Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah wang zakat diberi kepada adik beradik yang mengalami masalah kewangan dan mempunyai banyak hutang?  Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Salman bin Amir R.A, Nabi SAW telah bersabda:

‏الصَّدَقَة عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةْ، وَعَلَى ذِي الْرحم ثنتان‏:‏ صَدَقَةْ وَصِلَةْ

Maksudnya: “Zakat kepada orang miskin adalah dikira zakat, dan kepada saudara mara dikira dua kelebihan, iaitu zakat dan silaturrahim.”

Riwayat al-Nasai’e (2582) dan Ibn Majah (1844)

Justeru, kami berpandangan bahawa harus dan dibolehkan untuk memberikan zakat kepada adik-beradik atau ahli keluarga yang memerlukan selagi mana tidak berada di bawah tanggungannya. Hal ini kerana, membantu ahli keluarga sendiri adalah lebih afdhal dan diutamakan berbanding yang lain.

Walaupun begitu, jika adik-beradik memang di bawah tanggungannya maka, tidak sayugia diberi zakat. Sebaliknya, jika tidak, maka sayugia zakat diberi kepada adik-beradik. Akan tetapi, hendaklah diberikan zakat kepada PPZ atau Majlis Agama Islam Negeri atau Baitulmal terlebih dahulu. Kemudian, apabila diberikan pulangan semula dengan kadar tertentu untuk diagih sendiri di atas nama wakalah, maka bolehlah dia agihkan kepada adik-beradiknya.

Sejujurnya, saya lebih cenderung kepada memberi duit dari duit yang lain bukan daripada zakat. Hal ini berdasarkan sebuah hadith di mana Allah SWT membantu orang yang membantu saudaranya yang sedang belajar sebagai contoh.

Hadith Anas Ibn Malik berkata:

كَانَ أَخَوَانِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَانَ أَحَدُهُمَا يَأْتِي النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْآخَرُ خترفُ فَشَكَا المُحْتَرِفُ أَخَاهُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: لَعَلَّكَ تُرْزَقُ بِهِ

Maksudnya: “Ada dua orang saudara pada zaman Nabi SAW. Salah seorang selalu menemui Nabi SAW (untuk belajar) dan seorang lagi bekerja mencari rezeki. Kemudian, saudara yang bekerja itu mengadu kepada Nabi SAW berkenaan saudaranya (yang ditanggung). Jawab Baginda Nabi SAW kepadanya: “Boleh jadi kamu direzekikan dengan sebabnya.”

Riwayat al-Tirmidzi (2345) dalam Sunan. Katanya: “hadith ini hasan sahih.”

Syeikh al-Mubarakfuri dalam mensyarahkan hadith di atas berkata: Maksudnya iaitu aku berharap kamu direzekikan dengan sebab keberkatannya (saudara kamu yang menuntut ilmu). Ini kerana dia diberi rezeki melalui pekerjaan kamu. Justeru, janganlah kamu mengungkit atas pemberian kepadanya dengan usaha dan kerja kamu. (Lihat Tuhfah al- Ahwazi, 7/8)

Akhir kalam, jagalah hubungan silaturrahim bersama kaum keluarga agar dikurniakan keberkatan kepada kita hidup di dunia dan di akhirat. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply