Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bekerja 3am – 10am. Menjadi kebiasaan kami akan tidur sebelum masuk kerja. Majikan mewajibkan kami untuk solat tahajjud sebelum mulakan tugas. Soalan saya, bolehkah majikan mewajibkan kepada kami perkara yang sunat? Terima kasih. 

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Islam menyeru umatnya untuk bekerja dalam meneruskan kehidupan seharian. Namun demikian penekanan terhadap punca rezeki atau mata pencarian yang halal adalah menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam. Galakan untuk berusaha untuk mencari sumber rezeki yang halal juga dapat dilihat berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ طلَبَ الدُّنْيَا حلاَلاً اِسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ وَسَعْيًا عَلَى اَهْلهِ وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ بَعَثَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ. وَمَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلاَلاً مُكَاثِرًا مُفَاخِرًا مُرَائِيًا لَقِىَ اللهَ تَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانٌ

Maksudnya: “Siapa yang mencari dunia yang halal untuk menjauhkan diri dari berminta-minta, dan usaha untuk keluarganya dan untuk baik dengan tetangganya, akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dengan mukanya bagaikan bulan purnama, dan siapa yang mencari dunia halal untuk memperbanyak, berbangga dan sombong, akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat sedang Allah murka padanya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890), Ahmad (2/436), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (7/16) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465).

Antara iktibar yang dapat diambil daripada hadith di atas ialah bahawa bekerja merupakan perkara yang dituntut. Ini menunjukkan kita perlu berusaha dalam meneruskan kesinambungan hidup.

Berkenaan dengan hak pekerja yang mesti diberikan oleh majikan, antara lain ialah hak untuk berehat atau cuti mengikut persepakatan dan terma perjanjian antara mereka. Oleh itu, jika hal seperti ini sudah disepakati, maka ia hendaklah ditunaikan mengikut kesepakatan serta tidak memungkirinya. Nabi SAW bersabda:

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya: “Umat Islam wajib mematuhi persyaratan yang telah mereka sepakati.”p

Riwayat Abu Dawud (3594), al-Tirmizi (1352), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11761), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (30) dan al-Daraqutni (96).

Syeikh al-‘Azim Abadi ketika mensyarahkan hadith ini, berkata: “Iaitu mereka tetap (dengan perjanjian yang telah dilakukan) dan tidak berpatah   balik.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Dawud, 10/26)

Selain itu, majikan juga perlu melayani pekerja dengan baik serta tidak bersikap kasar dan zalim sehingga melakukan kekasaran fizikal kepada pekerja. Nabi SAW tidak pernah melakukan kekasaran kepada bawahannya. Saidatina Aisyah R.Anha menceritakan:

مَا ضَرَبَ رَسُولُ اللهِ شَيْئًا قَطُّ بِيَدِهِ وَلاَ امْرَأَةً وَلاَ خَادِمًا

Maksudnya: “Rasulullah tidak pernah memukul dengan tangannya sedikit pun, tidak kepada wanita dan tidak kepada hamba (pekerja).”

Riwayat Muslim (2328) dan Abu Dawud (4786)

Imam al-Nawawi berkata: “Dalam hadith terdapat anjuran untuk memaafkan dan bersikap lemah lembut.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/37)

Tambahan lagi, majikan tidak semestinya memahami keseluruhan peribadi pekerja, akan tetapi cukuplah memahami keadaan emosi pekerja. Apabila pekerja dilihat berada dalam tekanan dan masalah, majikan boleh memberi nasihat atau mengadakan hari tertentu seperti family day untuk mengurangkan tekanan.

Majikan juga hendaklah memberi dan membina kepercayaan terhadap pekerjanya. Hal ini dapat membangkitkan semangat dan motivasi mereka dalam memberikan sumbangan yang terbaik terhadap menyelesaikan sesuatu tugasan yang diamanahkan. Cara memotivasikan ini jelas amat berkesan untuk meningkatkan lagi prestasi pekerjaan oleh pekerja. Lihatlah sejarah Rasulullah SAW memuji para sahabatnya sehingga mereka menjadi begitu unggul dan terbaik.

Hukum Mendirikan Solat Tahhajud

Solat Tahajjud adalah satu ibadah yang disyariatkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Banyak gesaan dari ayat-ayat al-Quran supaya kita bangun pada 2/3 malam dan beribadat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT

‏ وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Maksudnya: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah (sembahyang tahajjud) padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

(Surah al-Isra’: 79)

Ibn Kathir dalam menghuraikan makna tahajjud, menyebutkan: Sesungguhnya tahajjud itu adalah sesuatu yang dilakukan selepas tidur. Inilah pendapat yang disebutkan oleh ‘Alqamah, al-Aswad, Ibrahim al-Nakha‘i, dan selain mereka dan inilah maksudnya yang makruf dalam bahasa Arab. Demikian juga telah thabit hadith-hadith daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda melakukan solat tahajjud selepas bangun daripada tidur. Hal ini sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, Aisyah, dan selain mereka daripada kalangan para sahabat R.Anhum. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 5/102).

Selain itu, Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَبِيتُ عَلَى ذِكْرِ اللهِ طَاهِرًا، فَيَتَعَارَّ مِنَ اللَّيْلِ فَيَسْأَلُ اللهَ خَيْرًا مِنَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ إِلَّا أَعْطَاهُ

Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim yang tidur malam dalam keadaan berzikir kepada Allah dan dalam keadaan berwuduk, lalu dia bangun pada malam dan berdoa memohon kebaikan dunia dan akhirat kepada Allah melainkan Allah akan mengabulkan permintaannya.”

Riwayat Abu Dawud (5042), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (10634) dan Ahmad (22114). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menyebut bahawa sanadnya adalah sahih.

Imam al-Khattabi berkata: ‘يَتَعَارُّ‘ bermaksud bangun daripada tidur. Ia diambil daripada perkataan ‘التَّعَارُّ’ yang bermaksud bangun dan membolak-balikkan badan di atas tempat tidur. Dikatakan bahawa ‘التَّعَارُّ’ dilakukan dengan ucapan dan suara, yang diambil daripada ungkapan ‘عُرَارُ الظَّلِيْمِ’ (kejahatan orang yang zalim). (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 4/143).

Semua ulama’ bersepakat bahawa solat Qiamullail atau tahajjud hukumnya adalah sunat muakkad. Walaupun begitu, para ulama’ dan orang-orang yang soleh amat menitikberatkannya  dan tidak meninggalkannya disebabkan kelebihan dan fadhilatnya yang sangat banyak.

Syeikh Sa’di Abu Jaib berkata: “Sesungguhnya ijma’ umat ini bahawa Qiamullail adalah sunat muakkad yang bukan fardhu kecuali apa yang dinukilkan daripada sebahagian ulama’ salaf yang mewajibkannya. Ia adalah ditolak dengan ijma’ sebelumnya berdasarkan nas-nas yang sahih. Dan perintah mendirikan Qiamullail khas bagi Rasulullah SAW telah dinasakhkan bagi umatnya, inilah yang telah diijma’kan.” (Lihat Mausu‘ah al-Ijma‘ fi al-Fiqh al-Islami, 2/657).

Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyah, antara lain menyebut bahawa para fuqaha bersepakat tentang pensyariatan Qiamullail di mana mereka menggunakan beberapa istilah yang memberi makna galakan. Antaranya  ia sunat di sisi mazhab Hanafi dan Hanbali, Mandub (sunat) di sisi mazhab Maliki dan Mustahab (sunat) di sisi mazhab al-Syafi’i. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah, 14/87)

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, majikan tidak boleh mewajibkan pekerjanya melaksanakan ibadah sunat seperti solat tahajjud, tetapi para majikan boleh menggalakkan dan memberikan ruang kepada pekerjanya bagi melaksanakan solat tahajjud.  Hal ini kerana majikan tidak boleh mewajibkan ibadah yang sunat kepada pekerjanya melainkan dengan tujuan untuk menggalakkan. Namun begitu, galakan ini amatlah baik kerana solat tahajjud ini mempunyai banyak kelebihan dan fadhilatnya. Daripada Abi Umamah al-Bahili, bahawa Nabi SAW bersabda:

عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأَبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ، وَهُوَ قُرْبَةٌ إِلَى رَبِّكُمْ، وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ، وَمَنْهَاةٌ لِلإِثْمِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu melakukan solat malam kerana ia adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Ia mendekatkan kamu kepada Allah, menghapuskan dosa dan menjauhkan dari maksiat.”

Riwayat al-Tirmizi (3549). Menurut al-Tirmizi di sana terdapat riwayat yang lebih sahih iaitu riwayat Abu Idris daripada Abu Umamah berbanding riwayat Abu Idris daripada Bilal.

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Sabda Nabi SAW hendaklah kamu berqiyam pada waktu malam iaitu solat tahajjud. Dan sabda Nabi SAW ia adalah hidangan buat orang yang soleh bermaksud solat malam itu telah menjadi kebiasaan atau adat buat mereka. Adapun sabda Nabi SAW ia menghapuskan dosa bermakna menghapuskan dosa serta menutupnya.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/375).

Begitu juga dengan riwayat Jabir bin Abdullah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِنَ اللَّيْلِ سَاعَةً، لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ، يَسْأَلُ اللهَ خَيْرًا، إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya pada waktu malam ada satu ketika yang tidaklah seorang Muslim memohon kebaikan daripada Allah ketika itu melainkan Allah akan memberikan kepadanya.”

Riwayat Muslim (757)

Hadith ini membuktikan adanya satu waktu yang mustajab dalam setiap malam. Selain itu, hadith ini mengandungi galakan berdoa sepanjang malam serta dalam masa yang sama berharap agar terkena atau mendapat waktu mustajab tersebut.

Walaupun begitu, kami melihat secara positif betapa niat dan maksud cuba diterapkan oleh majikan adalah amat baik. Wajib di sini bukanlah bermaksud kefardhuan tetapi dari segi kesungguhan untuk dilaksanakan dan ia tidaklah menghadkan berapa jumlah rakaat tahajjud, justeru, masih lagi terdapat kelonggaran untuk melakukan walaupun hanya 2 rakaat sahaja.

Kami juga berpendapat ikutlah kehendak majikan kerana ia merupakan kebaikan kepada kita apabila dinawaitukan kepada Allah SWT berdasarkan nas kelebihan solat tahajjud itu sendiri. Inilah juga perjalanan orang-orang soleh sebelum kita yang melakukan solat tahajjud.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Wallahua`lam.

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply