Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kadang-kadang datang perasaan kurang yakin kepada Allah SWT dan selalu berubah-ubah hati saya. Bagaimana cara untuk menyelesaikannya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami nyatakan terlebih dahulu definisi hati. Yang dimaksudkan di sini kepada hati sanubari atau hati batin. Seorang penyair pernah menyebut:

وَمَا سُمِّيَ الإِنْسَانُ إِلَّا لِنَسْيِهِ                        وَلَا القَلْبُ إِلَّا أَنَّهُ يَتَقَلَّب

Tidak dinamakan insan melainkan kerana sifat lupanya,

             dan tidak dinamakan qalbu kecuali kerana sifatnya berbolak-balik

(Lihat al-Lami’ al-Sabih, 17/338)

Justeru, tidak pelik hati yang sentiasa bersifat berbolak-balik dan mudah dipengaruhi serta kadang-kadang terbabas dengan mengikut was-was syaitan dan bisikannya.

Menjaga hati merupakan satu jihad yang sukar yang memerlukan kepada mujahadatu nafs kerana hati menjadi ketua dalam kehidupan seseorang. Dengannya manusia boleh menjadi baik atau sebaliknya bahkan lebih ganas serta jahat daripada binatang buas lagi. Ini kerana mengikut tuntutan hawa nafsu dan hatinya menjadi buta.

Benarlah sabda Nabi SAW, daripada Nu’man bin Basyir bahawa Nabi SAW bersabda:

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

Dalam menjawab persoalan di atas, perkara pertama dan utama sudah tentu kita berdoa dan munajat kepada Allah SWT. Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

(Surah Ali Imran: 8)

Ibn Kathir berkata: Pengertian doa ini adalah: Ya Tuhan kami, janganlah engkau palingkan hati kami daripada petunjuk setelah Engkau berikan kami petunjuk dan Engkau tetapkan kami di atas jalan petunjuk. Dan janganlah jadikan kami seperti orang-orang yang hatinya sesat di mana mereka sengaja mengikuti ayat-ayat musyabih dalam al-Quran dengan tujuan mencipta fitnah dan membuat pentakwilan yang batil. Tetapkanlah kami pada jalan Engkau yang lurus dan agama-Mu yang kukuh. Kurniakanlah kepada kami dari sisi-Mu rahmat yang dapat meneguhkan hati kami, menyatukan diri-diri kami dan menambah keimanan dan keyakinan dalam jiwa kami. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/11)

Daripada Ummu Salamah – Asma’ binti Yazid bin Sakan – Rasulullah SAW sering mengucapkan doa: ‘اللَّهُمَّ مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ’ (Ya Allah, Yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu). Aku (Ummu Salamah) pun bertanya: “Hai Rasulullah, apakah hati itu berbolak-balik?” Baginda SAW menjawab:

نَعَمْ ، مَا مِنْ خَلْقِ اللهِ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ بَشَرٍ إِلاَّ أَنَّ قَلْبَهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ ، فَإِنْ شَاءَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَقَامَهُ ، وَإِنْ شَاءَ أَزَاغَهُ ، فَنَسْأَلُ اللَّهَ رَبَّنَا أَنْ لاَ يُزِيغَ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَانَا ، وَنَسْأَلُهُ أَنْ يَهَبَ لَنَا مِنْ لَدُنْهُ رَحْمَةً ، إِنَّهُ هُوَ الْوَهَّابُ.

Maksudnya: Ya, tidak seorang pun manusia ciptaan Allah melainkan hatinya berada di dua jari dari jari-jari Allah. Jika Allah menghendaki, Dia boleh meluruskannya. Dan jika Dia menghendaki, Dia boleh menyesatkannya. Maka kita memohon kepada Allah, Tuhan kita agar tidak menyesatkan hati kita setelah Dia memberi petunjuk kepada kita, dan kita memohon kepada-Nya agar mengurniakan kepada kita rahmat dari sisi-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pemberi.”

Riwayat al-Tirmizi (3517) dan Ahmad (301). Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawa’id (10/179) menyebut bahawa isnadnya hasan.

Syeikh al-Maraghi berkata bahawa orang yang dalam ilmunya akan segera memohon kepada Allah SWT agar diri mereka dipelihara dari segala kesesatan setelah mendapat hidayah, diberi sikap teguh untuk mengetahui hakikat sesuatu dan bersikap lurus sewaktu menetapkan kebenaran. Mereka berdoa kerana sedar akan kelemahan manusia, yang mempunyai watak berubah-ubah, lupa dan lemah serta takut jatuh dalam kesalahan. Sedangkan kesalahan itu teman karib kebinasaan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/695)

Justeru, nasihat kami kepada anda supaya sentiasa zikrullah dan menuntut ilmu. Tinggalkan sebarang bentuk was-was, bisikan dan godaan syaitan dan banyakkan berdoa kepada Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply