Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Nabi Allah Ibrahim banyak berdoa terutamanya dalam bab solat serta mohon keampunan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nabi Ibrahim A.S merupakan salah seorang nabi dan rasul ulul azmi. Al-Quran banyak mengisahkan kehidupannya serta tribulasi yang dihadapi. Inilah uniknya Nabi Allah Ibrahim. Berkenaan dengan persoalan di atas, kami katakan benar sama sekali sebagaimana firman Allah SWT di atas lisan Nabi Allah Ibrahim AS:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ‎﴿٤٠﴾‏ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

(Surah Ibrahim: 40-41)

Ibn Jarir al-Tabari berkata: Ya Tuhanku, jadikanlah aku mampu mendirikan solat yang telah Engkau wajibkan pada kami. ‘وَمِن ذُرِّيَّتِي’, maksudnya adalah, jadikanlah juga di antara anak cucuku itu orang-orang yang mendirikan solat kepada-Mu. ‘رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ’, maksudnya, Ya Tuhan kami, terimalah amalan dan ibadahku yang kulakukan untuk-Mu.

‘رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ’, ini pula adalah doa Ibrahim AS agar kedua ibu bapanya memperoleh keampunan. Manakala di tempat lain, Allah SWT menjelaskan tentang hakikat doa tersebut: ‘وَمَا كَانَ اسْتِغْفَارُ إِبْرَاهِيمَ لِأَبِيهِ إِلَّا عَن مَّوْعِدَةٍ وَعَدَهَا إِيَّاهُ فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِّلَّهِ تَبَرَّأَ مِنْهُ ۚ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ لَأَوَّاهٌ حَلِيمٌ ’ (Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.) (Lihat Jami’ al-Bayan, 15/609)

Syeikh Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri menyebut: Yakni, wahai Rabbku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan keluargaku juga menunaikan solat, kerana solat adalah merupakan sebab bagi seluruh kehidupan. Ia adalah zikir dan syukur. Maka jika seorang hamba mendirikan solat dengan menunaikan syarat-syarat dan rukun-rukunnya secara sempurna, maka dia termasuk dalam kalangan orang-orang yang berzikir dan bersyukur. Dan ketika dia meninggalkannya, maka dia termasuk orang-orang yang lupa dan lalai, dan termasuk juga dari kalangan orang-orang yang kafir. (Lihat Aisar al-Tafasir, 3/61)

Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata: Kemudian beliau (Nabi Ibrahim AS) mendoakan kebaikan bagi dirinya dan keturunannya dengan berkata, “Ya Rabbku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang–orang yang tetap mendirikan solat. Ya Rabb kami, perkenankanlah doaku. Ya Rabb kami, berilah ampunan untukku dan ibu bapaku dan sekalian orang-orang beriman pada hari berlakunya hisab (Hari Kiamat). Allah menyambut seluruh permohonan beliau kecuali doa (permohonan ampun) untuk bapanya di mana beliau panjatkan sekadar hanya untuk memenuhi janji yang beliau sampaikan kepada bapanya. Ketika telah jelas bahawa dia adalah musuh Allah, maka dia berlepas diri darinya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 427)

Penutup

Daripada nas yang kita bahaskan di atas, jelas menunjukkan peri pentingnya ibadat solat. Bukan semata-mata untuk dirinya, tetapi juga anak dan zuriat keturunannya. Dengan memperolehi anak dan zuriat yang soleh akan menyejukkan mata hati serta membawa kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Justeru, marilah sama-sama kita sentiasa memohon doa kepada Allah SWT agar dikurniakan keteguhan dalam melaksanakan solat serta kaum keluarga dan zuriat kita.

Kami akhiri dengan firman Allah SWT:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ‎﴿٤٠﴾‏ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

(Surah Ibrahim: 40-41)

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445

Leave a Reply