Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah ilmu dan ibadat saling kuat-menguat antara satu sama lain?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”
(Surah al-Zariyat: 56)
Ayat ini dengan jelas menunjukkan matlamat penciptaan jin dan manusia agar mereka mengabdikan diri kepada Allah SWT dan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi. Mereka pemegang amanah yang wajib mereka laksanakan serta menyampaikan ajaran Islam mengikut kehendak Allah SWT dan rasul-Nya. Semuanya ini memerlukan kepada ilmu. Tanpa ilmu, maka sukarlah untuk mendapat ‘sah’ dalam ibadat.
Benarlah kata pujangga:
وَكُلُّ مَنْ بِغَيْرِ عِلْمٍ يَعْمَلُ أَعْمَالُهُ مَرْدُودَةٌ لَا تُقْبَلُ
Setiap siapa tanpa ilmu beramal
Segala amalannya ditolak dan tidak diterima
(Lihat al-Zubad fi Fiqh al-Syafi’i, hlm. 4)
Betapa besarnya ilmu maka ia didahulukan dalam penciptaan manusia sebelum diberikan perkara yang lain. Sebagaimana firman Allah SWT:
وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَٰؤُلَاءِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
Maksudnya: “Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.”
(Surah al-Baqarah: 31)
Ilmu yang dikehendaki dalam kehidupan kita amat banyak tetapi ilmu berkaitan Ahkam Syar’iyyah antara yang utama. Ilmu itu terdiri daripada tiga huruf (عِلْمٌ) yang bermaksud pengetahuan atau makrifah. Ia merupakan salah satu daripada nama dan sifat Allah SWT. la ditakrifkan juga dengan maksud mengetahui dan mendapati sesuatu berbetulan mengikut hakikat yang sebenar. Itulah ilmu. Apakah hakikat ilmu itu?
Lihatlah jawapan ulama:
Pertama: Imam Syafie berkata: “Seseorang itu tidak berhak berkata pada sesuatu perkara yang halal atau haram kecuali dengan ilmu.” Sudut ilmu itu ialah:
- Apa yang dinaskan dalam Kitabullah.
- Atau dalam Sunnah.
- Atau dalam ljmak.
- Jika tiada, maka Qias atas usul-usul ini, atau apa yang semakna dengannya.
Kedua: Imam Muhammad Ibn Al-Hasan al-Syaibani berkata, ilmu adalah empat wajah:
- Apa yang terdapat dalam kitab Allah dan seumpamanya.
- Apa yang terdapat dalam sunnah Rasulullah dan seumpamanya.
- Apa yang menjadi ijmak para sahabat dan seumpamanya.
- Apa yang menjadi istihsan para fuqaha dan seumpamanya.
Ibn Abd al-Barr Rahimahullah mentafsirkan maksud Imam Syafie dengan “apa yang semakna dengannya” dan maksud Imam Muhammad Ibn Al-Hasan dengan “dan seumpamanya” dengan kaedah Qias.
Ketiga: Imam Malik berkata: “Ilmu dan hikmah adalah cahaya yang Allah hidupkan dengannya siapa yang dikehendakinya, bukan dengan banyaknya masalah ilmiah.” Hal ini berbetulan dengan kenyataan sahabat Nabi, Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu anhu:-
لَيْسَ الْعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ ، إِنَّمَا الْعِلْمُ الْخَشْيَةُ
Maksudnya: “Bukanlah ilmu dengan banyaknya hadis tetapi ilmu yang sebenarnya adalah takut kepada Allah.”
Riwayat Ibn Hibban (9) dalam Raudhat al-‘Uqala’
Kata beliau lagi:
رَأْسُ الْحِكْمَةِ مَخَافَةُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: “Kepala hikmah itu ialah takut kepada Allah Azza wa Jalla.”
Riwayat al-Baihaqi (729) dalam Syu’ab al-Iman
Ini berbetulan dengan firman Allah SWT:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
Maksudnya: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.
(Surah Fatir: 28)
Ibn Kathir telah menukilkan sejumlah pandangan ulama berkenaan dengan maksud ayat ini.
Al-Maraghi berkata: “Ini kerana orang yang mengetahui perkara tersebut tentu akan yakin adanya hukuman yang bakal ditimpakan kepada sesiapa sahaja yang derhaka dan ingkar kepada Allah. Atas dasar itu, dia berasa takut kepada Allah dan ngeri dengan hukuman serta seksaannya.”
Keempat: Al-Khattabi berkata: “Ilmu lebih jelas dan terang daripada didefinisikan.” Ertinya, ilmu itu diketahui oleh semua orang yang berakal, sekalipun seseorang itu ada ilmu atau sebaliknya.
Menjawab persoalan di atas, Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi berkata, “Ilmu mensabitkan manusia dan ibadah mensabitkan ilmu.”
Inilah kedudukan ilmu yang sentiasa memandu ibadat dan dengan ibadat tamkin ilmu akan menjadi kukuh dalam jiwa seseorang. Seorang ulama berkata, “Ilmu hurufnya (عِلْمٌ) ia mempunyai tuntutan untuk melakukannya maka, jadilah (عَمَلٌ).”
Hasil daripada ilmu dan amal maka, lahirlah (لَمَعٌ) yang memberi maksud bercahaya. Justeru, amat penting seseorang yang mempunyai ilmu hendaklah beramal dan seseorang yang ingin beramal hendaklah mempunyai ilmu. Apabila kedua-duanya lengkap maka tindakannya sahih dan menepati syarak tanpa sebarang keraguan dan kejahilan.
Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita ilmu dan amal serta dimakbulkan dan menjadikan kita di kalangan orang-orang yang bertaqwa. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Bertarikh: 29 Ogos 2023 bersamaan 12 Safar 1445 H