Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya sangat susah hati memikirkan hal ini. Begini Tuan Guru Dato’ Seri, adik-beradik dan seluruh saudara mara belah emak saya seolah-olah hendak memutuskan silaturrahim dengan emak saya dan adik-beradik saya apabila langsung tidak menziarah walaupun pada Hari Raya dan apabila berjumpa ada yang tidak sudi bertegur sapa.

Hal ini disebabkan emak saya tidak mampu lagi menjaga nenek saya (tanpa sebarang sumbangan daripada adik-beradik emak) kerana emak saya tidak sihat. Nenek saya memerlukan kos yang tinggi sehingga adik-beradik emak saya terpaksa mengambil pembantu (maid) untuk menjaga nenek saya di rumah nenek saya.

Sebelum ini nenek saya dijaga oleh emak saya di rumah emak saya. Jadi, mereka tak berpuas hati. Sekarang emak saya sudah terasa hati sangat-sangat apabila dipinggirkan sehingga emak saya melarang kami adik-beradik untuk menziarah adik-beradik emak dan saudara mara saya lagi. Walaupun tidak dilayan, sebelum ini saya dan adik beradik serta emak tetap menziarah walaupun ada kalanya tuan rumah melayan kami dengan dingin.

Apakah yang perlu saya lakukan dalam hal ini? Adakah emak saya dikira berdosa? Dan apa pula hukum adik-beradik dan saudara mara saya buat begini pada emak hanya kerana tidak mampu menjaga nenek disebabkan emak saya tidak sihat?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Maksudnya: “Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

(Surah al-Nisa’: 1)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, bertakwalah kamu kepada Allah dengan mentaati-Nya. Kata Ibrahim, Mujahid dan al-Hasan: “الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ” ertinya sebagaimana ucapan seseorang: “Aku meminta kepadamu dengan (nama) Allah dan dengan (hubungan) rahim.”

Al-Dahhak berkata: “Bertakwalah kamu kepada Allah yang dengan-Nya kamu saling mengikat janji dan persetujuan, serta takutlah kamu daripada memutuskan silaturrahim, tetapi berusahalah untuk berbuat baik dan menyambungnya.” Pentafsiran ini adalah pendapat Ibn Abbas, Ikrimah, Mujahid, al-Hasan, al-Dahhak, al-Rabi’ dan ramai ulama’ yang lain.

Sebahagian ulama membaca ” والأرحامِ ” dengan khafadh (kasrah) sebagai athaf (sambungan) dari dhamir “بِهِ”, maksudnya kamu saling meminta satu sama lain kepada Allah dan hubungan silaturrahim, sepertimana yang dinyatakan oleh Mujahid dan selainnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/332)

Allah SWT juga berfirman:

وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللَّـهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الْحِسَابِ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat).”

(Surah al-Ra’d: 21)

Syeikh al-Maraghi berkata: Mereka mengikat tali perhubungan silaturrahim sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT. Lalu mereka bergaul dengan kaum kerabat dengan perasaan penuh kecintaan dan kebaikan. Seterusnya mereka berbuat kebaikan kepada golongan miskin dan golongan yang memerlukan pertolongan antara mereka dengan memberikan kebaikan kepada mereka dan menjauhkan bahaya daripada mereka mengikut kemampuan yang mereka ada. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3510)

Perkataan silaturrahim (صلة الرحم) berasal daripada dua perkataan Arab iaitu “صلة” dan “الرحم”. Al-Raghib al-Asfahani menyebut:

الرَّحِمُ: رَحِمُ المرأة (أي بيت منبت ولدها ووعاؤه) . ومنه استعير الرَّحِمُ للقرابة، لكونهم خارجين من رحم واحدة

“Al-Rahim yang dimaksudkan adalah rahim wanita iaitu tempat di mana janin berkembang dan terlindung (dalam perut wanita). Dan istilah al-rahim digunakan untuk menyebut kaum kerabat kerana mereka berasal dari satu rahim.” (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 347)

Antara hadis yang menyebut berkenaan menyambung silaturrahim, sepertimana sabda Rasulullah SAW:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”

Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini berkata: Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114)

Manakala dalam hadis daripada Abu Ayyub al-Ansari R.A, Rasulullah SAW pernah ditanya berkenaan amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga, lalu Baginda SAW menjawab:

تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا ، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ ، وَتُؤْتِى الزَّكَاةَ ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ

Maksudnya: “Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik pada-Nya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan jalinlah tali silaturrahim.

Riwayat al-Bukhari (5983)

Imam Nawawi menyebut: “Adapun maksud silaturrahim, ia adalah berbuat baik kepada kaum kerabat sesuai dengan keadaan orang yang hendak menghubungkan dan keadaan orang yang hendak dihubungkan. Terkadang dalam bentuk kebaikan dengan harta, terkadang dengan memberi bantuan tenaga, terkadang dengan mengunjunginya, dengan memberi salam, dan sebagainya.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 1/287)

Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebut: Al-Rahim (الرحم) secara umum adalah dimaksudkan kepada kaum kerabat dekat. Antara mereka terdapat garis keturunan (nasab), sama ada berhak mewarisi atau tidak, dan sebagai mahram atau tidak. Menurut pendapat lain, mereka adalah daripada mahram (kerabat dekat yang haram dinikahi) sahaja. Pendapat pertama lebih kuat kerana menurut batasan kedua, anak-anak saudara dan anak-anak ibu saudara bukan kerabat yang dekat kerana tidak termasuk yang haram dinikahi, sedangkan ia tidaklah sedemikian. (Lihat Fath al-Bari, 10/414)

Syeikh Mulla Ali al-Qari menyebut bahawa silaturrahim adalah ungkapan berkenaan berbuat baik kepada kaum kerabat yang dekat – sama ada mengikut garis keturunan atau melalui perkahwinan – berlemah lembut dan mengasihi mereka serta mengambil cakna akan hal keadaan mereka. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 8/645)

Ibn al-Athir pula menyebut: “Banyak hadith yang menyebutkan berkenaan silaturahim. Ia merupakan kinayah (yang memberi maksud secara tidak langsung) untuk perbuatan baik kepada kaum kerabat yang mempunyai hubungan nasab, atau kerabat kerana hubungan pernikahan, dengan berlemah-lembut dan memberi kasih sayang kepada mereka serta mengambil peduli akan hal keadaan mereka. Manakala memutuskan silaturrahim adalah lawan daripada semua perkara itu.” (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 5/191-192)

Dalam menjawab persoalan saudara, kami katakan langkah yang diambil oleh ibu saudara adalah baik dari sudut menyambung silaturrahim dengan adik-beradiknya. Saudara dan adik-beradik saudara juga perlu menyambung silaturrahim dengan seupaya mungkin kerana itulah yang terbaik dan sewajarnya.

Berkenaan dengan nenek saudara, perkara ini perlu dibincangkan dari hati ke hati dengan adik-beradik ibu saudara yang mesti ada penyelesaian yang tuntas. Sebaik-baiknya hendaklah mereka berhimpun dan berkumpul serta membentangkan masalah ibu atau nenek saudara untuk diselesaikan dan mencari satu solusi yang terbaik. Memang tidak patut pun ia terbeban ke atas ibu saudara tanpa dokongan dan sokongan oleh adik-beradik yang lain. Justeru, kami syorkan seperti berikut:

  • Adakan gathering keluarga dan anak-anak nenek semua atau ibu dan saudara mara ibu anda hendaklah mengambi keprihatinan dan kecaknaan yang sungguh-sungguh untuk menjaga dan memelihara ibu mereka semua.
  • Taklifkan setiap anak-anak memainkan peranan sama ada dengan tenaga, tempat tinggal, wang ringgit, makan minum, ubat-ubatan, keperluan pergi ke hospital atau menerima rawatan hendaklah semuanya mengambil kira. Inilah yang sewajibnya difikirkan oleh anak-anak. Kita tidak hendak kalimah yang selalu didendangkan ibu dengan 10 anak dapat menjaga sedangkan 10 anak tidak mampu menjaga ibu seorang. Ini adalah petaka dan malang dalam kehidupan kekeluargaan.
  • Peranan anak-anak lelaki terutamanya yang sulung juga mesti terkehadapan dalam membantu penjagaan ibu ini. Jangan biarkan adik-beradik perempuan terutamanya yang kurang keupayaan kewangan untuk menjaganya, kecualilah berlakunya sokongan dan dokongan kewangan yang amat munasabah di samping sentiasa bersifat konsisten.
  • Membuat penggiliran penjagaan juga boleh difikirkan agar bebanan yang dikenakan kepada seorang anak yang menjaga dapat diringankan dengan anak-anak yang lain pula. Hal ini sudah tentu akan merasakan semua anak-anak bertanggungjawab mengikut kemampuan masing-masing.
  • Begitu juga, jadual ziarah ibu yang sakit atau nenek dalam kes saudara hendaklah sentiasa berlangungan dari adik-beradik yang lain sehingga ini memberi kekuatan dan sokongan semangat kepada ibu itu sendiri. Ibu akan merasakan bahawa anak-anaknya memberi kecaknaan kepadanya.
  • Sudah sampai masanya jika perlu boleh juga di samping penjagaan tersebut diupah jururawat atau nurse sebagai sokongan dan dokongan dalam penjagaan nenek tersebut. Walaupun begitu, hal ini bergantung kepada kemampuan kewangan keluarga tersebut.

Akhir kalam, kami katakan ibu anda hanya seorang, justeru, berbaktilah selama mana dia masih hidup kerana redha Allah SWT sentiasa bersama dengan redha ibu bapa. Benarlah hadith Rasulullah SAW: Daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, bahawa Baginda SAW bersabda:

  رِضَا اَللَّهِ فِي رِضَا اَلْوَالِدَيْنِ, وَسَخَطُ اَللَّهِ فِي سَخَطِ اَلْوَالِدَيْنِ

Maksudnya: “Keredhaan Allah pada keredhaan kedua ibu bapa, kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapa.”

Riwayat al-Tirmizi (1900), Ibn Hibban (2026)

Kami akhiri dengan menyeru sekali lagi agar jangan masalah ibu ini dipandang enteng dan mudah. Banyak kisah-kisah yang menarik berkenaan dengan orang yang berbakti kepada ibu bapanya yang dibalas dengan kesenangan hidup di dunia dan diberkati Allah SWT serta membawa mereka ke syurga.

Marilah sama-sama kita berdoa:

 رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: ““Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

(Surah al-Isra’: 24)

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply