahyukan kepadaku agar meniup keduanya. Aku meniup keduanya lalu keduanya pergi. Aku menafsirkan bahawa keduanya ialah dua orang pendusta yang aku berada di antara keduanya, iaitu pemimpin San‘a’ (al-‘Ansi) dan pemimpin Yamamah (Musailimah).” (Riwayat al-Bukhari, 4375).

Musailimah mendakwa dirinya sebagai nabi pada tahun 10 Hijrah. Dia telah mencipta syair-syair (dengan tujuan meniru al-Quran), menghalalkan arak dan zina dalam kalangan kaumnya. Pada masa yang sama, dia tetap mengiktiraf bahawa Rasulullah SAW adalah seorang nabi. Lantaran itu, kaumnya terperdaya lalu mengikutinya serta memberikan sokongan kepadanya. Akhirnya tindakan Musailimah itu menjadi satu urusan yang besar sehingga dia digelar sebagai ‘Rahman al-Yamamah’ kerana ketinggian kedudukannya dalam kalangan pengikutnya.

Dia menulis sepucuk surat kepada Rasulullah SAW dengan menyebutkan di dalamnya: “Sesungguhnya aku berkongsi urusan ini dengan kamu. Bagi kami separuh urusan dan bagi Quraisy separuh urusan.” Rasulullah SAW menjawab suratnya dengan menyebut: “Sesungguhnya bumi ini adalah milik Allah yang diwariskan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, sedangkan kesudahan yang baik itu ialah untuk orang yang bertakwa.” (Lihat Zad al-Ma‘ad, 3/31-32).

Musailimah telah dibunuh dalam peperangan al-Yamamah semasa pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq RA pada bulan Rabiul Awwal tahun 12 Hijrah. Dia telah dibunuh oleh Wahsyi iaitu orang yang sama telah membunuh Hamzah (yang kemudiannya memeluk agama Islam). (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 384)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بَيْنَمَا أَنَا نَائِمٌ، رَأَيْتُ فِي يَدَيَّ سِوَارَيْنِ مِنْ ذَهَبٍ، فَأَهَمَّنِي شَأْنُهُمَا، فَأُوحِيَ إِلَيَّ فِي المَنَامِ: أَنِ انْفُخْهُمَا، فَنَفَخْتُهُمَا فَطَارَا، فَأَوَّلْتُهُمَا كَذَّابَيْنِ، يَخْرُجَانِ بَعْدِي فَكَانَ أَحَدُهُمَا العَنْسِيَّ، وَالآخَرُ مُسَيْلَمَةَ الكَذَّابَ، صَاحِبَ اليَمَامَةِ.

Maksudnya: Ketika aku sedang tidur, aku melihat pada kedua tanganku gelang emas, kedua-dua gelang itu merisaukanku. Maka diwahyukan kepadaku dalam tidurku: “Hendaklah engkau meniup kedua-duanya.” Aku pun meniup kedua-duanya hingga terbang. Aku menakwilkannya sebagai dua pendusta yang akan muncul sesudahku. Maka salah satunya ialah al-‘Ansi, dan seorang lagi ialah Musailamah al-Kazzab, penguasa Yamamah.

Riwayat al-Bukhari (3621)

Betapa tegasnya Nabi SAW sehingga Baginda menyebut ketika Baginda berdiri di hadapan Musailamah di tengah-tengah para pengikutnya, di mana Baginda bersabda:

لَوْ سَأَلْتَنِي هَذِهِ القِطْعَةَ مَا أَعْطَيْتُكَهَا، وَلَنْ تَعْدُوَ أَمْرَ اللَّهِ فِيكَ، وَلَئِنْ أَدْبَرْتَ ليَعْقِرَنَّكَ اللَّهُ، وَإِنِّي لَأَرَاكَ الَّذِي أُرِيتُ فِيكَ مَا رَأَيْتُ.

Maksudnya: “Kalau engkau meminta kepadaku sepotong pelepah ini sekalipun, aku tidak akan memberikannya kepadamu. Hukum Allah sesekali tidak akan pernah berada padamu. Kalau engkau murtad nescaya Allah akan membinasakanmu. Sesungguhnya aku melihat bahawa engkau ialah orang yang diperlihatkan kepadaku (dalam mimpi).”

Riwayat al-Bukhari (3620)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada ALlah SWT supaya kita menajdi pengikut tegar Rasulullah SAW serta melaksanakan titah perintahnya dan termasuk dalam umatnya yang taat.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)

Wallahu a’lam

 

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply