Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Maaf menganggu Datuk, saya ke sini kerana ingin meluah. Saya tak faham, kenapa sifat cinta itu ada, namun rasa duka yang dirasa? Saya tak mengerti. Perit yang dirasa. Minta maaf Datuk, mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

(Surah al-Rum: 21)

Syed Qutub berkata, “Penjelasan al-Quran yang lemah-lembut menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan ini dengan gambaran yang amat menarik. Seolah-olah gambaran ini diambil dalam lubuk hati dan perasaan supaya kamu tenang tenteram bersamanya. Dan Dia jadikan di antara rasa kemesraan, cinta dan kasih sayang.”

Kami katakan bahawa para ulama telah membincangkan isu cinta sejak manusia bermula di muka bumi. Ramai orang cuba mentakrifkan cinta tetapi kami tertarik dengan pandangan Ibn al-Qayyim yang berkata, “Cinta itu mempunyai dua perkara. Pertamanya, dia mahu orang yang dia cinta mendapat segala kehendaknya dan keduanya dia mahu segala musibah, bala dan keburukan dihindarkan daripada orang yang dia cintainya.” Kalau ini berlaku, maka itulah hakikat sebenar cinta.

Persoalannya adalah dunia ini merupakan tempat ujian atau disebut dar ibtila’. Firman Allah SWT:

‏ الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ

Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.

(Surah al-Mulk: 2)

Sebelum kami melebarkan lagi jawapan ini, kami kemukakan kata-kata berkenaan dengan cinta:

  • “Kesempurnaan cinta adalah ketidaksempurnaan.” Taylor Swift
  • “Hidup tanpa cinta seperti pohon tanpa bunga atau buah.” Khalil Gibran
  • “Cinta adalah yang paling kuat, kerana cinta serentak menyerang kepala, hati, dan indera.” Lao Tzu
  • “Mereka mengatakan seseorang hanya perlu tiga hal untuk benar-benar bahagia di dunia ini: seseorang untuk dicintai, sesuatu untuk dilakukan, dan sesuatu untuk diharapkan.” Tom Bodett
  • “Cinta terdiri dari satu jiwa yang menghuni dua tubuh.” Aristotle

Berdasarkan gambaran di atas dan jika diadun dengan neraca syarak, cinta hendaklah mempunyai peraturan atau syaratnya, jika tidak ia akan menjadi cinta yang songsang dan akan mendatangkan kesakitan pada jiwanya. Sebagai contoh, cinta kepada isteri orang.

Bahkan kadang-kadang cinta yang tidak sekufu juga boleh membawa kepada merana dan dukacita. Banyak kisah menunjukkan perjalanan cinta yang indah tetapi tidak kurang banyaknya diakhiri dengan dukacita yang amat, bahkan menjadi sengsara yang boleh menyebabkan kemurungan, depresi hatta membawa kepada gila.

Sifat manusia yang cintakan kepada pasangan masing-masing merupakan fitrah Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ

Maksudnya: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

(Surah Ali-‘Imran: 14)

Tidak pelik sebagai mana saudara nyatakan bahawa sifat cinta itu ada namun rasa duka yang dirasa terjadi kepada ramai orang. Untuk itu, kami noktahkan beberapa perkara untuk meraih kebahagiaan dan cinta sejati:

  • Bertaqwa dan beriman serta beramal soleh dengan sebaik-baiknya kerana dengannyalah Allah SWT akan campakkan rasa cinta yang sejati. Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَيَجْعَلُ لَهُمُ الرَّحْمَٰنُ وُدًّا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.

(Surah Maryam: 96)

  • Belajarlah, lebih-lebih lagi kefahaman tentang agama Islam. Ini kerana sebarang tindakan kita akan dipandu oleh ilmu yang kita miliki sama ada dengan makrifah atau kematangan yang akan membentuk keperibadian kita. Justeru, ketika itu apabila kita cinta kepada seseorang tiba-tiba tidak berlaku maka dia tetap redha dengan takdir Ilahi. Dia mampu untuk move on dan membina hidup dengan fikiran yang positif. Inilah peri pentingnya ilmu.
  • Memahami konsep qadha dan qadar dengan sebaik-baiknya adalah ubat yang paling mujarab apabila berlaku sesuatu sama ada cinta atau dukacita. Keyakinan dan keimanan seperti ini akan menatijahkan seseorang itu mempunyai prinsip yang kukuh dan ampuh.
  • Doa merupakan senjata yang paling ampuh bahkan dengannya akan terhasil yang terbaik dalam kehidupan kita. Yakin dan percaya bahawa dengan doa Allah SWT akan memberi yang terbaik kepada kita.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الدُّعَاءَ يَنْفَعُ مِمَّا نَزَلَ وَمِمَّا لَمْ يَنْزِلْ ، فَعَلَيْكُمْ عِبَادَ اللهِ بِالدُّعَاءِ

Maksudnya: “Sesungguhnya doa itu bermanfaat terhadap apa yang telah diturunkan dan apa yang belum diturunkan. Oleh itu, hendaklah kamu berdoa wahai hamba Allah.”

Riwayat al-Tirmizi (3548)

Dalam menghadapi musibah, doa dan permohonan kepada Allah SWT mampu menolong seseorang untuk menghadapinya. Ibn Qayyim dalam al-Jawab al-Kafi menyebut bahawa doa merupakan ubat yang paling bermanfaat. Ia merupakan musuh bagi musibah. Ia dapat mengubati dan mengatasinya, mencegah turunnya musibah atau mengangkatnya atau meringankannya. Ia merupakan senjata orang beriman.

Doa dalam menghadapi musibah terbahagi kepada tiga tingkatan:

  • Doa lebih kuat dari musibah, maka ia dapat mengusirnya.
  • Doa lebih lemah dari musibah, maka musibah dapat mengalahkannya sehinggalah seseorang ditimpa musibah. Akan tetapi boleh jadi doa dapat meringankannya walaupun doanya lemah.
  • Keduanya saling berlawanan antara satu sama lain, saling mencegah terjadinya pada orang tersebut. (Lihat al-Jawab al Kafi, 4)

Justeru, marilah kita sama-sama mengamalkan doa memohon kepada Allah SWT dalam apa jua urusan dalam kehidupan kita.

Itulah serba ringkas berkenaan dengan doa di samping memenuhi syarat serta adabnya ketika kita bermunajat untuk berdoa. Semoga Allah SWT makbulkan doa kita semua.

Sekadar itu yang dapat kami kemukakan di sini, semoga ia memberi kebahagiaan kepada kita semua dan menggantikan daripada dukacita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H

Leave a Reply