#2809: Meninggalkan Solat Berjemaah Disebabkan Tugasan Yang Penting?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ saya ingin bertanya, adakah sah solat di tempat kerja secara sendirian sedangkan surau  hanya jarak lebih kurang 100 meter sahaja dari tempat kerja. Ini kerana saya bekerja di klinik penjara dan jika ada kecemasan banduan akan dibawa ke klinik dan ianya memerlukan tidakan yang pantas jika ia melibatkan nyawa banduan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ

Maksudnya: ”Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.”

(Surah al-Nisa’ : 102)

Imam Khatib al-Syarbini berkata: “Perintah solat jemaah diturunkan ketika waktu perang, maka sudah semestinya lebih utama dilakukan ketika dalam keadaan aman. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/350)

Telah diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat berjemaah lebih baik (afdhal) daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali darjat.”

Riwayat al-Bukhari (645) dan Muslim (1477)

Dalam riwayat lain pula menyatakan :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا

Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.”

 Riwayat Muslim (1504)

Menjawab bagi persoalan di atas,  solat secara berjamaah adalah lebih besar pahalanya berbanding solat secara bersendirian iaitu 27 darjat. Ini kerana terdapat nas alquran dan al-hadith yang menuntut  solat secara berjemaah sepertimana yang telah dinyatakan di atas. Namun dalam isu ini, kami katakan solat  secara bersendirian di tempat kerja disebabkan berada dalam tugasan yang penting  adalah sah walaupun saudara tidak pergi ke surau untuk solat secara berjemaah. Ini kerana saudara dikategorikan dalam golongan yang dibenarkan oleh syara’ untuk meninggalkan solat secara berjemaah disebabkan oleh tugasan yang penting seperti menyelamatkan nyawa orang.

Kaedah juga ada menyebut :

دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ الْمَصَالِحِ

Maksudnya: “Menolak kemudaratan itu lebih utama daripada mendapatkan maslahah.”

Untuk mengetahui dengan lebih terperinci berkenaan tuntutan solat secara berjemaah bolehlah merujuk ada artikel yang telah kami bahaskan yang bernombor #126 Ganjaran 27 Kali Ganda Bagi Solat Jemaah Selain di Masjid.[1]

Justeru kami katakan, dalam situasi seperti yang dinyatakan di atas kami katakan saudara boleh meninggalkan solat secara berjamaah di surau atau masjid disebabkan berada dalam tugasan yang penting. Namun, kami syorkan juga supaya melakukan solat secara berjemaah ditempat kerja dengan kawan-kawan sekerja. Yang demikian bagi meraih ganjaran  pahala solat berjemaah seperti yang dinyatakan dalam hadith.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan ibadah kepadanya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua’lam

[1]https://maktabahalbakri.com/126-ganjaran-27-kali-ganda-bagi-solat-jemaah-selain-di-masjid/

Diakses pada 16 Ogos 2023

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *