Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya belajar di luar negara selama 5 tahun dan menerima biasiswa. Hasil berjimat cermat dan menabung, duit simpanan dari biasiswa pada tahun ke-3, ke-4 dan ke-5 melebihi nisab 85 gram emas dan cukup haul. Selepas pengajian, duit simpanan tersebut habis untuk membeli sebuah kereta. Adakah jatuh kewajipan qada’ zakat ke atas 3 tahun tersebut dan bolehkan qada’ zakat dibayar secara ansuran?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”
(Surah al-Baqarah: 43)
Kembali kepada persoalan di atas, kami katakan bahawa hukum qadha zakat adalah wajib dan berdosa jika sengaja diabaikan. Hal ini telah dijelaskan oleh Imam Hanbali dan Imam Syafi’i:
“Ketika penunaian zakat itu dapat dilakukan dengan segera, maka orang yang mengakhirkan penunaiannya dianggap ceroboh (kepada kewajipan berzakat), sehingga dia mesti bertanggung jawab terhadap pencerobohan yang dilakukan.” (Lihat al-Mughni, 2/686 dan al-Majmu’, 5/302)
Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: “Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”
Riwayat Bukhari (1953) dan Muslim (1148)
Nas ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa hutang Allah SWT berhak dan utama untuk ditunaikan berbanding dengan hutang manusia. Justeru, kami katakan dalam kes saudara 3 tahun yang cukup nisab yang juga cukup haul hendaklah dikeluarkan zakat.
Oleh kerana saudara telah menghabisinya dengan membeli kereta, maka ia dianggap sebagai hutang Allah SWT yang perlu saudara qadha dan tunaikannya. Berbalik kepada, bolehkah qadha zakat dibayar secara ansuran, kami berpendapat kepada hukumnya adalah dibolehkan. Ini berdasarkan kepada kemampuan yang kita miliki:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”
(Surah al-Taghabun: 16)
Al-Baghawi berkata: Ayat ini merupakan ayat nasakh bagi ayat ke-102 surah Ali ‘Imran yang dahulunya syadid dalam melakukan ibadah dan juga taat kepada perintah Allah, maka ayat ini diturunkan sebagai keringanan kepada umat Islam supaya beribadah kepada-Nya sesuai dengan kemampuan mereka. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 8/144)
Syeikh Abd al-Rahman al-Sa`di berkata: “Ayat ini menunjukkan bahawa semua kewajipan syarak yang tidak mampu ditanggung oleh hamba, maka akan gugur jika dia tidak mampu. Dia mampu untuk melaksanakan sebahagian daripada kewajipan itu, tetapi tidak mampu pada sebahagian yang lain, maka dia melaksanakan pada apa yang dia mampu sahaja, dan gugur pada perkara yang dia tidak mampu, seperti mana sabda Nabi SAW: Jika kalian diperintahkan dengan suatu perintah maka laksanakannya berdasarkan kemampuan kalian.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 313)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H