Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak tanya, apakah nasihat dan doa yang terbaik dalam membantu seseorang melaksanakan amar maaruf nahi munkar?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Surah Ali-Imran (104)

Ibn Kathir berkata: “Maksud ayat ini adalah hendaklah ada segolongan daripada umat ini yang sedia memegang tanggungjawab ini (amar makruf nahi munkar). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 11/91)

Ibn al-‘Arabi berkata: “Ayat ini dan ayat berikutnya merupakan dalil bahawa amr ma’ruf dan nahi munkar itu adalah fardhu kifayah.” (Lihat Ahkam al-Quran, 1/292)

Rasulullah SAW mengajar kita untuk melaksanakan amar makruf dan nahi munkar. Betapa pentingnya amar makruf dan nahi  munkar jika diabaikan nescaya akan membawa kepada penindasan dan pemerintahan yang zalim. Daripada Huzaifah bin al-Yaman R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلاَ يُسْتَجَابُ لَكُمْ

Maksudnya: “Demi Zat yang jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, lakukanlah amal ma’ruf dan cegahlah kemungkaran, atau Allah akan mengirimkan seksa kepada kamu semua dari sisi-Nya, kemudian engkau memanjatkan doa kepada-Nya tetapi tidak akan diperkenankan lagi.”

Riwayat al-Tirmizi (2169)

Berkenaan dengan cara yang terbaik untuk amar makruf dan nahi munkar seperti berikut:

  • Penuh dengan hikmah dalam seruan dan dakwah. Firman Allah SWT:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Surah al-Nahl (125)

  • Dakwah melalui perbincangan yang baik begitu juga bertetapan dengan sebaik-baiknya sebagaimana firman Allah SWT seperti ayat di atas.

وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik;”

Surah al-Nahl (125)

  • Menunjukkan suri teladan yang baik. Ini kerana dengan akhlak yang unggul ia memberi kesan secara nyata dan dakwah bil hal kepada masyarakat dan orang ramai.
  • Memilih masa dan tempat yang sesuai untuk memberi nasihat.

Di samping itu, kejayaan dakwah akan bertambah manis dan keberhasilannya begitu zahir jika pendakwah itu sendiri mempunyai dan memiliki:

  • Ilmu yang mantap lagi mendalam
  • Memahami bahasa kaum yang didakwahkannya dengan lebih baik
  • Menjadikan kisah umat terdahulu sebagai iktibar
  • Dalil yang disampaikan sama ada naqli atau aqli dengan jelas
  • Penggunaan bahasa yang mudah, ringkas, sesuai untuk semua golongan
  • Sentiasa berdoa kepada Allah SWT, beribadat dan mengharapkan-Nya

Kami akhiri dengan nasihat Allah SWT kepada Nabi-Nya SAW:

يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ ‎﴿١﴾‏ قُمْ فَأَنذِرْ ‎﴿٢﴾‏ وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ ‎﴿٣﴾‏ وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ ‎﴿٤﴾‏ وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ ‎﴿٥﴾‏ وَلَا تَمْنُن تَسْتَكْثِرُ ‎﴿٦﴾‏ وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ

Maksudnya: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!

Surah al-Muddathir (1-7)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Surah al-Baqarah (250)

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445

Leave a Reply