Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan, darah ikan terpercik masuk ke dalam air tadahan dalam besen, adakah perlu dibuang air tadahan itu sebab dikira sebagai najis? Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab soalan di atas, kita hendaklah membahaskan terlebih dahulu mengenai status darah ikan itu sendiri, adakah ia dihukumkan sebagai najis ataupun suci? Ini kerana status kenajisan air tadahan dalam besen itu bergantung kepada hukum darah ikan itu sendiri. Apatah lagi besen itu sendiri adalah merujuk kepada bekas yang biasanya tidaklah begitu besar sehingga mencapai jumlah dua qullah. Ini seperti mana ditakrifkan sendiri oleh Kamus Dewan Edisi Keempat bahawa besen ialah sejenis mangkuk besar (daripada logam dan lain-lain) tempat membasuh pinggan mangkuk dan lain-lain.[1]

Ringkasnya, para ulama berbeza pandangan tentang kesucian darah ikan kepada dua pendapat:

Pendapat pertama, darah ikan adalah najis. Ini merupakan pendapat yang paling sahih dalam mazhab Maliki dan Syafi‘i, serta salah satu pendapat mazhab Hanbali.  (Lihat al-Muntaqa, 3/129; al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/92; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/557).

Pandangan ini berdasarkan umum makna firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Begitu juga, hadith Nabi SAW:

أُحِلَّتْ لَنَا مَيْتَتَانِ وَدَمَانِ، فَأَمَّا الْمَيْتَتَانِ، فَالْحُوتُ وَالْجَرَادُ، وَأَمَّا الدَّمَانِ، فَالْكَبِدُ وَالطِّحَالُ

Maksudnya: “Dihalalkan buat kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua jenis bangkai iaitu: Ikan dan belalang. Manakala dua jenis darah iaitu: Hati dan limpa.

Riwayat Ibn Majah (3314); Ahmad (5723) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (1/254). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menilai hadith ini sebagai hasan dalam takhrij al-Musnad.

Di sini, Nabi SAW tidak memberikan pengecualian daripada darah yang halal kecuali hati dan limpa. Maka darah ikan kembali kepada hukum asal darah iaitu najis, seperti mana firman Allah dalam surah al-Ma’idah ayat 3 sebagaimana di atas.

Pendapat kedua, darah ikan adalah suci. Ini adalah pendapat dalam mazhab Hanafi dan juga pendapat yang paling sahih dalam mazhab Hanbali, serta salah satu pendapat dalam mazhab al-Syafi‘i. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/92; Hasyiah Ibn ‘Abidin, 1/322; al-Furu‘, 1/339)

Di antara hujah ulama yang berpendapat dengan pandangan ini adalah kerana darah ikan tersebut tidaklah lebih banyak daripada bangkainya. Bangkai ikan adalah suci, maka demikianlah juga darahnya. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/92).

Begitu juga menurut Syeikh Ibn al-‘Uthaimin darah ikan dikira sebagai darah yang suci kerana asal pengharaman bangkai disebabkan oleh darah yang berkumpul di dalamnya. Oleh sebab itu, apabila dikeluarkan darahnya melalui sembelihan maka ia menjadi halal untuk dimakan. Jadi bila mana bangkai ikan adalah suci, maka kita mengetahui bahawa darahnya — yang menjadi sebab kenajisan bangkai — adalah suci. Justeru, darah ikan adalah suci. Sekiranya seseorang menangkap ikan besar, lalu badannya terkena banyak darah ikan tersebut, maka darah itu adalah suci. (Lihat al-Syarh al-Sauti li Zad al-Mustaqni‘, 1/516).

Sebenarnya kami telah membahaskan secara panjang lebar mengenai perkara ini dan menyimpulkan bahawa tidak dapat dinafikan bahawa ia adalah isu yang diperselisihi dalam kalangan ulama; sama ada ia najis atau suci. Akan tetapi sekurang-kurangnya kita mengetahui bahawa ikan adalah halal dimakan, dan kami cenderung kepada salah satu pandangan mazhab Syafi‘i serta mazhab Hanafi dan Hanbali, yang menyatakan bahawa darah ikan adalah suci.

Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #2497: Hukum Darah Ikan.[2]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa isu darah ikan ini termasuk dalam perkara yang diperselisihi dalam kalangan ulama. Justeru, kami berpendapat bahawa status air tadahan besen itu jika ia kurang daripada dua qullah[3] bergantung kepada hukum darah tersebut. Jika darah ikan itu dihukumkan sebagai najis, maka air tadahan besen itu juga dihukumkan sebagai najis dan dipanggil sebagai air mutanajjis.[4]  Namun, jika darah ikan itu dihukumkan sebagai suci maka air tadahan besen itu juga dihukumkan sebagai suci.

Akan tetapi jika air tadahan besen itu mencapai jumlah dua qullah atau lebih, maka ia tidak dihukumkan sebagai najis (air mutanajjis) dengan semata-mata terjatuh atau tersentuh najis seperti percikan darah ikan (bagi mereka yang berpendapat ia adalah najis), tetapi ia menjadi najis apabila berubah satu daripada sifatnya, iaitu warna, rasa atau bau dengan sebab najis itu. Ini adalah sebagaimana yang difahami dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/34).

Kaedah seperti memudahkan dan jangan menyusahkan serta raf’u al-haraj atau mengangkat kesulitan hendaklah menjadi salah satu daripada maksud sesebuah hukum selama mana ia berbetulan dengan nas-nas syarak. Ini akan meringankan kehidupan serta memudahkan perjalanan hidup kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (265), Ibn Hibban (974) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (351)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=besen. Diakses pada 14 Ogos 2023.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/2497-hukum-darah-ikan/. Diakses pada 14 Ogos 2023.

[3] Sebenarnya sukatan atau kadar air yang dikemukakan oleh ulama berkenaan dengan dua qullah bersifat taqribi bukan tahdidi atau tepat. Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyebut nilainya seperti berikut:

  1. Dari segi timbangan iaitu 446 3/7 kati Mesir, 81 kati Syam (1 kati Syam bersamaan 2.5 kg. justeru, 2 qullah bersamaan 195.113 kg).
  2. Dari segi sukatan 10 tin (ada pendapat mengatakan 15 tin atau 270 liter).

iii.         Dari segi ukuran 1¼ hasta segi empat panjang, lebar dan dalam berdasarkan hasta sederhana. Bagi bekas bulat pula seperti telaga 2 hasta dalam dan 1 hasta lebar. Menurut pendapat ulama Hanbali, ukurannya ialah 2½ hasta dalam dan 1 hasta lebar. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, terbitan JAKIM, bhg nota kaki, terjemahan Dr. Zulkifli al-Bakri, 1/134-135).

[4] Air mutanajjis ialah air yang jatuh najis ke dalamnya. Air ini terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama: Air yang sedikit, iaitu kurang daripada dua qullah. Air ini menjadi najis kerana terjatuh najis ke dalamnya walaupun sedikit dan tidak berubah sifat-sifatnya dari segi warna, bau dan rasa.

Kedua: Air yang banyak, iaitu yang cukup dua qullah atau lebih. Air ini tidak menjadi najis dengan semata-mata terjatuh atau tersentuh najis, tetapi ia menjadi najis apabila berubah satu daripada sifatnya, iaitu warna, rasa atau bau. Dalilnya ialah ijma’ para ulama. Imam al-Nawawi menyebut dalam kitabnya al-Majmu’, Ibn Munzir berkata: “Ulama telah bersepakat bahawa air yang sedikit atau banyak, apabila najis jatuh ke dalamnya dan berubah sama ada rasa, warna atau bau, air itu menjadi najis.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/33-34).

Bertarikh: 29 Ogos 2023 bersamaan 12 Safar 1445 H

Leave a Reply