Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah Dato’ Seri nyatakan sumber yang mengatakan bahawa Nabi Idris adalah orang pertama yang memperkenalkan bidang penulisan dan yang pertama membuat senjata?

Dan dikatakan juga Nabi Idris mengajar kaumnya untuk gunakan dacing sebagai penimbang, mengajar tentang pergerakan planet dan cara menjahit baju. Saya ingin berkongsi cuma takut sumbernya tidak sahih. Terima kasih Dato’ Seri

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَرَفَعْنَاهُ مَكَانًا عَلِيًّا

Maksudnya: “Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.

Surah Maryam (57)

Ahli tafsir berkata, “Sesungguhnya terangkatnya Nabi Idris berdasarkan ayat tersebut sama ada angkat dari sudut tempat atau angkat dari sudut kedudukan.” Dikatakan Nabi Idris diangkat ke langit yang keempat.

Dalam hadith israk dan mikraj dinyatakan bahawa Nabi Idris bertemeu dengan Nabi SAW pada langit yang keempat seperti riwayat Muslim. Nabi Idris AS adalah nabi yang ketiga selepas Adam dan Sith AS. Beliau melaksanakan tugas dengan amalan soleh dan berdakwah kepada kaumnya supaya mentauhidkan Allah SWT.

Menjawab persoalan di atas kami nukilkan pandangan beberapa tokoh ulama. Ibnu Ishaq menyatakan, Nabi Idris adalah manusia (orang) pertama kali yang menulis dengan pena. Sebahagian orang mengatakan bahwa Idris lah yang dimaksud dalam hadis yang diriwayatkan Muslim dari Mu’awiyah bin Al-Hakam As-Sulami ketika Rasulullah SAW ditanya tentang tulisan di atas pasir.

Rasulullah SAW bersabda, ”Dahulu, ada seorang nabi yang menulis dengannya (maksudnya menulis di atas pasir). Barang siapa yang sejalan dengan tulisannya, demikian itulah (tulisannya).”

Kepandaian menulis yang dimiliki Nabi Idris AS sejalan dengan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad yang menyatakan, ”Makhluk yang pertama kali Allah ciptakan adalah pena. Lalu, Dia berkata kepada pena tersebut, ‘Tulislah.’ Maka, pada saat itu, berlakulah segala apa yang ditetapkan hingga akhir Kiamat.” (Lihat Musnad Ahmad RA).

Dikatakan juga Nabi Idris mmepunyai pelbagai ilmu termasuklah bintang, pergerakannya dan ilmu hisab. Beliau juga dikatakan yang pertama menjahit dan memakai pakaian. Allah SWT telah menyebut tentang Idris sebanyak dua kali di dalam al-Quran. Ia mensifatkan dengan kesolehan dan kesabaran dan keduanya disifatkan dengan kedudukan yang tinggi atas kesabaran dan kesolehan tersebut. Pendapat yang rajih kedudukan yang tinggi pada hakikinya iaitu tempat.

Semoga Allah SWT jadikan kita bersama para nabi dan rasul, sidiqin dan syuhada serta orang-orang yang solih. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445

Leave a Reply