Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah guru-guru di zaman dahulu amat dihormati oleh murid-muridnya dan penghormatan tersebut terbukti dengan sikap yang dizahirkan murid-muridnya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ

Maksudnya: “Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.

(Surah Ali ‘Imran: 79)

Imam al-Syatibi dalam al-Muwafaqat (4/190) berkata: Dinamakan sahih martabat dengan:

  • Rabbani
  • Al-Hakim
  • Al-Rasikh fi al-ilmi
  • Al-A lim
  • Al-Faqih
  • Al-Aqil

Ini kerana dia mendidik muridnya dengan ilmu yang kecil sebelum masalah-masalah besarnya.

Kami datangkan sedikit kisah ulama silam Mughirah bin Miqsam al-Dhabbi berkata: “Kami gerun kepada Ibrahim al-Nakhaie[1] seperti kami gerun kepada pemerintah.”

Ayub al-Syakhtiani[2] berkata: “Ada seorang yang duduk dalam majlis Hasan al-Basri selama 3 tahun dan tidak pernah bertanya kepadanya apapun kerana lmerasa gerun akan kehebatannya.”

Abdul Rahman bin Harmalah al-Aslami berkata: “Tiada mana-mana orang yang berani bertanya kepada Said bin al-Musayyib kecuali selepas meminta izin daripada pemerintah.”

Antara adab memuliakan syeikh ialah dengan memuliakan anaknya. Al-Zarnuji dalam kitab Ta’lim al-Muta allim mengisahkan daripada gurunya, Syeikh Islam Burhanuddin al- Marghinani, pengarang kitab al-Hidayah RA menceritakan: “Bahawa salah seorang ulama besar Bukhara duduk dalam majlis.

Terkadang dia bangun di dalam majlis. Lantas dia ditanya berkenaan hal itu. Jawabnya: “Sesungguhnya anak guruku bermain bersama rakan-rakan kecilnya di jalan dan terkadang kemudian dia datang di hadapan pintu masjid. aku Maka apabila melihatnya sebagai menghormati guruku.”

Betapa hebatnya ulama zaman dahulu seperti mana yang dikisahkan dalam kitab al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi (1/185), Abu Ishak al-Syahidi melihat Yahya al-Qattan solat Asar kemudian bersandar pada tiang seri menara masjid dan berdiri di sekelilingnya Imam Ali Ibn Madini, al-Syazakuni, Amru bin Ali, Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma`in, dan lain-lain lagi. Mereka yang bertanya kepadanya sedangkan mereka semua berdiri atas kaki mereka sendiri hingga sampai waktu solat Maghrib. Syeikh Yahya tidak menyuruh mereka untuk duduk dan mereka tidak duduk. Inilah kehebatan mereka. (Lihat Tinta Nasihat Untuk Penuntut Ilmu, hlm. 152-153)

Saya pernah mendengar seorang syeikh dari Yaman yang menetap di kota Mekah dalam ceramahnya pernah menyatakan bagaimana Imam Syafi’i apabila cuba membalik lembaran kertas di hadapan Imam Malik akan perlahan-lahan supaya tidak kedengaran bunyi gurisan kertas tersebut. Hal ini mengingatkan kita akan rasa taqwa guru menyebabkan murid-muridnya merasa gerun kepadanya.

Benarlah apa yang dikatakan:

مَنِ اتَّقَى اللهَ اتَّقَاهُ كُلُّ شَيْءٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang takut dan bertakwa kepada Allah, maka akan takutlah kepadanya oleh segala yang lain.”

Kami akhiri dengan doa dan munajat:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

(Surah Ali Imran: 8)

Wallahu a’lam

[1] Abū ʿImrān Ibrāhīm ibn Yazīd al-Nakhaʿī (Bahasa Arab: أبو عمران إبراهيم بن يزيد النخعي), juga dikenali sebagai Ibrāhīm al-Nakhaʿī , c. 670 CE/50 AH – 714 CE/96 AH),[1] ialah seorang ahli teologi dan ahli fiqh (faqīh) Islam. Walaupun tergolong dalam generasi yang mengikuti para sahabat Muhammad (tabiʿūn), dia masih bertemu dengan ramai daripada mereka semasa hayatnya, termasuk Anas ibn Malik dan Aisha binti Abi Bakr.

[2] Nama penuh beliau ialah  Ayyub bin Abi Tamimah Kaisan al-Sakhtiani Abu Bakar Al Bashri yang dilahirkan pada tahun 68 H dan wafat 131 H

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply