Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah hati kita boleh menjadi sakit dan bagaimana cara yang terbaik untuk mengatasinya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ
Maksudnya: “Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).”
(Surah al-Baqarah: 10)
Hipokrit adalah di antara sifat yang paling jelas terzahir pada orang munafik. Mereka tidak segan silu berpura-pura menzahirkan keimanan, tetapi dalam hati penuh dengan kekufuran. Abdullah bin Ubai bin Salul adalah pemimpin orang munafik pada zaman Nabi. Mereka mengaku beriman tetapi Allah SWT menolak pengakuan mereka walaupun mereka beriya-iya menampilkan sifat beriman, tetapi ia hanya tipu daya terhadap Allah SWT Walaupun hakikat mereka sedemikian, Allah SWT tetap mengarahkan agar dijalankan hukum hakam Islam (secara normal) terhadap mereka. Seolah-olah Allah SWT menjalankan perangkap muslihat kepada mereka dalam bentuk provokatif dan mereka tidak menyedarinya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/80.)
Sifat hipokrit mereka dijelaskan oleh Rasulullah SAW menerusi hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Baginda bersabda:
إِنَّ شَرَّ النَّاسِ ذُو الوَجْهَيْنِ، الَّذِي يَأْتِي هَؤُلاَءِ بِوَجْهٍ، وَهَؤُلاَءِ بِوَجْهٍ
Maksudnya: “Kamu akan mendapati manusia yang paling jahat ialah manusia yang memiliki dua wajah (munafik), yang datang pada segolongan dengan satu wajah dan datang pada golongan lain dengan satu wajah.”
Riwayat al-Bukhari (7179)
Al-Sabuni mencungkil masalah yang dihadapi oleh golongan ini. Mereka bertindak sedemikian kerana mereka mempunyai masalah penyakit rohani walaupun dari sudut jasad kelihatan sihat sejahtera. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/33)
Malah perkara ini dapat difahami secara lebih jelas apabila Ibn Kathir mengungkapkannya dengan mengatakan bahawa hati mereka berpenyakit dengan penyakit berbentuk keraguan, kemunafikan, keingkaran, dan kezaliman dalam diri mereka yang menyebabkan kehidupan mereka terbelenggu dengan penyakit tersebut dan ia adalah balasan yang mereka terima semasa hidup di dunia, manakala di Akhirat kelak mereka berhadapan dengan azab sengsara. Kedua-dua balasan ini ditimpakan kepada mereka kerana berdusta dalam pengucapan syahadah dan mendustakan ajaran Nabi SAW. (Lihat Tafsir Ibn al-Kathir, 1/179)
Kebijaksanaan Nabi SAW dalam menangani golongan munafik amat jelas pada sikap dan tindak tanduk Baginda. Mereka tidak dibunuh, walaupun mereka mendatangkan malapetaka yang besar kepada Islam dan umatnya.
Ini dibuktikan jawapan Rasulullah SAW kepada Umar bin al-Khattab yang mahu memenggal leher Abdullah bin Ubai yang menjadi dalang dalam pergaduhan di antara umat Islam Muhajirin dan Ansar. Baginda sangat berhati-hati dalam berurusan dengan orang munafik. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA Baginda bersabda:
دَعْهُ، لاَ يَتَحَدَّثُ النَّاسُ أَنَّ مُحَمَّدًا يَقْتُلُ أَصْحَابَهُ
Maksudnya: “Biarkan dia! (supaya) Jangan ada orang mengatakan bahawa Muhammad membunuh sahabatnya”
Riwayat al-Bukhari (4905)
Kaum munafik juga adalah golongan yang suka berdolak dalih dalam melakukan sesuatu perkara yang membawa kepada kerosakan. Al-Maraghi menyifatkan mereka sebagai golongan yang rosak mental disebabkan sifat kemunafikan dan kekafiran. Menyebar rahsia umat Islam kepada golongan kafir, menipu orang beriman dan menjauhkan orang ramai daripada mengikuti nabi dianggap sebagai kebaikan. Mereka menganggap perbuatan mereka itu sebagai perbuatan baik meskipun kerosakan dan kesesatan mereka sudah nyata. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/42-43)
Selain itu, mereka turut bersifat menyombong diri, merasakan bahawa mereka lebih bijaksana dan terkehadapan berbanding dengan orang yang beriman kepada Allah SWT Sikap ini adalah berpunca daripada hilang keyakinan diri akibat ragu dan syak terhadap ajaran Islam. Orang yang beriman kepada Allah SWT dan mengikut ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sebagai kolot dan mundur yang disifatkannya sebagai kebodohan. Sebenarnya yang bodoh adalah mereka kerana tidak mengikut ajaran Allah SWT dan rasul.
Apa yang berlaku kepada golongan munafik adalah sebagai gambaran tentang sebuah kehidupan seseorang yang tidak mempunyai prinsip hidup yang jelas. Malah boleh dikatakan bahawa antara ciri seorang munafik adalah mereka tidak mempunyai berpendirian. Mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka yang melampaui batas itu. Hal ini kerana, Allah SWT bukan sahaja menutup hati mereka, bahkan juga menutup pendengaran dan penglihatan mereka daripada mendapat cahaya pertunjuk ke arah jalan kebenaran. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/37-38)
Dalam menjawab persoalan ini, hati yang sakit perlu dirawat, antaranya ialah:
- Belajar dan menuntut ilmu, khususnya ilmu agama yang terkait dengan hati.
- Banyakkan zikrullah
- Banyakkan istighfar dan bertaubat
- Pilih rakan taulan yang soleh dan solehah
- Jangan sekali-kali tinggalkan solat berjemaah
- Sentiasa doa dan munajat kepada Allah SWT
Inilah sebahagian daripada cara merawat penyakit hati. Semoga Allah SWT beri kepada kita kebaikan dalam kehidupan. Marilah sama-sama kita berdoa:
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”
(Surah Ali Imran: 8)
Wallahu a’lam
Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H