Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Allah SWT gantikan harta kita akibat kita sedekah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
Maksudnya: “dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.”
(Surah Saba’: 39)
Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan, setiap apa yang diinfakkan sama ada nafkah wajib atau sunat, kepada saudara, jiran, orang miskin, anak yatim atau selainnya, maka Allah akan menggantikannya. Oleh itu, janganlah kamu menganggap bahawasanya infak itu akan mengurangkan rezeki. Bahkan sebaliknya Allah SWT berjanji untuk menggantikannya buat orang yang memberi infak. Dialah yang meluaskan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan juga mampu untuk menyempitkannya. Demikianlah juga Dia sebaik-baik Pemberi rezeki. Justeru, mintalah rezeki daripada-Nya dan berusahalah dengan melakukan sebab-sebab dan jalan-jalan yang diperintahkan-Nya kepadamu — bagi memperolehinya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 581)
Dr Khalid al-Jubair berkata: Aku pernah dihantar oleh al-Amir Sultan ke Morocco untuk memberi rawatan kepada pesakit-pesakit di sana. Bilamana aku sampai, aku dapati tempat rawatan tidak sempurna dan banyak kekurangan.
Aku mengkhabarkan hal tersebut kepada al-Amir Sultan dan beliau menyuruhku supaya berikhtiar mencari jalan penyelesaian. Antara yang aku rawat itu, ada seorang penduduk Maghribi yang memberitahu kepadaku, terdapat seorang ahli korporat yang kaya di Morocco, yang amat pemurah.
Lantas, aku pun pergi ke rumahnya dan bercakap dengannya. Serta merta beliau memanggil keraninya dan mengarahkan supaya menyelesaikan semua kehendak dan keperluan yang diperlukan bermula sewa bangunan sehingga kepada kos rawatan.
Perkara yang tidak boleh aku lupakan adalah beliau berkata kepadaku, “Tolong ceritakan kepada sesiapa sahaja, bahawa tidaklah aku keluarkan untuk sedekahkan sejumlah wang kecuali Allah akan menggandakan kepadaku. Sebagai contoh, jika aku sedekah pada hari ini 1 Juta, maka pada akhir minggu, aku akan memiliki 3 Juta. Ceritalah. Hal ini bukan berlaku sekali kepadaku, bahkan boleh dikatakan, itulah yang sering berlaku. Aku tidak menganggap diriku kecuali pemegang harta yang Allah amanahkan.
Aku mempunyai empat orang anak. Setiap orang, aku beri kepada mereka sebuah syarikat atau kilang, dan mereka mendapat keuntungan yang banyak. Adapun wakaf yang aku lakukan, pernah aku wakafkan bangunan untuk pesakit dialisis di mana rawatan mencuci buah pinggang perlu dilakukan setiap dua hari sekali. Kemudian aku juga mewakafkan 20 hospital yang lain untuk dijadikan sebagai pusat rawatan. Begitulah yang aku lakukan. Dan semua itu adalah rezeki yang Allah kurniakan kepadaku.”
Inilah kisah yang ajaib, yang membenarkan sabda Rasulullah SAW:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ
Maksudnya: “Sedekah tidak akan mengurangkan harta.”
Riwayat Muslim (2588)
(Lihat Keajaiban Sedekah, hlm. 110-112)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”
Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445