Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah malaikat akan doa kepada kita apabila kita bersedekah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.”

(Surah al-Baqarah: 274)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Allah SWT menjelaskan tentang pahala orang-orang yang berinfaq dan pahala berinfaq dalam setiap keadaan dan waktu. Barangsiapa yang bersedekah – baik pada waktu malam atau siang hari, dengan cara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan, dalam keadaan dirinya sendiri memerlukan atau tidak – maka baginya pahala yang sempurna di sisi Tuhan. Tidak ada ketakutan baginya di akhirat dan tidak pula dia merasa khuatir dan bersedih. Maksudnya tidak ada ketakutan baginya ketika menghadapi kedahsyatan hari Kiamat dan tidak pula dia bersedih dan khuatir terhadap keadaan anak-anaknya setelah dia meninggal dunia. Dia juga tidak merasa sedih dan menyesali atas apa yang dia tidak mampu raih dari kehidupan dunia dan keindahannya. Ini kerana dia telah menjumpai apa yang jauh lebih baik daripada itu semua. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/105)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan antara hadith yang menyebut berkenaan doa malaikat kepada orang yang pemurah dan suka bersedekah. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيْهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُوْلُ أَحَدُهُمَا: اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا. وَيَقُوْلُ اْلآخَرُ: اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: “Tiada satu hari pun di mana seorang hamba berpagian, melainkan dua Malaikat turun kepadanya. Salah satu dari keduanya berkata: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian.” Manakala Malaikat satu lagi berkata: “Ya Allah! Jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan.”

Riwayat al-Bukhari (1442) dan Muslim (1010)

Imam Badruddin al-‘Aini menjelaskan bahawa padanya terdapat doa malaikat, sedangkan doa malaikat adalah sebuah doa yang akan selalu dimakbulkan berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang ucapan aminnya itu bertepatan dengan ucapan para malaikat, maka diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Lihat Umdah al-Qari, 8/307)

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa Ibn al-Manayyar berkata: Imam al-Bukhari menyebutkan bab ini di antara bab-bab tentang anjuran bersedekah. Hal itu dimaksudkan sebagai motivasi untuk bersedekah dalam kebaikan. Perbuatan ini dijanjikan akan diberi ganti ketika di dunia sebagai tambahan atas pahala yang akan diterima di akhirat kelak.

Al-Hafiz Ibn Hajar kemudian berkata: Adapun ‘pengganti’ di sini lebih tepat jika tidak disebutkan secara khusus, agar mencakupi harta, pahala dan selainnya. Betapa banyak orang yang bersedekah, lalu meninggal dunia sebelum sedekahnya itu diganti secara material (kekayaan kebendaan), maka sebagai gantinya adalah pahala di akhirat, atau dia dihindarkan dari keburukan yang setara dengannya.

Al-Nawawi berkata: Sedekah yang terpuji adalah sedekah dalam hal-hal ketaatan untuk orang-orang yang ada dalam tanggungan, tetamu dan perkara-perkara yang bersifat sukarela.” Sementara al-Qurtubi berkata, Ini mencakupi hal-hal yang wajib dan sunat. Namun orang yang tidak bersedekah dalam perkara-perkara sunat tidak berhak mendapat ancaman tersebut, kecuali jika dirinya didominasi oleh sifat kedekut dan bakhil.” (Lihat Fath al-Bari, 3/305)

Perkara ini dibuktikan dengan nas-nas yang thabit dan pengalaman yang dilalui. Antara nas yang menunjukkan bahawa sedekah membawa kepada rezeki termasuklah firman Allah SWT:

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya:dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.

(Surah Saba’: 39)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan, setiap apa yang diinfakkan sama ada nafkah wajib atau sunat, kepada saudara, jiran, orang miskin, anak yatim atau selainnya, maka Allah akan menggantikannya. Oleh itu, janganlah kamu menganggap bahawasanya infak itu akan mengurangkan rezeki. Bahkan sebaliknya Allah SWT berjanji untuk menggantikannya buat orang yang memberi infak. Dialah yang meluaskan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan juga mampu untuk menyempitkannya. Demikianlah juga Dia sebaik-baik Pemberi rezeki. Justeru, mintalah rezeki daripada-Nya dan berusahalah dengan melakukan sebab-sebab dan jalan-jalan yang diperintahkan-Nya kepadamu — bagi memperolehinya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 581)(Lihat Keajaiban Sedekah, hlm. 35-37)

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445

Leave a Reply