Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah dibolehkan untuk kita mengeluarkan zakat kepada fakir miskin yang berada di negeri lain ? Terima Kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913 )

Kewajipan berzakat juga boleh dilihat daripada nas hadith yang telah diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas bahawa ketika Rasulullah SAW mengutus sahabtnya Mu’az Bin  Jabal untuk menyebarkan dakwah baginda bersabda:

فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ

Maksudnya: Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (1496)

 Dalil-dalil di atas menunjukkan kepada kita tentang kewajipan berzakat ke atas semua umat islam dan ia merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun islam yang wajib ditunaikan ke atas golongan yang berkemampuan.

Menjawab bag persoalan di atas kami katakan dalam isu ini ulama ada berbeza pandangan:

Pendapat Pertama: Tidak dibolehkan untuk mengeluar atau memindahkan zakat dari suatu tempat ke tempat yang lain lebih daripada jarak yang diharuskan untuk menqasarkan solat sekiranya terdapat di tempat tersebut golongan yang berhak menerima zakat. Ini merupakan pandangan mazhab Syafi’e da Hanbali.

Mereka berdalilkan hadith yang diriwayat oleh Ibn ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ

Maksudnya: Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (1496)

Hadith ini menunjukkan secara jelas  bahawa zakat hendaklah diberikan kepada fakir miskin yang berada di tempat yang diwajibkan zakat itu dikeluarkan, maka tidak dibolehkan untuk memindahkannya ke tempat yang lain. (Lihat Ikhtiyarat Syeikh Abdullah  Bin Humaid wa Ara’ahu al-Fiqhiyyah, 2/146)

Dalam isu ini telah dinyatakan juga dalam Fiqh al-Manhaji bahawa tidak dibolehkan memindahkan zakat melainkan pada tempat yang diwajibkan ke atasnya zakat itu dikeluarkan iaitu tempat dimana harta itu berada. Ini kerana golongan yang berhak menerima zakat menaruh harapan dan bergantung kepadanya. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 2/63)

Pendapat kedua: Dibolehkah memindahkan zakat ke tempat yang lain sekiranya terdapat keperluan dan kemaslahatan. Ini merupakan pandangan sebahagian daripada pandangan ulama mazhab syafie’ dan satu riwayat daripada mazhab Hanbali.

Mereka berdalilkan umum ayat dari firman Allah SWT:

إنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah Taubah: 60)

Ayat ini dinyatakan secara umum yang mana ia tidak terikat dengan mana-mana tempat yang khusus maka secara zahir ayat  dibolehkan untuk mengeluarkan dan memindahkan  zakat di tempat yang  lain. (Lihat Ahkam al-Quran li al- Jassas, 3/200)

Syeikh Islam Ibn Taimiyyah menyatakan bahawa: Tidak ada dalil Syara’ yang menyatakan  tegahan memindah atau mengeluarkan zakat lebih daripada jarak yang diharuskan untuk menqasarkan solat. Oleh yang demikian, dibolehkan memindahkan zakat tersebut ke tempat lain sekiranya terhadap keperluan dan maslahat.(Lihat al-Mustadrak ala’ Majmu’ al-Fatawa,3/162)

Justeru dalam isu ini kami lebih cenderung kepada pendapat yang pertama di mana tidak dibolehkan memindah atau mengeluarkan zakat ke tempat yang jaraknya lebih daripada jarak yang diharuskan menqasarkan solat. Ini kerana golongan yang berhak menerima zakat di tempat yang wajib dikeluarkan zakat tersebut  hendaklah diutamakan berbanding di tempat-tempat  yang lain. Dalam masa yang sama juga kami katakan, bayarlah zakat dan tunaikanlah di pusat-pusat zakat tempat di mana anda berada. Yang demikian kerana badan zakat setempat atau negeri mempunyai maklumat secara terperinci mengenai asnaf-asnaf zakat di sesuatu tempat dan mengeluarkan zakat kepada badan-badan berautoriti seperti ini lebih memudahkan dalam menyalurkan zakat kepada asnaf zakat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam menjalankan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah: 201)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply