Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Semoga Allah memberi kesihatan yang baik sentiasa. Saya ingin bertanya iblis dan syaitan kerjanya menghasut anak Adam supaya lalai dari perintah Allah, adakah para malaikat juga digoda oleh syaitan supaya mereka tidak melakukan suruhan Allah? Terima kasih .
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ وَمَن يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ ۚ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ مَا زَكَىٰ مِنكُم مِّنْ أَحَدٍ أَبَدًا وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يُزَكِّي مَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Nur: 21)
Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Setelah melarang dosa ini secara khusus, Allah juga melarang (kalian) dari dosa secara umum. Langkah-langkah syaitan ini merangkumi seluruh perbuatan maksiat yang berhubungan dengan hati, lisan, dan badan.
Diantara hikmah Allah, dalam menerangkan hukum ini ialah larangan untuk mengikuti langkah-langkah syaitan dan penjelasan mengenai perkara-perkara yang dilarang daripada perbuatan-perbuatan yang buruk lagi keji. Yang dimaksudkan dengan perbuatan keji itu adalah segala perbuatan yang dianggap keji oleh akal dan syariat seperti dosa-dosa besar disertai adanya kecondongan hati kepadanya. Manakala perkara-perkara yang mungkar pula ialah segala yang diingkari oleh akal dan tidak diterima sebagai perbuatan yang baik.
Oleh yang demikian, perbuatan-perbuatan maksiat yang juga merupakan langkah-langkah syaitan,ia tidak terkeluar dari lingkungan perkara-perkara yang mungkar. Maka Allah melarang hambaNya dari hal tersebut sebagai mensyukuri nikmat dan mengingatNya. Kerana yang demikian merupakan penjaga bagi mereka dari noda, kenistaan, dan perbuatan-perbuatan yang keji.
Termasuk dari ihsan Allah SWT ke atas mereka, adalah melarang mereka dari semua perkara-perkara yang keji sebagaimana Allah melarang mereka dari makan racun-racun pembunuh dan seumpamanya.(Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.563 )
Menjawab kepada persoalan di atas, malaikat adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT daripada cahaya. Mereka mentaati segala perintah Allah SWT dan tidak pernah melanggarnya. Ini sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh Allah SWT dalam firmannya:
لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Maksudnya: “Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
(Surah al-Tahrim: 6)
Dalam isu ini kami berpandangan bahawa para malaikat tidak boleh dihasut dan digoda oleh syaitan. Ini kerana para malaikat diangkat daripada mereka syahwat dan mereka tidak melakukan sesuatu melainkan dengan perintah daripada Allah SWT. Selain itu mereka juga tidak ditaklifkan sesuatu perbuatan sepertimana ditaklifkan kepada manusia dan jin.
Firman Allah SWT:
يَخَافُونَ رَبَّهُم مِّن فَوْقِهِمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Maksudnya: “Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaanNya), serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan.”
(Surah al-Nahl: 50)
Dr Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Para malaikat takut kepada Tuhan mereka yang memiliki kekuasaan dan ketinggian atas mereka. Mereka mentaati Allah atas segala yang diperintahkan kepada mereka. (Lihat al-Wajiz,hlm.273)
Begitu juga dengan firman Allah SWT:
لَا يَسْبِقُونَهُ بالقول وَهُمْ بِأَمْرِهِ يَعْمَلُونَ
Maksudnya: Mereka tidak mendahuluiNya dengan perkataan dan mereka pula mengerjakan apa yang diperintahkan-Nya.
(Surah al-Anbiya: 27)
Diriwayatkan daripada Bisyr Bin Syaghaf daripada Abdullah Bin Salam secara mauquf bahawa beliau berkata:
إِنَّمَا الْمَلائِكَةُ خَلْقٌ كَخَلْقِ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ ، وَالرِّيَاحِ ، وَالسَّحَابِ ، وَسَائِرِ الْخَلْقِ الَّذِي لاَ يَعْصِي اللَّهَ شَيْئًا
Maksudnya: “Sesungguhnya malaikat itu adalah ciptaan seperti ciptaan langit, bumi, angin, awan dan setiap ciptaan yang tidak bermaksiat kepada Allah.”
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/612)
Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa para malaikat tidak digoda oleh syaitan untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT, mereka adalah makhluk yang diciptakan tanpa syahwat dan hanya melakukan sesuatu perbuatan yang diperintahkan oleh Allah SWT. Selain itu mereka juga tidak mempunyai pilihan dan keinginan seperti manusia dan jin.
Syaikh Islam ibn Taimiyyah menukilkan bahawa: Diciptakan untuk para malaikat akal tanpa nafsu, diciptakan binatang nafsu tanpa akal, dan diciptakan manusia akal dan nafsu. Maka barangsiapa yang akalnya menguasai nafsunya, maka dia lebih baik daripada malaikat dan barangsiapa yang nafsunya menguasai akalnya, maka binatang-binatang lebih baik daripadanya. (Lihat Majmu’ al-Fatawa,15/428-429)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam beragama dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H