Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya dengar ada yang kata burung gagak boleh dimakan dan ada yang kata burung gagak termasuk dalam jenis haiwan perosak. Sebenarnya, mana yang betul ini? Burung gagak halal dimakan atau tidak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan menjelaskan terlebih dahulu secara ringkas burung gagak. Gagak ialah nama sekumpulan burung besar berwarna hitam. Gagak tergolong dalam famili gagak yang termasuk jay, raven, murai, rook, jackdaw dan gagak ikan. Gagak tinggal di semua bahagian di dunia kecuali Antartika, New Zealand, dan Amerika Selatan. Terdapat kira-kira 100 spesies gagak, termasuk gagak rumah di Asia Selatan, gagak hutan di Asia Timur dan Asia Tenggara, dan gagak hitam di Afrika Selatan. Gagak bangkai dan gagak jambul di Asia dan Eropah berkaitan rapat. Gagak biasa di Amerika Utara ialah spesies yang berbeza, tetapi tabiatnya serupa. Gagak-gagak lain di Amerika Utara termasuk gagak ikan dan gagak Sinaloa. Di Australia terdapat gagak Australia dan gagak kecil. Gagak Amerika Utara dan gagak Australia mudah dikenal pasti melalui bunyinya yang berbeza bukan melalui rupanya.

 

 

 

 

 

 

Gagak bangkai dan gagak Amerika kira-kira 50 sentimeter panjangnya. Bulunya hitam berkilat dan paruhnya kuat dan runcing tajam. Bulu kejur meliputi pangkal paruh. Kakinya kuat dan sesuai untuk berjalan. Gagak jantan dan betina kelihatan hampir sama, tetapi gagak betina lebih kecil sedikit. Suara gagak tidak mempunyai alunan muzik, tetapi ia boleh mengeluarkan pelbagai bunyi menggauk. la boleh diajar bercakap beberapa perkataan. Gagak biasanya bersendirian atau berpasangan. Gagak membuat sarang besar di pokok, biasanya tinggi, atau di cenuram dekat laut. Gagak betina bertelur empat hingga enam biji. Telurnya berwarna hijau kebiruan pucat berbelak-belak dan berbintik-bintik perang dan kelabu.

Gagak memakan pelbagai jenis makanan, termasuk gandum, serangga, kerang-kerangan, telur dan anak burung lain, bangkai, dan sisa bangkai. Dietnya berbeza-beza mengikut masa dan jenis makanan yang tersedia ada. Peladang tidak suka gagak kerana ia memakan biji benih yang sedang bercambah. Tetapi gagak membantu peladang dengan memakan serangga perosak.

Dari segi pengelasan saintifik, gagak tergolong dalam famili gagak, Corvidae. Gagak rumah ialah Corvus splendens. Gagak hutan ialah C. macrorhynchos. Gagak hitam ialah C. capensis. Gagak bangkai ialah C. corone corone. Gagak jambul ialah C. corane cornix. Gagak biasa ialah C. brachyrhynchos. Gagak ikan ialah C. ossifragus. Gagak Sinaloa ialah C. sinaloae. Gagak Australia ialah C. orru. Gagak kecil ialah C. bennetti. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 7/295-296).

Dalam bahasa Arab, ia dipanggil sebagai Ghurab (الغُرَابُ). Menurut al-Damiri, ia ialah sejenis burung yang dikenali dan dinamakan sedemikian kerana kehitamannya. Nama julukannya pula ialah Abu Hatim, Abu Jahadib, Abu al-Jarrah, Abu Hazar, Abu Raidan, Abu Zajir, Abu Syu’m, Abu ‘Attab, Abu al-Qa‘qa‘ dan Abu al-Mirqal. Ia juga dipanggil sebagai Ibn al-Ardh, Ibn Barih dan Ibn Da’yah. Tambahan lagi, gagak juga mempunyai jenis-jenis seperti al-ghudaf (الغُدَافُ – raven), al-zagh (الزَّاغ), al-akhal (الْأَكْحَلُ), ghurab al-zar‘i (غُرَابُ الزَّرْعِ – western jackdaw) dan lain-lain. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 3/258-259).

Hukum memakan gagak

Berbalik kepada soalan yang diajukan, menurut al-Damiri, diharamkan untuk memakan burung gagak yang berbelang yang perosak. Manakala burung gagak berwarna hitam yang besar — yang biasanya terdapat di pergunungan — juga adalah haram  mengikut pendapat yang paling sahih (asah). Inilah pendapat yang diputuskan oleh sekelompok ulama. Seterusnya, ghurab al-zar‘i (غُرَابُ الزَّرْعِ – western jackdaw) pula adalah halal mengikut pendapat yang paling sahih (asah). Kemudian al-Damiri menyebutkan pula berkenaan hukum ghudaf[1] dan ‘aq‘aq.[2]

Ketika membahaskan berkenaan hukum ghudaf, al-Damiri menyatakan bahawa al-Sya‘bi mengharuskan untuk memakan burung gagak berwarna hitam yang besar yang memakan biji-bijian dan tanam-tanaman, maka ia menyerupai burung hajal (الحَجَلَ – partridge).

Kemudian bagi ‘aq‘aq pula, menurut al-Damiri, berkenaan keharusan memakannya, terdapat dua pendapat (dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i). Pendapat pertama, ia halal dimakan seperti hukum ghurab al-zar‘i (غُرَابُ الزَّرْعِ – western jackdaw). Pendapat kedua, ia haram dimakan. Inilah pendapat yang paling sahih (asah) dalam al-Raudhah, dengan mengikuti pendapat al-Baghawi dan al-Busyanji. Selain itu, Imam Ahmad pernah ditanya mengenainya dan beliau menjawab: “Jika ia tidak memakan bangkai, maka tidak mengapa memakannya.” Sebahagian ashabnya menyebutkan, “Sesungguhnya ia sememangnya memakan bangkai.” Maka, menurut pendapat ini, ia adalah diharamkan.

Adapun Imam Abu Hanifah berpendapat, gagak kesemuanya adalah halal. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 3/187; 3/257; 3/277).

Di samping itu, al-Sarakhsi juga ada menyebutkan, ghurab al-zar‘i (غُرَابُ الزَّرْعِ – western jackdaw) yang hanya memakan biji-bijian, maka ia adalah makanan baik-baik dan harus untuk memakannya. Ini kerana ia tidak dikira sebagai haiwan yang jijik dan kotor secara tabiatnya. Kadang-kadang manusia menjinakkannya seperti burung merpati. Ia dan burung ‘aq‘aq adalah sama, dan tidak mengapa memakan burung ‘aq‘aq. Adapun jika burung gagak itu kadang-kadang memakan bangkai dan kadang-kadang memakan biji-bijian, maka diriwayatkan daripada Abu Yusuf bahawa hukumnya adalah makruh. Ini kerana terhimpun padanya sebab yang menghalalkannya dan sebab yang mengharamkannya. (Lihat al-Mabsut, 11/226).

Diriwayatkan daripada Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya, daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

خَمْسٌ مِنَ الدَّوَابِّ، مَنْ قَتَلَهُنَّ وَهُوَ مُحْرِمٌ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِ: العَقْرَبُ، وَالفَأْرَةُ، وَالكَلْبُ العَقُورُ، وَالغُرَابُ، وَالحِدَأَةُ

Maksudnya: “Lima jenis binatang, sesiapa yang membunuhnya sedangkan dia dalam keadaan berihram maka tidak ada dosa baginya iaitu: Kala jengking, tikus, anjing ganas, gagak dan helang.

Riwayat al-Bukhari (3315) dan Muslim (1199)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, daripada Nabi SAW:

 الحَيَّةُ فاسِقةٌ، والعَقرَبُ فاسِقةٌ، والغُرابُ فاسِقٌ، والفَأْرةُ فاسِقةٌ

Maksudnya: “Ular ialah haiwan perosak, kala jengking ialah haiwan perosak, gagak ialah haiwan perosak dan tikus ialah haiwan perosak.”

Riwayat Ibn Majah (3249) dan Ahmad (25753); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai sahih dalam Takhrij al-Musnad (25753)

Kemudian dalam riwayat Ibn Majah (3249)[3] dinyatakan:

 فَقِيلَ لِلْقَاسِمِ: أَيُؤْكَلُ الْغُرَابُ قَالَ: مَنْ يَأْكُلُهُ؟ بَعْدَ قَوْلِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسِقًا

Maksudnya: “Ditanyakan kepada al-Qasim: ‘Adakah burung gagak boleh dimakan?’ Jawabnya: ‘Siapakah yang akan memakannya? Setelah sabda Rasulullah SAW bahawa ia tergolong dalam jenis haiwan perosak.’”

Imam al-Nawawi menyebutkan dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (9/22) bahawa para ashab kami (ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i) menyebutkan, apa-apa haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh, maka ia adalah haram untuk dimakan kerana Nabi SAW memerintahkan untuk membunuh lima binatang fawasiq (yang mendatangkan kerosakan)[4] dalam Tanah Haram dan ketika dalam keadaan berihram. Sekiranya ia adalah halal untuk dimakan, sudah tentu Baginda SAW tidak memerintahkan untuk membunuhnya. Apatah lagi terdapat firman Allah SWT:

لَا تَقْتُلُوا الصَّيْدَ وَأَنتُمْ حُرُمٌ

Maksudnya:Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram.”

(Surah al-Ma’idah: 95)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, para ulama bersepakat untuk mengeluarkan burung gagak kecil yang memakan biji-bijian daripada termasuk dalam jenis burung gagak perosak. Burung gagak jenis ini dipanggil sebagai ghurab al-zar‘i (غُرَابُ الزَّرْعِ) atau dipanggil juga sebagai al-zagh (الزَّاغُ). Mereka berfatwa bahawa memakan burung tersebut adalah diperbolehkan. Maka burung gagak yang berbaki yang tidak termasuk dalam kategori ini adalah yang berbelang (abqa‘). (Lihat Fath al-Bari, 4/38).

Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan, hujah mereka yang membuat pengecualian dengan mengharuskan sebahagian jenis-jenis burung gagak adalah bahawa hadith-hadith yang menyebutkan mengenainya, menggambarkan burung gagak itu dengan bulu berbelang (hitam putih). Lalu menjadikan burung gagak yang disebutkan ini disifatkan dengan sifat-sifat yang menunjukkan keburukannya. Apabila diperhatikan burung gagak dengan sifat ini kebiasaannya tidak makan melainkan bangkai. Oleh itu, hadith-hadith yang bersifat umum diterapkan padanya. Kemudian disandarkan pula dengan burung gagak berbelang itu apa yang menyerupainya seperti burung gagak besar (الْغُدَافُ الْكَبِيرُ). Seterusnya, mereka berbeza pendapat pada burung ‘aq‘aq berdasarkan perbezaan pandangan mereka sama ada burung ini kerap atau banyak memakan bangkai atau tidak kerap dan banyak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/137).

 Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa burung gagak adalah haram untuk dimakan kerana ia termasuk dalam jenis haiwan perosak seperti mana dalam nas di atas dan tidak mengapa membunuhnya. Tambahan lagi, burung gagak dikaitkan dengan memakan bangkai atau sisa bangkai, maka ia termasuk dalam haiwan yang dianggap jijik dan kotor. Firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “dan dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Menurut al-Maraghi perkataan “الْخَبَائِثَ” bermaksud diharamkan buat mereka daripada memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya seperti bangkai dan darah yang mengalir. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/82-83). Malah Fakhruddin al-Razi ada menyebutkan bahawa semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Oleh itu, setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan hukumnya yang berbeza. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).

Namun, di sana ada beberapa jenis burung gagak yang dikecualikan daripada termasuk dalam jenis burung gagak perosak seperti ghurab al-zar‘i (غُرَابُ الزَّرْعِ – western jackdaw) yang hanya memakan biji-bijian, maka ia adalah makanan baik-baik dan harus untuk memakannya serta tidak dikira sebagai haiwan yang jijik dan kotor secara tabiatnya.

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa burung gagak yang haram untuk dimakan ialah burung gagak perosak, yang kebanyakan makanannya adalah bangkai atau sisa bangkai seperti burung gagak berbelang (al-Abqa‘) dan seumpamanya. Manakala burung gagak yang kebanyakan makanannya hanyalah biji-bijian dan tanam-tanaman seperti ghurab al-zar‘i (غُرَابُ الزَّرْعِ – western jackdaw) dan seumpamanya adalah halal untuk dimakan kerana ia kembali kepada hukum asal haiwan itu sendiri. Ini adalah sebagaimana kaedah fiqh menyatakan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa dan munajat:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

[1] Menurut al-Damiri, ghudaf (الغُداف) ialah ghurab al-qaiz (غُرابُ القَيْظِ – rook). Kata jamaknya ialah ghidfan (غِدْفان). Ibn Faris menyatakan, ghudaf ialah burung gagak besar. Manakala al-‘Abdari dan selainnya daripada kalangan imam ashab kami menyatakan, ia ialah burung gagak kecil yang berwarna hitam, yang warnanya seperti warna abu-abu. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 3/257).

[2] Menurut al-Damiri, ‘aq‘aq (العَقْعَقُ) ialah seekor burung yang saiznya seperti merpati, rupanya seperti gagak, dengan sayap yang lebih besar daripada sayap merpati. Ia mempunyai dua warna, putih dan hitam, serta memiliki ekor yang panjang. Tambahan lagi, ia juga dipanggil sebagai al-qa‘qa‘ (القَعْقَعُ). Burung ini tidak berteduh di bawah atap atau mencari tempat teduh di bawahnya, melainkan lebih suka membuat sarangnya di tempat yang terang dan terpapar. Dari segi tabiatnya, ia cenderung kepada zina, khianat, mencuri, dan keji. Orang Arab menggunakan burung ini sebagai perumpamaan dalam pelbagai hal tersebut. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 3/186).

[3] Ia turut diriwayatkan oleh Imam Ahmad (25794) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19365). Syeikh al-Albani menilainya sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah (2647).

[4] Lima haiwan perosak itu ialah tikus, kala jengking, helang, gagak, dan anjing yang ganas.

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H

Leave a Reply