Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah ada dalil rukun syahadah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَاكُمْ

Maksudnya: “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).

(Surah Muhammad: 19)

Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ ، شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah bagi yang mampu.”

Riwayat al-Bukhari (8)

Menjawab persoalan di atas, sebahagian ulama menyebut, rukun syahadah mempunyai empat:

  • Mengisbatkan zat Allah
  • Mengisbatkan sifat Allah
  • Mengisbatkan af’al Allah
  • Mengisbatkan kebenaran Rasulullah SAW

Ini berdasarkan kepada istiqra’ (اسْتِقْرَاء) atau dapatan dan kajian oleh para ulama selepas mereka menekuni, makrifah akan nas-nas Ilahi dan nabawi, maka mereka mendapati bahawa apabila pengucapan syahadah berlaku, maka sudah pasti makna syahadah itu berlaku pengisbatan kepada zat, sifat dan af’al Allah SWT. Begitu juga, dengan membenarkan risalah Rasulullah SAW.

Ini juga termasuk dalam apa yang disebut oleh para ulama berkenaan dengan erti iman yang sebenar yang merangkumi:

  • Iqrar bil lisan (mengiyakan dengan lidah)
  • Tasdiqul bil qalb (membenarkan dengan hati)
  • Wal amali bi jawarih (beramal dengan segala anggota badan)

Saya tertarik dengan kalimah syahadah kerana ia memberi maksud penyaksian dan penyaksian itu dengan makna melihat, mengetahui, meyakini, mendapati, mengimani akan sesuatu itu. Seperti syahadah dengan Allah SWT dengan mengakui bahawa tidak ada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benar melainkan Allah SWT. Dia sahaja yang berhak disembah yang bersifat dengan keesaan, samadiyah, tidak beranak, tidak diperanakkan dan tidak menyerupai dengan sebarang sesuatu.Itulah maksud syahadah kepada Allah SWT dengan sebenar. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ‎﴿١﴾‏ اللَّهُ الصَّمَدُ ‎﴿٢﴾‏ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ‎﴿٣﴾‏ وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya.

(Surah al-Ikhlas: 1-4)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

(Surah Ali ‘Imran: 8)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H

Leave a Reply