Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah berdosa apabila buang bangkai haiwan seperti bangkai kucing ke tempat pembuangan sampah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebagai umat Islam kita dituntut untuk berbuat baik kepada semua makhluk, tidak kira orang Islam atau orang bukan Islam, termasuklah haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”

(Surah al-Nahl: 90)

Menurut al-Sa‘di, berbuat baik itu adalah seperti seseorang memberi manfaat kepada orang lain dengan hartanya, tubuh badannya, ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya suruhan berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya — yakni haiwan yang tidak dimakan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/447).

Selain itu, berbuat baik kepada haiwan termasuk dalam akhlak dan sikap yang baik. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Hadith ini menunjukkan supaya bersikap rahmat — yakni belas kasihan — sesama manusia, bahkan juga kepada haiwan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia adalah suatu sikap dan akhlak yang baik lagi terpuji. Sesungguhnya Allah SWT telah memuji rasul-Nya yang bersikap sedemikian melalui firman-Nya:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.

(Surah al-Taubah: 128)

Manakala lawannya iaitu sikap keras hati yang merupakan hukuman Allah ke atas orang Yahudi tatkala mereka mencabuli perjanjian setia, sebagaimana firman Allah SWT:

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً

Maksudnya:Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).

(Surah al-Ma’idah: 13)

Oleh itu, rahmat — yakni bersikap kasih sayang dan mengasihi — itu merupakan kelebihan dan sifat yang baik, sedangkan keras hati itu pula ialah sifat yang buruk. Justeru, bersikap rahmat kepada haiwan, antaranya adalah dengan memberinya makan dan minum, mengubati lukanya, tidak membebankan haiwan tersebut di luar kemampuannya. (Lihat al-Adab al-Nabawi, hlm. 122-123).

Kemudian, dalam menjawab soalan di atas, kami melihat ia berkait dengan cara menguruskan bangkai haiwan. Dalam erti kata lain, adakah di sana terdapat saranan khusus bagi melupuskan bangkainya seperti ditanam ataupun boleh dibuang begitu sahaja.

Berkenaan hal ini, tidak terdapat sebarang nas di dalam al-Quran mahupun hadith Nabi SAW yang menyatakan secara jelas mengenainya. Namun, hal ini dapat dilihat melalui riwayat Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

وَجَدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَاةً مَيِّتَةً، أُعْطِيَتْهَا مَوْلاَةٌ لِمَيْمُونَةَ مِنَ الصَّدَقَةِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَلَّا انْتَفَعْتُمْ بِجِلْدِهَا؟ قَالُوا: إِنَّهَا مَيْتَةٌ: قَالَ: إِنَّمَا حَرُمَ أَكْلُهَا

Maksudnya: “Nabi SAW menemui seekor kambing yang telah mati. Ianya disedekahkan kepada maula[1] Maimunah. Lalu Nabi SAW bersabda: ‘Mengapa kamu tidak memanfaatkan kulitnya?’ Mereka menjawab: ‘Sesungguhnya ia adalah bangkai.’ Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya yang diharamkan hanyalah memakannya.’

Riwayat al-Bukhari (1492) dan Muslim (363)

Berdasarkan hadith ini, dapat difahami bahawa Baginda SAW tidak memerintahkan agar terus ditanam bangkai binatang tersebut, sebaliknya Baginda SAW menyarankan kepada para sahabat agar mengambil faedah atau manfaat daripada bangkai binatang itu. Begitu juga terbiarnya bangkai kambing itu jelas menunjukkan bahawa tiada pensyariatan khusus bahawa bangkai haiwan mesti ditanam. Ini kerana jika bangkai haiwan mesti ditanam, pasti Baginda SAW akan mengarahkan para sahabat berbuat demikian. Jadi, ini menunjukkan bahawa dalam urusan menguruskan bangkai haiwan adalah luas.

Tambahan lagi, ahli majlis fatwa al-Lajnah al-Da’imah, apabila ditanya berkenaan haiwan yang telah menjadi bangkai, adakah perlu dikebumikan atau dibiarkan sahaja di atas muka bumi? Mereka menjawab, urusan dalam hal ini adalah luas. Ini kerana tidak terdapat dalam syarak sebarang nas mahupun dalil yang menunjukkan pensyariatan menanam bangkai haiwan itu, begitu juga tiada sebarang tegahan atau larangan berkenaan perkara tersebut. Namun, perkara yang lebih utama adalah menanamnya supaya ia tidak menyakiti sesiapapun (dengan bau busuknya). (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 8/444-445)

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa seseorang membuang bangkai kucing ke tempat pembuangan sampah serta tidak berdosa melakukannya kerana tidak terdapat dalam syarak sebarang nas mahupun dalil yang melarang daripada melakukannya. Lebih-lebih lagi, bangkai haiwan seperti bangkai kucing dihukumkan sebagai najis. Apatah lagi, dapat difahami melalui riwayat Ibn Abbas di atas, menunjukkan bahawa bangkai kambing hanya dibiarkan begitu sahaja tanpa ditanam sehingga Baginda SAW menyarankan kepada para sahabat agar dimanfaatkan kulitnya. Ini jelas menunjukkan keluasan dalam perkara ini.

Sekalipun begitu, adalah lebih baik dan afdhal jika bangkai haiwan seperti bangkai kucing itu dapat ditanam berbanding ia dibuang begitu sahaja ke tempat pembuangan sampah. Ini kerana perbuatan membuang bangkai haiwan begitu sahaja tidak kira di mana, sama ada ke tempat pembuangan sampah ataupun tempat-tempat lain, akan menjadikan bangkai itu terdedah dan dibiarkan mereput, seterusnya menjadikan manusia atau orang yang melaluinya disakiti melalui bau yang tidak menyenangkan yang keluar daripada bangkai itu. Bukan itu sahaja, berkemungkinan ia turut akan mendatangkan kemudaratan kepada manusia melalui penyebaran kuman-kuman seperti bakteria ataupun virus (daripada bangkai yang mereput) yang boleh memberikan pelbagai jenis penyakit kepada manusia. Maka perbuatan menanam bangkai haiwan itu adalah selari dengan kaedah Sadd Zarai‘ iaitu menutup jalan yang membawa kepada kemudaratan atau kerosakan.

Tambahan lagi, perbuatan menanam itu lebih dekat dengan sifat belas kasihan dan rahmat kepada haiwan, di samping mencerminkan akhlak Islam yang diperintahkan untuk berbuat baik kepada haiwan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

[1] Bekas hamba yang telah dimerdekakan.

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply