Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah istimewanya nama Allah SWT itu?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Mengikut jumhur ulama’, ayat ‘بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ’ pada surah al-Fatihah adalah ayat yang pertama. Ia memberi maksud: “Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.”
Uniknya, ayat ‘بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ’ bermula dengan surah al-Fatihah. Begitu juga, ia merupakan ibarah karamah yang penuh kemuliaan, ditulis dan diucapkan oleh Nabi Allah Sulaiman AS melalui warkahnya kepada ratu Balqis:
إِنَّهُ مِن سُلَيْمَانَ وَإِنَّهُ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ ﴿٣٠﴾ أَلَّا تَعْلُوا عَلَيَّ وَأْتُونِي مُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): ` ” `Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran ugama Allah). ‘ “
(Surah al-Naml: 30-31)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan kebanyakan ulama’ Islam berpandangan bahawa Lafz al-Jalalah (اللهُ) adalah nama Allah yang paling agung, di mana jika lafaz tersebut diseru ketika berdoa, maka doanya dikabulkan, dan jika memohon, maka permohonannya akan diperkenankan.
Imam al-Ghazali dalam al-Maqsad al-Asna (hlm. 37) berkata: Ketahuilah bahawa lafaz ‘Allah’ adalah Nama Allah yang paling agung daripada semua 99 al-Asma’ al-Husna, kerana lafaz itu menunjukkan Zat Ketuhanan yang mencakupi padanya Sifat Ketuhanan seluruhnya, tanpa terkecuali satu pun.
Antara bukti keistimewaan lafaz Allah adalah:
- Ia Nama Allah yang paling banyak disebut dalam al-Quran.
- Ia disebut oleh Nabi SAW dalam hadithnya sebagai al-Ism al-A’zam (الاسْمُ الْأَعْظَم)
- Segala Nama Allah pasti merujuk atau kembali kepada Zat Allah.
- Jika diseru lafaz Allah, seolah-olah menyeru dengan semua Nama Allah yang lain.
- Allah telah mengikat hati dan lisan semua manusia dengan Nama Allah.
- Segala perkara yang baik jika diawali dengan menyebutnya akan mendapat berkah.
- Lafaz Allah telah dikenali dan diperakui oleh semua umat manusia tanpa kecuali.
- Jika lafaz tersebut diangkat dari permukaan bumi, maka akan berlakulah Kiamat. (Lihat al-Maqsad al-Asna, 37)
(Lihat Dengan Nama Allah, hlm. 9-10)
Semoga Allah SWT memberi kepada kita kefahaman yang baik berkenaan dengan isu ini. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”
Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445