Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada terdengar kisah budak yang ebriman kemudian cuba dibunuh kerana tidak mengikut tukang sihir oleh raja yang zalim. Apa iktibarnya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Berkenaan dengan persoalan saudara, kisah ini sabit dalam hadith Rasulullah SAW:
Daripada Suhaib R.A, bahawa Rasulullah SAW menceritakan:
كَانَ مَلِكٌ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ وَكَانَ لَهُ سَاحِرٌ فَلَمَّا كَبِرَ قَالَ لِلْمَلِكِ إِنِّي قَدْ كَبِرْتُ فَابْعَثْ إِلَىَّ غُلاَمًا أُعَلِّمْهُ السِّحْرَ . فَبَعَثَ إِلَيْهِ غُلاَمًا يُعَلِّمُهُ فَكَانَ فِي طَرِيقِهِ إِذَا سَلَكَ رَاهِبٌ فَقَعَدَ إِلَيْهِ وَسَمِعَ كَلاَمَهُ فَأَعْجَبَهُ فَكَانَ إِذَا أَتَى السَّاحِرَ مَرَّ بِالرَّاهِبِ وَقَعَدَ إِلَيْهِ فَإِذَا أَتَى السَّاحِرَ ضَرَبَهُ فَشَكَا ذَلِكَ إِلَى الرَّاهِبِ فَقَالَ إِذَا خَشِيتَ السَّاحِرَ فَقُلْ حَبَسَنِي أَهْلِي . وَإِذَا خَشِيتَ أَهْلَكَ فَقُلْ حَبَسَنِي السَّاحِرُ . فَبَيْنَمَا هُوَ كَذَلِكَ إِذْ أَتَى عَلَى دَابَّةٍ عَظِيمَةٍ قَدْ حَبَسَتِ النَّاسَ فَقَالَ الْيَوْمَ أَعْلَمُ آلسَّاحِرُ أَفْضَلُ أَمِ الرَّاهِبُ أَفْضَلُ فَأَخَذَ حَجَرًا فَقَالَ اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ أَمْرُ الرَّاهِبِ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ أَمْرِ السَّاحِرِ فَاقْتُلْ هَذِهِ الدَّابَّةَ حَتَّى يَمْضِيَ النَّاسُ . فَرَمَاهَا فَقَتَلَهَا وَمَضَى النَّاسُ فَأَتَى الرَّاهِبَ فَأَخْبَرَهُ فَقَالَ لَهُ الرَّاهِبُ أَىْ بُنَىَّ أَنْتَ الْيَوْمَ أَفْضَلُ مِنِّي . قَدْ بَلَغَ مِنْ أَمْرِكَ مَا أَرَى وَإِنَّكَ سَتُبْتَلَى فَإِنِ ابْتُلِيتَ فَلاَ تَدُلَّ عَلَىَّ . وَكَانَ الْغُلاَمُ يُبْرِئُ الأَكْمَهَ وَالأَبْرَصَ وَيُدَاوِي النَّاسَ مِنْ سَائِرِ الأَدْوَاءِ فَسَمِعَ جَلِيسٌ لِلْمَلِكِ كَانَ قَدْ عَمِيَ فَأَتَاهُ بِهَدَايَا كَثِيرَةٍ فَقَالَ مَا هَا هُنَا لَكَ أَجْمَعُ إِنْ أَنْتَ شَفَيْتَنِي فَقَالَ إِنِّي لاَ أَشْفِي أَحَدًا إِنَّمَا يَشْفِي اللَّهُ فَإِنْ أَنْتَ آمَنْتَ بِاللَّهِ دَعَوْتُ اللَّهَ فَشَفَاكَ . فَآمَنَ بِاللَّهِ فَشَفَاهُ اللَّهُ فَأَتَى الْمَلِكَ فَجَلَسَ إِلَيْهِ كَمَا كَانَ يَجْلِسُ فَقَالَ لَهُ الْمَلِكُ مَنْ رَدَّ عَلَيْكَ بَصَرَكَ قَالَ رَبِّي . قَالَ وَلَكَ رَبٌّ غَيْرِي قَالَ رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ . فَأَخَذَهُ فَلَمْ يَزَلْ يُعَذِّبُهُ حَتَّى دَلَّ عَلَى الْغُلاَمِ فَجِيءَ بِالْغُلاَمِ فَقَالَ لَهُ الْمَلِكُ أَىْ بُنَىَّ قَدْ بَلَغَ مِنْ سِحْرِكَ مَا تُبْرِئُ الأَكْمَهَ وَالأَبْرَصَ وَتَفْعَلُ وَتَفْعَلُ . فَقَالَ إِنِّي لاَ أَشْفِي أَحَدًا إِنَّمَا يَشْفِي اللَّهُ . فَأَخَذَهُ فَلَمْ يَزَلْ يُعَذِّبُهُ حَتَّى دَلَّ عَلَى الرَّاهِبِ فَجِيءَ بِالرَّاهِبِ فَقِيلَ لَهُ ارْجِعْ عَنْ دِينِكَ . فَأَبَى فَدَعَا بِالْمِئْشَارِ فَوَضَعَ الْمِئْشَارَ فِي مَفْرِقِ رَأْسِهِ فَشَقَّهُ حَتَّى وَقَعَ شِقَّاهُ ثُمَّ جِيءَ بِجَلِيسِ الْمَلِكِ فَقِيلَ لَهُ ارْجِعْ عَنْ دِينِكَ . فَأَبَى فَوَضَعَ الْمِئْشَارَ فِي مَفْرِقِ رَأْسِهِ فَشَقَّهُ بِهِ حَتَّى وَقَعَ شِقَّاهُ ثُمَّ جِيءَ بِالْغُلاَمِ فَقِيلَ لَهُ ارْجِعْ عَنْ دِينِكَ . فَأَبَى فَدَفَعَهُ إِلَى نَفَرٍ مِنْ أَصْحَابِهِ فَقَالَ اذْهَبُوا بِهِ إِلَى جَبَلِ كَذَا وَكَذَا فَاصْعَدُوا بِهِ الْجَبَلَ فَإِذَا بَلَغْتُمْ ذُرْوَتَهُ فَإِنْ رَجَعَ عَنْ دِينِهِ وَإِلاَّ فَاطْرَحُوهُ فَذَهَبُوا بِهِ فَصَعِدُوا بِهِ الْجَبَلَ فَقَالَ اللَّهُمَّ اكْفِنِيهِمْ بِمَا شِئْتَ . فَرَجَفَ بِهِمُ الْجَبَلُ فَسَقَطُوا وَجَاءَ يَمْشِي إِلَى الْمَلِكِ فَقَالَ لَهُ الْمَلِكُ مَا فَعَلَ أَصْحَابُكَ قَالَ كَفَانِيهِمُ اللَّهُ . فَدَفَعَهُ إِلَى نَفَرٍ مِنْ أَصْحَابِهِ فَقَالَ اذْهَبُوا بِهِ فَاحْمِلُوهُ فِي قُرْقُورٍ فَتَوَسَّطُوا بِهِ الْبَحْرَ فَإِنْ رَجَعَ عَنْ دِينِهِ وَإِلاَّ فَاقْذِفُوهُ . فَذَهَبُوا بِهِ فَقَالَ اللَّهُمَّ اكْفِنِيهِمْ بِمَا شِئْتَ . فَانْكَفَأَتْ بِهِمُ السَّفِينَةُ فَغَرِقُوا وَجَاءَ يَمْشِي إِلَى الْمَلِكِ فَقَالَ لَهُ الْمَلِكُ مَا فَعَلَ أَصْحَابُكَ قَالَ كَفَانِيهِمُ اللَّهُ . فَقَالَ لِلْمَلِكِ إِنَّكَ لَسْتَ بِقَاتِلِي حَتَّى تَفْعَلَ مَا آمُرُكَ بِهِ . قَالَ وَمَا هُوَ قَالَ تَجْمَعُ النَّاسَ فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ وَتَصْلُبُنِي عَلَى جِذْعٍ ثُمَّ خُذْ سَهْمًا مِنْ كِنَانَتِي ثُمَّ ضَعِ السَّهْمَ فِي كَبِدِ الْقَوْسِ ثُمَّ قُلْ بِاسْمِ اللَّهِ رَبِّ الْغُلاَمِ . ثُمَّ ارْمِنِي فَإِنَّكَ إِذَا فَعَلْتَ ذَلِكَ قَتَلْتَنِي . فَجَمَعَ النَّاسَ فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ وَصَلَبَهُ عَلَى جِذْعٍ ثُمَّ أَخَذَ سَهْمًا مِنْ كِنَانَتِهِ ثُمَّ وَضَعَ السَّهْمَ فِي كَبِدِ الْقَوْسِ ثُمَّ قَالَ بِاسْمِ اللَّهِ رَبِّ الْغُلاَمِ . ثُمَّ رَمَاهُ فَوَقَعَ السَّهْمُ فِي صُدْغِهِ فَوَضَعَ يَدَهُ فِي صُدْغِهِ فِي مَوْضِعِ السَّهْمِ فَمَاتَ فَقَالَ النَّاسُ آمَنَّا بِرَبِّ الْغُلاَمِ آمَنَّا بِرَبِّ الْغُلاَمِ آمَنَّا بِرَبِّ الْغُلاَمِ . فَأُتِيَ الْمَلِكُ فَقِيلَ لَهُ أَرَأَيْتَ مَا كُنْتَ تَحْذَرُ قَدْ وَاللَّهِ نَزَلَ بِكَ حَذَرُكَ قَدْ آمَنَ النَّاسُ . فَأَمَرَ بِالأُخْدُودِ فِي أَفْوَاهِ السِّكَكِ فَخُدَّتْ وَأَضْرَمَ النِّيرَانَ وَقَالَ مَنْ لَمْ يَرْجِعْ عَنْ دِينِهِ فَأَحْمُوهُ فِيهَا . أَوْ قِيلَ لَهُ اقْتَحِمْ . فَفَعَلُوا حَتَّى
جَاءَتِ امْرَأَةٌ وَمَعَهَا صَبِيٌّ لَهَا فَتَقَاعَسَتْ أَنْ تَقَعَ فِيهَا فَقَالَ لَهَا الْغُلاَمُ يَا أُمَّهِ اصْبِرِي فَإِنَّكِ عَلَى الْحَقِّ ”
Maksudnya: “Pada zaman dahulu ada seorang raja mempunyai seorang tukang sihir. Ketika usia tukang sihir itu bertambah lanjut, dia berkata kepada raja: “Aku sudah tua. Kerana itu kirimlah kepadaku seorang kanak-kanak supaya ku ajari dia ilmu sihir.”
Maka dikirimlah kepadanya oleh raja seorang kanak-kanak untuk belajar ilmu sihir. Di jalan yang dilalui kanak-kanak itu setiap hari untuk belajar ilmu sihir tinggal seorang pendeta. Kanak-kanak itu selalu singgah ke tempat pendeta itu untuk mendengar ajaran-ajaran yang disampaikan. Ternyata ajaran pendeta itu sangat dikagumi si kanak-kanak.
Apabila dia sampai lambat ke tempat tukang sihir, lalu dia dipukul si tukang sihir. Hal itu diadukannya kepada pendeta.
“Jika engkau takut dimarahi tukang sihir, katakan kepadanya bahawa engkau terlambat kerana halangan keluarga. Dan jika engkau takut dimarahi keluargamu katakan bahawa engkau terlambat pulang kerana tukang sihir,” kata pendeta itu.
Keadaan berjalan seperti yang dirancang, pada suatu hari muncul seekor binatang besar menghambat orang ramai yang lalu lintas di jalanan. Kata si kanak-kanak:
“Hari ini aku harus tahu, mana yang lebih ampuh ilmu tukang sihir dengan ilmu pendeta?” Maka diambilnya batu lalu dia berdoa, “Wahai Allah, jika ilmu pendeta lebih Engkau sukai daripada ilmu tukang sihir maka bunuhlah binatang itu supaya orang ramai dapat melalui jalan itu dengan selamat.”
Lalu dilempar binatang itu dan mati serta-merta sehingga orang ramai boleh melalui jalan dengan selamat.
Si kanak-kanak datang kepada pendeta lalu menceritakan peristiwa yang baru dialaminya. Kata pendeta: “Hai anakku! Mulai hari ini ternyata engkau lebih unggul daripadaku. Engkau telah mencapai sasaran yang ku duga. Tetapi engkau akan mendapat ujian. Jika engkau diuji janganlah engkau mengatakan bahawa aku gurumu.”
Si kanak-kanak juga sudah pandai mengubati orang bisu, penyakit kusta dan pelbagai penyakit lain.
Hal itu sampai ke telinga menteri raja yang buta matanya. Maka didatanginya kanak-kanak itu dengan pelbagai hadiah. Katanya,
“Jika engkau dapat menyembuhkan daripada kebutaan maka hadiah-hadiah ini ku berikan kepadamu.”
Jawab kanak-kanak, “Aku tidak dapat menyembuhkan seseorang, yang menyembuhkan sesungguhnya hanya Allah. Jika anda mahu beriman kepada Allah aku akan berdoa semoga Dia berkenan menyembuhkan anda.”
Maka berimanlah sang menteri kepada Allah, lalu Allah menyembuhkannya.
Kemudian menteri raja menghadiri majlis raja sebagaimana biasa. Raja bertanya: “Siapa yang mengembalikan penglihatanmu?” Jawab menteri: “Tuhanku!”
Titah Raja, “Engkau punya Tuhan selain aku?” Menteri menjawab: “Tuhanku dan Tuhan anda ialah Allah.” Maka diseksanya menteri itu sehingga dia terpaksa menunjukkan kanak-kanak yang mengubatinya.
Kanak-kanak itu dipanggil untuk menghadap raja. Titah raja: “Wahai anakku! Sungguh hebat ilmu sihirmu. Engkau dapat menyembuhkan orang buta, pesakit kusta dan engkau telah berjasa begini dan begitu.”
Jawab kanak-kanak itu: “Aku tidak dapat menyembuhkan sesiapa pun. Sesungguhnya yang menyembuhkan hanya Allah semata-mata.”
Maka diseksa kanak-kanak itu sehingga dia terpaksa menunjukkan pendeta yang mengajarnya. Maka pendeta itu pun dihadapkan kepada raja.
Titah raja, “Keluarlah daripada agamamu.”
Pendeta itu menolak. Raja memerintahkan supaya mengambil gergaji dan diletakkan di tengah-tengah kepala pendeta itu. Lalu dibelah kepalanya sehingga kedua belahannya jatuh.
Kemudian dihadapkan pula menteri raja. Maka diperintahkan kepadanya: “Keluarlah kamu daripada agamamu.”
Menteri raja menolak. Maka diletakkan gergaji di tengah-tengah kepalanya lalu dibelah sehingga kepalanya jatuh. Kemudian dihadapkan si kanak-kanak. Maka diperintahkan pula kepadanya: “Keluarlah kamu daripada agamamu.”
Tetapi si kanak-kanak menolak. Lalu diserahkan kepada para pengawal raja.
Titah raja, “Bawa dia ke puncak gunung. Sampai di sana, jika dia mahu keluar daripada agamanya jangan diapa-apakan. Tetapi jika dia menolak, lemparkan ke jurang yang dalam.”
Maka berangkatlah mereka membawa si kanak-kanak ke puncak gunung. Sementara itu si kanak-kanak berdoa: “Wahai Allah! selamatkanlah aku daripada kejahatan mereka dengan cara apa saja yang Engkau kehendaki.”
Maka bergoncanglah gunung sehingga para pengawal raja jatuh ke gaung.
Dan, si kanak-kanak pulang kembali ke istana raja dengan berjalan kaki. Raja bertanya: “Mana para pengawal, apa yang terjadi dengan mereka?” Jawab kanak-kanak, “Allah menyelamatkanku daripada kejahatan mereka.”
Maka diserahkannya si kanak-kanak kepada para pengawal yang lain dengan titahnya: “Bawa dia dengan perahu ke tengah lautan. Jika dia mahu keluar daripada agamanya, biarkan dia. Tapi jika dia menolak, lemparkan dia ke laut.”
Maka berangkatlah mereka membawa si kanak-kanak. Si kanak-kanak berdoa: “Wahai Allah! selamatkan aku daripada kejahatan mereka dengan cara bagaimanapun Engkau kehendaki.”
Maka terbaliklah perahu mereka sehingga pengawal tenggelam semuanya.
Si kanak-kanak kembali ke istana raja dengan berjalan kaki. Tanya Raja: “Ke mana para pengawal? Apa yang telah terjadi?”
Jawab kanak-kanak, “Allah melindungiku daripada kejahatan mereka.”
Kanak-kanak itu menambah, “Anda tidak akan dapat membunuhku sebelum anda lakukan perintahku.”
Tanya raja, “Apa itu?”
Jawab kanak-kanak, “Kumpulkan seluruh rakyat di kawasan lapang. Lalu salib aku pada sebatang pokok. Kemudian ambil anak panah daripada tempat panahku dan letakkan di busurnya dengan membaca; Bismillahi rabbil ghulam (بِسْمِ اللهِ رَبِّ الْغُلَامِ) (dengan nama Allah, Tuhan kanak-kanak ini). Sesudah itu panahlah aku. Bila anda lakukan seperti itu maka anda akan berhasil membunuhku.”
Maka dikumpulkanlah seluruh rakyat di kawasan lapang. Lalu diikatnya si kanak-kanak pada sebatang pokok. Kemudian diambilnya panah lalu dipasangkan pada busur dengan membaca;
“Bismillahi rabbil ghulam (بِسْمِ اللهِ رَبِّ الْغُلَامِ) (Dengan nama Allah, Tuhan kanak-kanak ini).”
Maka dipanahlah si kanak-kanak, kena pelipisnya. Si kanak-kanak meletakkan tangan pada tempat yang kena panah lalu dia tewas. Maka berkata orang ramai: “Kami beriman dengan Tuhan si kanak-kanak! (آمَنَّا بِرَبِّ الْغُلَامِ) Kami beriman dengan Tuhan si kanak-kanak! (آمَنَّا بِرَبِّ الْغُلَامِ) Kami beriman dengan Tuhan si kanak-kanak! (آمَنَّا بِرَبِّ الْغُلَامِ)”
Pernyataan rakyat dikhabarkan orang kepada raja. Kata mereka: “Tahukah anda bahawa apa yang anda takutkan selama ini sungguh terjadi. Rakyat telah menyatakan iman kepada Allah.”
Maka diperintahkan oleh raja supaya membuat parit di pintu-pintu jalan utama. Lalu dibuat orang parit yang di dalamnya dinyalakan api. Titah raja: “Siapa tidak keluar daripada agamanya, lemparkan dan bakar mereka dalam parit.”
Maka dilaksanakanlah perintah raja. Sampai giliran seorang wanita yang sedang menggendong bayi, wanita itu teragak-agak untuk terjun ke dalam parit. Maka berkata bayinya, “Wahai ibu! Tabahkanlah hati ibu kerana ibu berada dalam kebenaran.”
Riwayat Imam Muslim dalam Kitab al-Zuhd, bab Qissatu Ashab al-Ukhdud wa al-Sahir wa al-Rahib wa al-Ghulam, no. 3005)
Iktibar Kisah
Al-Qadhi Iyadh berkata: Dalam hadis ini, terdapat kesabaran orang-orang yang soleh dalam menghadapi ujian, dan apa yang menjadi kemestian bagi mereka untuk menzahirkan agama-Nya dan menyeru untuk mentauhidkan-Nya, dan mempertaruhkan nyawa mereka untuk itu. Itulah yang dimaksudkan oleh kanak-kanak itu ketika dia berkata kepada Raja: “Kamu tidak akan dapat membunuhku sehinggalah kamu mengikat aku (di sebatang pohon), mengumpulkan orang ramai, meletakkan anak panah di busur, dan mengucapkan, ‘بِسْمِ اللهِ رَبِّ الْغُلَامِ’ (dengan nama Allah, Tuhan kanak-kanak ini), bagi tujuan supaya dilihat oleh orang ramai, maka mereka pun beriman kepada Allah seperti yang berlaku. Padanya juga ithbat karamah para wali dan diijabkan doa-doa mereka dengan menguji mereka, seperti yang ditunjukkan Allah dalam kisah kanak-kanak ini, serta perlindungan Allah baginya daripada bahaya tersebut. (Lihat Ikmal al-Mu’lim, 8/558)
Antara pengajaran dan faedah daripada kisah di atas juga adalah:
- Raja yang zalim akan terus mencari pewarisnya dan ingin kekuasaannya terus wujud.
- Raja atau penguasa yang tidak berhukum dengan syari’at Allah biasa menggunakan dukun dan sihir untuk mendukung kekuasaannya, seperti ini tetap terus ada hingga saat ini.
- Anjuran mengajarkan anak sejak kecil kerana hasilnya lebih mudah melekat berbanding sudah besar. Seperti kata pepatah Arab, ‘طَلَبُ الْعِلْمِ فِي الصِّغَرِ كَالنَّقْشِ فِي الْحَجَرِ’ (menuntut ilmu ketika kecil seperti memahat di atas batu). Ertinya, menuntut ilmu ketika kecil itu lebih kukuh.
- Wujudnya karamah para wali. Wali Allah adalah orang yang beriman dan bertakwa.
- Hati hamba di tangan Allah. Allah sesatkan siapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk pada siapa yang Dia kehendaki. Kanak-kanak dalam kisah ini meskipun dalam asuhan raja dan pengajaran tukang sihir, namun dia boleh mendapat hidayah pada kebenaran.
- Kanak-kanak ini menyandarkan penyembuhan kepada Allah, bukan pada dirinya. Justeru, hal ini menunjukkan janganlah tertipu dengan karamah atau kejadian aneh yang boleh dilakukan seseorang.
- Boleh menguji kebenaran seseorang ketika dalam keadaan ragu atau hati yang bergoncang. Seperti kanak-kanak ini menguji siapakah yang benar sama ada tukang sihir atau rahib (pendeta) dengan melempar ke arah binatang besar.
- Pendeta tadi menyarankan pada kanak-kanak itu untuk mengatakan “Jika engkau khuatir pada tukang sihir tersebut, maka katakan saja bahawa keluargaku menahanku. Jika engkau khuatir pada keluargamu, maka katakanlah bahawa tukang sihir telah menahanku.” Ini menunjukkan bahawa menggunakan helah terhadap orang lain (berbohong) itu boleh jika ada maslahat seperti ketika berperang atau untuk menyelamatkan diri.
- Ada orang beriman yang digergaji demi mempertahankan imannya.
- Allah sentiasa akan memenangkan kebenaran dan menolong orang yang berpegang teguh pada kebenaran.
- Boleh bagi seseorang mengorbankan dirinya sendiri jika ada maslahat agama yang besar seperti kanak-kanak ini yang mengorbankan dirinya dan menjadikan seluruh rakyat beriman kepada Allah.
- Terlihat jelas perbezaan thaghut dan pendakwah kepada Allah (da’i ila Allah). Thaghut mengajak manusia supaya menjadikan ibadah pada sesembahan selain Allah. Sedangkan pendakwah kepada Allah mengajak manusia untuk beribadat kepada Allah sahaja.
- Terkadang seorang wali Allah diberi karamah berulang kali, dengan tujuan untuk mengukuhkan imannya.
- Orang kafir tidak mampu membantah hujah dari orang beriman. Yang membuat mereka menolak kebenaran adalah kerana sifat sombong yang ada pada diri mereka.
- Orang yang zalim akan bertindak terhadap orang yang tidak mahu mengikut pada perintahnya dan bertindak terhadap setiap orang yang beriman pada Allah, tujuannya supaya kekuasaan dunia mereka terus kekal.
- Melalui orang zalim, maka bukti kebenaran dapat dizahirkan. Rakyat dalam kisah ini beriman kepada Allah disebabkan kerana kukuh, jujur dan ketakutan kanak-kanak ini hanya pada Allah.
- Antara bayi yang boleh berbicara sedangkan masih dalam buaian adalah bayi dalam kisah ini, selain bayi yang diajak bicara oleh Juraij dan Nabi ‘Isa AS. Jadi, ada tiga bayi yang mampu berbicara ketika masih dalam buaian.
- Cerita ini menunjukkan mukjizat al-Qur’an kerana cerita ini hampir dilupakan dalam sejarah dan disebutkan dalam al-Qur’an.
- Boleh mengajar orang lain dengan menyebutkan kisah seperti ini. Kerana terkadang dengan nasihat secara langsung, maka ia sukar diterima, berbeza halnya dengan menyampaikan kisah.
- Setiap anak muda hendaklah mencontohi perjuangan kanak-kanak dalam kisah ini, iaitu hendaklah dia berpegang teguh pada kebenaran dan terus bersabar, jangan sampai terjerumus dalam jalan kesesatan walau diancam dengan nyawa.
- Wajib bagi setiap orang yang diuji keimanannya untuk bersabar, meskipun harus mengorbankan nyawa. Namun dalam masalah ini terdapat dua perincian:
(i) Maslahatnya kembali pada diri sendiri. Ketika diperintahkan mengucapkan kalimat kufur, misalnya, maka dia boleh memilih mengucapkannya ketika dipaksa, asalkan hati dalam keadaan tetap beriman. Dia juga boleh memilih untuk tidak mahu mengucapkan walau sampai mengorbankan nyawanya.
(ii) Maslahatnya kembali pada orang ramai. Misalnya, kalau seandainya dia kafir di hadapan orang ramai, maka orang lain pun boleh ikut sesat. Dalam keadaan ini, tidak boleh seseorang mengucapkan kalimat kufur. Dia hendaklah bersabar walau sampai dihilangkan nyawa. Hal ini dapat kita temukan dalam kisah Imam Ahmad yang masyhur. Ketika dia dipaksa mengucapkan ‘Al-Qur’an itu makhluk, bukan kalam Allah’. Imam Ahmad enggan dan akhirnya dia disakiti dengan dicambuk. Tetapi beliau tetap kukuh memegang prinsip al-Qur’an itu kalam Allah, bukan makhluk. Jika Imam Ahmad tidak memegang prinsipnya tersebut, tentu manusia akan ikut sesat.
- Hadis ini juga menunjukkan terkabulnya do’a orang yang dalam keadaan kesempitan seperti doa kanak-kanak ini ketika ingin dilempar dari gunung dan ditenggelamkan di tengah lautan.
- Kisah ini mengajar bahawa wajib bersabar ketika disakiti sedangkan berada dalam kebenaran.
(Lihat Bahjatu al-Nazhirin Syarh Riyadh al-Solihin, 1/76-78; Syarh Riyadh al-Salihin, 1/213-225; Nuzhatu al-Muttaqin Syarh Riyadh al-Salihin, hlm. 35; seperti dalam Kisah Orang Beriman yang Dibakar dalam Parit oleh Muhammad Abduh) (Lihat Dengan Nama Allah, hlm. 47-57)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445