Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum pelajar berdiri ketika guru masuk ke dalam kelas? Hal ini kerana saya pernah dengar hadith berkenaan larangan untuk berdiri untuk seseorang. Mohon pencerahan

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Tidak boleh seorang guru untuk memerintahkan para pelajar untuk berdiri apabila dia masuk ke dalam kelas, kerana Rasulullah SAW melarang perkara ini. Diriwayatkan daripada Muawiyah bin Abi Sufyan R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَمْثُلَ لَهُ الرِّجَالُ قِيَامًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sesiapa yang suka orang-orang berdiri untuknya, maka hendaklah dia menempati tempat duduknya di neraka.”

Riwayat Abu Dawud (5229), al-Tirmizi (2775) dan Ahmad (16830). Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (5229) menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih.

Pendapat ulama’ dalam hal ini berbeza-beza: ada yang mengharamkannya, dan ada yang menganggapnya mustahab disunatkan.

  • Pendapat Yang Memakruhkan dan Mengharamkan

Mereka yang memakruhkannya merujuk kepada hadith Anas RA, katanya:

لَمْ يَكُنْ شَخْصٌ أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَكَانُوا إِذَا رَأَوْهُ لَمْ يَقُومُوا لِمَا يَعْلَمُونَ مِنْ كَرَاهِيَتِهِ لِذَلِكَ

Maksudnya: “Tiada seorang pun yang lebih aku cintai daripada Rasulullah SAW. Namun, apabila mereka melihatnya, mereka tidak berdiri kerana mereka mengetahui bahawa baginda tidak menyukai perkara tersebut.”

Riwayat al-Tirmizi (2754) dan Ahmad (12345). Al-Munawi dalam Takhrij Ahadith al-Masabih (4/176) menyatakan bahawa hadith ini sahih.

Pernyataan pihak yang menyatakan bahawa berdiri untuk guru adalah tanda penghormatan kepada ilmu adalah tidak tepat. Jika itu benar, maka Rasulullah SAW sendiri adalah lebih berhak untuk menerima penghormatan tersebut. Namun demikian, para sahabat tidak berdiri untuk Rasulullah SAW kerana mereka mengetahui baginda melarang perkara itu. Hal ini berbeza sekiranya pelajar berdiri dengan sukarela untuk guru tanpa diminta.

Syeikh Abdul Aziz bin Baz berkata: “Saya diberitahu bahawa ramai guru memerintahkan pelajar berdiri bagi mereka apabila masuk ke dalam kelas, dan tidak diragukan bahawa perkara ini bertentangan dengan sunnah yang sahih. Hal ini kerana telah thabit daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda: ‘Sesiapa yang suka orang berdiri untuknya, maka hendaklah dia menempati tempat duduknya di neraka.’ Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Dawud, dan Tirmizi melalui Ma’wiyyah R.A dengan sanad yang sahih. Dan diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tirmizi melalui sanad yang sahih dari Anas RA, beliau berkata: ‘Tiada seorang pun yang lebih mereka cintai daripada Rasulullah SAW, dan mereka tidak pernah berdiri untuk baginda apabila baginda masuk kepada mereka kerana mereka mengetahui baginda tidak menyukainya.’ Maka secara Sunnahnya adalah bahawa para pelajar tidak wajib untuk berdiri apabila para guru memasuki bilik darjah pelajar, berdasarkan kepada dua hadith ini maksud yang dimaksudkan daripada kedua-dua hadith ini. Guru pula tidak boleh memerintahkan para pelajar berdiri, kerana terdapat ancaman dalam hadith Mua’wiyah tentang Hal Ini, dan tidak disyorkan bagi pelajar berdiri berdasarkan hadith Anas yang dinyatakan, dan tidak tersirat bahawa segala kebaikan terletak dalam mengikuti sunnah Rasulullah SAW, mencontohi Baginda dan Para Sahabat R.Anhum. Semoga Allah menjadikan kita dan kamu semua dalam kalangan orang yang mengikuti mereka dengan baik, memberikan kepada kita kemudahan dalam memahami agama dan menetapkan keteguhan kita kepada agama Ini. “Lihat Majallah al-Buhuth al-Islamiah, 26/347)

Beliau Juga Berkata: “Berdirinya pelajar perempuan untuk Guru Perempuan dan pelajar lelaki untuk Guru Lelaki adalah Amalan yang Tidak Patut. Bahkan, yang paling Minimum dalam hal ini adalah hukum yang sangat makruh sebagaimana kata Anas R.A: “Tidak Ada seseorang yang lebih mereka cintai daripada Rasulullah SAW. Mereka tidak pernah berdiri untuk Baginda apabila Baginda memasuki ruangan mereka kerana mereka mengetahui Baginda tidak sukakan hal Ini.” Dan Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang ingin orang berdiri baginya, maka hendaklah dia menempati tempat duduknya di Neraka.” Hukum dalam hal ini bagi perempuan sama seperti lelaki, semoga Allah memberikan petunjuk kepada semua orang untuk melakukan apa yang mencukupi kepada-Nya, dan menjauhkan semua orang dari kemurkaan-Nya, serta memberikan ilmu yang bermanfaat kepada semua dan mengamalkannya. Dialah yang Pemurah lagi maha Mulia. (Lihat Fatawa Ulama’ al-Balad al-Haram, hlm. 390)

  • Pendapat Yang Membenarkan

Manakala bagi mereka yang menganggapnya ia disunatkan merujuk kepada hadith Abu Sa’id Al-Khudri RA, katanya:

لَمَّا نَزَلَتْ بَنُو قُرَيْظَةَ عَلَى حُكْمِ سَعْدٍ هُوَ ابْنُ مُعَاذٍ، بَعَثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ قَرِيبًا مِنْهُ، فَجَاءَ عَلَى حِمَارٍ، فَلَمَّا دَنَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «قُومُوا إِلَى سَيِّدِكُمْ»

Maksudnya: “Ketika Bani Quraizhah menyerahkan urusan kepada keputusan Sa’ad – iaitu Ibn Mu’az – Rasulullah SAW menghantar utusan dan waktu itu Sa’ad berada dekat dengan Baginda, maka Sa’ad datang dengan menunggang keldai. Ketika hampir sampai, Rasulullah SAW bersabda: “Berdirilah untuk pemimpin kalian.”

Riwayat al-Bukhari (3043) dan Muslim (1768)

Mulla ‘Ali al-Qari dalam Mirqah al-Mafatih berkata: “Berdirinya pelajar untuk guru adalah mustahabb (sunat) dan tidak makruh. Al-Baihaqi berkata: Berdiri ini adalah dalam bentuk kebajikan dan penghormatan, seperti yang dilakukan oleh kaum Ansar untuk Sa’ad, dan berdirinya Talhah untuk Ka’ab bin Malik. Orang yang diberi penghormatan ini sepatutnya tidak mengharapkannya dari orang yang melakukannya. Jika orang itu tidak melakukan perkara itu, dia tidak sepatutnya mengeluh, mengadu, atau menegurnya.” (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 7/2974)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan  daripada Imam al-Nawawi, katanya: Dalam menjawab berkenaan hadith Mu’awiyah: Sesungguhnya yang lebih sahih dan lebih utama, bahkan pendapat yang tidak memerlukan apa-apa selainnya, ialah maknanya adalah larangan bagi orang yang mukallaf daripada menyukai orang berdiri untuknya. Hadith ini tidak melarang sikap berdiri kepada orang lain. Demikian yang disepakati oleh jumhur ulama. Adapun sesuatu yang dilarang dalam hadith ini adalah perasaan suka ketika orang lain berdiri untuknya. Ketika tidak terlintas dalam fikirannya perasaan suka tersebut, baik orang-orang berdiri ataupun tidak, maka tidak ada masalah. Namun, ketika dia menyukainya, maka di situlah letak pengharamannya. Maka tidak boleh digunakan sebagai hujah untuk meninggalkan berdiri untuk guru, kerana jika dikatakan bahawa berdiri itu menjadi penyebab melakukan perkara yang dilarang, kami katakan ini adalah terbatal kerana kami telah menyatakan bahawa melakukan perkara yang dilarang ini berkaitan dengan kesukaan untuk orang berdiri untuknya secara khususnya. (Lihat Fath al-Bari, 11/53; Lihat juga ‘Aun al-Maʻbud Syarh Sunan Abi Dawud, 8/301)

Kami nukilkan di sini adab dengan Syeikh:

Antara adab penuntut ilmu dengan gurunya ialah sepertimana diceritakan berkenaan adab Musa A.S bersama Khadhir A.S, kata Musa A.S:

هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَى أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا

Maksudnya: “Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”

(Surah al-Kahfi: 66)

Imam al-Fakhr al-Razi menjelaskan: Ayat ini menunjukkan bahawa Musa A.S meraikan pelbagai adab dan kesopanan ketika mana beliau ingin belajar daripada Khadhir. Antaranya:

  • Musa menganggap dirinya sebagai pengikut ilmu kepada Khadhir.
  • Musa meminta izin Khadhir untuk menyandarkan keperguruan tersebut, ini adalah kemuncak sebuah tawadhuk.
  • Musa mengakui kejahilan pada dirinya, dan mengiktiraf keilmuan sang guru (عَلَى أَن تُعَلِّمَنِ).
  • Rendah diri Musa tatkala beliau berkata (مِمَّا عُلِّمْتَ) bahawa dia hanya meminta diajarkan sebahagian dari ilmu yang telah diberikan Allah kepada Khadhir, tidak menunjukkan mahu setanding keseluruhan ilmu sang guru.
  • Kata Musa (مِمَّا عُلِّمْتَ) juga adalah iktiraf bahawa Allah yang mengajarkan ilmu kepada Khadhir.
  • Menyifatkan ilmu yang mahu diwarisi itu adalah bersifat petunjuk.
  • Musa menzahirkan kemahuan agar kaedah ilmu yang beliau kehendaki itu seumpama cara bagaimana Allah mengurniakan nikmat ilmu kepada Khadhir.
  • Menyandarkan diri sebagai mengikut orang lain, menunjukkan adab pelajar untuk menyerahkan segalanya kepada sang guru ketika awal pengajian, tanpa gopoh membantah.
  • Musa akui dahulu bahawa dirinya hanyalah pengikut yang sedia berkhidmat (J), kemudian barulah .. ( أن تُعَلِّمَنَ) memohon untuk belajar
  • Musa tidak punya kepentingan lain di sebalik menyandarkan keperguruan seperti mahukan termasuk harta dan kedudukan, melainkan hanya mahu menuntut ilmu.

(Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/88-89 seperti dalam Ma’alim Irsyadiyyah li Sina’ah Talib al-‘Ilm oleh Syeikh Muhammad Awwamah, hlm. 228-231)

Betapa hebatnya ulama zaman dahulu seperti mana yang dikisahkan dalam kitab al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi (1/185), Abu Ishak al-Syahidi melihat Yahya al-Qattan solat Asar kemudian bersandar pada tiang seri menara masjid dan berdiri di sekelilingnya Imam Ali Ibn Madini, al-Syazakuni, Amru bin Ali, Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma`in, dan lain-lain lagi. Mereka yang bertanya kepadanya sedangkan mereka semua berdiri atas kaki mereka sendiri hingga sampai waktu solat Maghrib. Syeikh Yahya tidak menyuruh mereka untuk duduk dan mereka tidak duduk. Inilah kehebatan mereka.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hadith “Sesiapa yang suka seseorang berdiri untuknya, maka persiapkanlah tempat duduknya di neraka“, larangan tersebut bukan disebabkan oleh perbuatan berdiri itu sendiri, tetapi larangan tersebut berkaitan dengan perasaan suka yang muncul dalam diri aseseorang ketika ada orang lain yang berdiri untuknya. Tambahan pula, Imam al-Nawawi sendiri menyebut bahawa sebab larangan tersebut adalah pada perasaan suka tersebut, tetapi sekiranya orang berdiri untuknya tanpa dia minta dan tanpa dia menyukainya, maka ia tidaklah menjadi masalah. Hal ini ditambah lagi dengan Nabi SAW memerintahkan para sahabat untuk berdiri ketika Sa’ad bin Mu’adz datang untuk mengumumkan hukuman kepada penduduk Bani Quraizah. Namun, perbuatan berdiri dalam situasi ini bukanlah untuk membesarkan individu tersebut, tetapi lebih kepada menghormati dan menghargai individu tersebut atas dasar keilmuan, atau kedudukannya yang mulia.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a`lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply